≡ Menu

Pemakanan Yang Betul Untuk Pesakit Buasir. Ini 10 Tips Untuk Anda

Apakah makanan yang sesuai untuk pesakit yang sedang mengalami masalah buasir? Artikel iniakan membincangkan beberapa jenis makanan yang sesuai untuk mereka yang menghadapi masalah ini.

Tempoh masa setiap individu berada di dalam toilet untuk membuang najis sudah semestinya berbeza. Namun, ada individu yang mengambil masa yang sangat lama di dalam tandas disebabkan oleh masalah buasir. Buasir ialah keadaan yang disebabkan oleh urat di bahagian bawah kulit disekitar kawasan tempat membuang najis membengkak dan menyukarkan proses membuang najis.

Namun begitu, buasir mungkin hilang dengan sendirinya jika tidak kronik. Bagi penghidap buasir kronik, pembedahan mungkin diperlukan untuk memulihkan keadaan. Individu yang mempunyai gaya hidup tidak aktif, mempunyai berat badan berlebihan dan wanita sedang mengandung lebih berisiko tinggi untuk mendapat buasir.

Jika anda salah seorang penghidap buasir atau pernah mengalami buasir, teruskan membaca artikel untuk mengetahui apakah 10 makanan yang sesuai di makan untuk pesakit buasir.

1. Produk Berserat Penuh (Whole Grains Product)
Produk berserat penuh biasanya mempunyai 3 bahagian utama iaitu lapisan luar cengkerang (bran), lapisan tengah yang terdiri daripada karbohidrat dan bahagian dalam yang mempunyai pelbagai jenis vitamin, mineral dan protein. Individu yang menghadapai masalah buasir sesuai makan bijirin tinggi serat kerana jumlah seratnya yang tinggi iaitu kira-kira sebanyak 29.3g – 47.5g bagi setiap 100gram produk berserat penuh.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Antara produk berserat penuh termasuklah oat bijirin penuh, bertih jagung berserat penuh, barli, tepung bijirin penuh dan bijirin sarapan berserat penuh. Selain daripada mengandungi kandungan serat yang tinggi, produk berserat penuh juga mengandungi kandungan potassium yang baik bagi merendahkan tekanan darah tinggi. Beberapa kajian yang dijalankan juga membuktikan bahawa produk berserat penuh mempunyai kaitan untuk meredakan radang.

2. Biji Labu (Pumpkin Seeds)
Biji labu mempunyai jumlah aktioksidan yang tinggi kerana mempunyai jumlah magnesium, zinc, vitamin E dan karotenoid yang tinggi. Antioksidan yang terdapat dalam biji labu dapat mengurangkan radang yang dialami oleh individu yang menghadapi buasir.

Malah dapat meredakan kesakitan. Biji labu mempunyai jumlah serat yang tinggi dimana biji labu mengandungi sebanyak 18.4gram serat bagi setiap 100gram biji labu. Pesakit buasir yang mempunyai berat badan yang berlebihan amat baik mengambil biji labu kerana biji labu terbukti dapat mengurangkan tekanan darah tinggi, baik untuk kesihatan jantung dan mengurangkan tahap kolesterol tinggi yang biasanya dihadapi bagi individu obese.

Untuk wanita, terdapat satu kajian yang mengaitkan pengambilan makanan tambahan minyak biji labu dengan pengurangan tekanan darah dan peningkatan kadar kolesterol baik (HDL cholesterol) di dalam darah.

3. Kacang Badam
Kacang badam selalu digunakan untuk membuat kuih terutamanya pada musim perayaan hari raya. Jangan terkejut jika kacang badam sebenarnya mengandungi 12.5 gram serat bagi setiap 100 gram berat. Serat yang terdapat di dalam badam dapat memudahkan pesakit buasir untuk membuang dan dapat mengurangkan tekanan.

BACA:  Normalkah Jika Tangan Tiba Tiba Menggigil? Ini Mungkin Puncanya

Selain itu, badam juga kaya dengan vitamin dan mineral yang baik untuk kesihatan. Terdapat beberapa kajian yang membuktikan badam dapat menurunkan tahap kolesterol, tahap kolesterol jahat dalam badan dan meninggikan kolesterol baik dalam badan. Kajian lain juga ada menyatakan bahawa 42 gram badam sehari dapat menurunkan kolesterol jahat (LDL Cholesterol) sebanyak 5.3 mg/dL dan mengekalkan kolesterol baik (HDL Cholesterol) di dalam badan.

4. Buah Ara
Buah ara sering digunakan sebagai rawatan alternatif bagi masalah pencernaan. Buah ara mengandungi sebanyak 9.8 gram serat bagi setiap 100 gram berat. Disebabkan kandungan serat yang tinggi, buah ara sesuai dimakan bagi pesakit buasir.

Buah ara dapat melembutkan najis dan membolehkan seseorang membuang najis tanpa banyak meneran. Selain daripada itu, kajian telah membuktikan bahawa pengambilan buah ara kering sebanyak 45 gram dua kali sehari dapat mengurangkan gejala bagi masalah pencernaan, mengurangkan rasa sakit dan mengelakkan sembelit.

Selain mengurangkan iritasi bagi masalah penghadaman, buah ara juga mengandungi prebiotic atau sumber bakteria sihat untuk sistem pencernaan. Oleh sebab itu, buah ara adalah antara makanan yang perlu dipertimbangkan ketika buasir.

5. Buah Betik
Buah betik mempunyai karotenoid yang tinggi dan dapat meneutralkan kandungan radikal bebas di dalam badan. Enzim di dalam betik yang dipanggil sebagai enzim papain sangat membantu dalam penghadaman protin, mengurangkan rasa sakit, radang dan bengkak.

