
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hukum atas sesuatu perkara berdasarkan zahir ia sunnah atau tidak perlu melihat kepada maslahat perkara itu.
“Begitu juga dengan poligami.”
“Terkadang ia menjadi perlu dan terkadang tidak perlu bahkan boleh jadi menzalimi.
“Hukum poligami itu sendiri boleh jadi harus, sunat dan haram.
“Tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan.
“Berbincang dengan baik, beri nasihat dan pandangan demi mengelakkan berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap hak isteri dan anak-anak,” katanya dipetik dari laman Twitter pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan seorang wanita mengenai dakwaan isteri akan ke neraka kerana menentang poligami yang dikatakan sunnah Rasulullah.
Zulkifli berkata, sikap sebagai Muslim adalah tidak menentang sebarang syariat ALLAH SWT dalam keadaan tertentu mengikut keperluan yang sudah pasti ada hikmahnya.
Namun katanya, sikap menggunakan agama untuk kepentingan individu sehingga mengabaikan hak-hak lain seharusnya ditolak.
Umat Islam dinasihatkan agar mengikut saluran pernikahan poligami yang betul dan sah tanpa membawa kepada prejudis dan sangkaan buruk dalam kalangan ahli keluarga.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata lelaki yang mahu berpoligami perlu jujur dan bercakap benar serta berunding dengan sebaik-baiknya.
“Saya perlu dapatkan maklumat dengan terperinci daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan juga pihak berkuasa agama negeri untuk saya pastikan apakah ia berlaku dalam skala yang besar atau pun mungkin kes-kes yang terpencil.
“Walau macam mana pun saya syorkan kalau dalam ibadah seperti perkahwinan, ikutlah saluran yang betul, saluran yang sah tanpa membawa kepada prejudis dan salah sangka di kalangan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan ke Pondok Moden Zakat Negeri Kedah di Alor Setar, pada Isnin.
Beliau mengulas mengenai laporan sindiket poligami ekspres membabitkan golongan profesional yang ditawarkan kepada tokoh korporat, artis dan orang kenamaan.
Zulkifli berkata, beliau tidak dapat mengulas panjang lebar mengenai isu itu berikutan belum mendapat maklumat terperinci daripada pihak berkuasa.
Menerusi laporan khas berjudul, ‘Poligami Semudah Membeli Madu’, Astro AWANI mendedahkan mengenai mangsa sindiket poligami yang berkongsi kisah tentang bagaimana taktik kotor poligami ekspres dibuat bagi akses mereka untuk mendapat jalan pintas.
Pemalsuan dokumen seperti tanda tangan, surat-menyurat, serta sijil nikah palsu jelas berlaku malah penglibatan ‘orang dalam’ dilihat menjadi pihak pemudah cara.

Loading...