Oleh sebab itu, buah betik sangat digalakkan untuk di makan bagi individu yang mengalami buasir. Pesakit juga tidak perlu meneran dengan banyak jika sudah mengambil betik yang mencukupi. Hal ini seterusnya membantu dalam proses pemulihan daripada buasir dan mengurangkan kesakitan.

Selain daripada itu, kajian menunjukkan bahawa buah betik yang diperam dapat membantu dalam penguasaan orang dewasa yang menderita penyakit prediabetes juga penting untuk kesihatan otak bagi penghidap penyakit Alzheimer.

6. Buah Kiwi
Kiwi mempunyai banyak serat, yang sangat baik untuk pencernaan. 100 gram buah kiwi mempunyai kira-kira sebanyak 3.0 gram serat yang sangat baik dimakan oleh penghidap buasir. Selain itu, buah kiwi mempunyai satu enzim proteolitik yang dipanggil sebagai actinidin yang sangat membantu dalam penghadaman protein dan memudahkan proses membuang air besar.

Salah satu kajian lain membuktikan bahawa dengan pengambilan buah kiwi sebanyak dua biji setiap hari selama empat minggu dapat mengurangkan iritasi kepada usus dan memudahkan pergerak usus. Hal ini amat membantu bagi mengurangkan rasa sakit kepada individu yang mempunyai masalah buasir.

7. Biji Chia dan Biji Selasih
Masalah buasir harus diatasi dengan mendapatkan jumlah bekalan serat yang mencukupi. Namun, pasti wujud individu yang tidak gemar memakan buah-buahan dan sayur-sayuran sejak dari kecil. Individu seperti ini biasanya mempunyai pilihan yang terhad bagi setiap jenis buah, sayuran dan makanan berserat tinggi.

Oleh sebab itu, antara cara untuk menambah keperluan serat dalam sehari ialah dengan cara menambahkan biji chia atau selasih di dalam makanan. Biji chia dan selasih ini juga boleh direndam dan dibiarkan di dalam air untuk dikembangkan.

BACA:  Rezeki Saya Terbuka Luas Lepas Amalkan 2 Perkataan Zikir Ini

Biji yang kemudiannya akan berubah menjadi sedikit gel amat membantu dalam membekalkan serat larut. Serat larut ini seterusnya dapat mengumpulkan najis dan menjadi makanan kepada bakteria baik di dalam usus. Hasilnya, proses membuang air besar lebih mudah dilaksanakan bagi pesakit buasir. 100 gram biji chia dan selasih mengandungi kira-kira sebanyak 37 gram serat.

8. Buah Tembikai
Buah tembikai merupakan antara buah yang mempunyai kandungan air yang tinggi sebanyak 92% daripada komposisinya. Buah tembikai amat baik dimakan bagi penghidap buasir untuk mencukupkan keperluan air sehari. Buah tembikai juga mempunyai serat larut yang dapat membantu dalam proses buangan najis.

Malah, ada sesetengah kajian membuktikan bahawa buah tembikai dapat mencegah penyakit buasir. Selain daripada itu, buah tembikai dapat membantu mengurangkan keradangan dan mengelakkan berlakunya oksidatif kerana kaya dengan lycopene dan vitamin C. Seterusnya, dapat mengurangkan rasa sakit ketika meneran dan mengurangkan bengkak.

9. Air Kosong
Minumlah air kosong sekurang-kurangnya 8 gelas sehari untuk mengelakkan dari dehidrasi. Badan yang dihidrasi akan menghasilkan najis yang keras dan meningkatkan rasa sakit ketika membuang. Pesakit buasir juga perlu meneran dengan lebih banyak jika najis dalam keadaan keras. Hal ini seterusnya membuatkan kawasan terjejas menjadi lebih bengkak dan radang. Meningkatkan pengambilan air lebih daripada biasa akan membantu badan membuang sisa dari sistem pencernaan dan membantu membuang air besar.

10. Mengelakkan Pengambilan Makanan Berminyak
Selain daripada makanan tinggi serat dan pengambilan cecair yang mencukupi, pesakit buasir tidak digalakkan mengambil makanan yang berminyak. Antara makanan yang tinggi lemak termasuklah sambal, kari, sosej, burger, makanan bergoreng dan berminyak.

Makanan yang berminyak menjadikan sistem pencernaan menjadi lebih sensitif dan meningkatkan risiko sembelit justeru menerukkan lagi keadaan pesakit buasir. Makanan berminyak sukar untuk dicerna seterusnya menyebabkan keradangan usus dan boleh menyebabkan keradangan buasir bertambah teruk dan membengkak.

Kesimpulan
Konsep pemakanan bagi pesakit buasir ialah dengan menambahkan pengambilan serat larut dan serat tidak larut bagi mengelakkan berlakunya sembelit. Kandungan serat yang tinggi di dalam makanan amat sesuai dimakan bagi pesakit buasir bagi mengurangkan pesakit meneran ketika membuang najis seterusnya mengurangkan rasa sakit di kawasan yang bengkak dan keradangan.

Selain itu, pengambilan cecair yang mencukupi juga perlu diambil perhatian agar kebaikan mengambil makanan tinggi serat dapat digunakan secara optimum. Kesimpulannya, mengambil makanan tinggi serat dengan keadaan badan yang dihidrasi tidak akan membuahkan hasil malah bakal menerukkan lagi keadaan.

Diharapkan artikel makanan untuk pesakit buasir ini dapat memberikan sedikit sebanyak cara makanan yang betul untuk pesakit ini.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.