≡ Menu

Pentingnya Memahami Hadis, Bukan Tafsir Sesuka Hati

Hadis menjadi sumber penting dalam Islam berdasarkan peranan dan pengaruh besar selepas al-Quran sejak zaman Rasulullah SAW. Ia juga interpretasi Nabi SAW kepada umatnya sebagai panduan dalam memahami hukum syarak. Kesilapan dalam memahami nas ataupun teks hadis akan mengundang kekeliruan dalam kefahaman syariat Islam.

Ulama banyak mencurahkan usaha dalam menggariskan kaedah dan prinsip untuk memahami hadis hingga muncul pelbagai metodologi serta kaedah antaranya ialah pendekatan kontekstual.

Sheikh Dr Yusuf al-Qardhawi yang menulis buku Berinteraksi Dengan Hadis, menetapkan beberapa kaedah dan prinsip bersesuaian dengan situasi semasa dalam memahami hadis.

Imam Shafie melalui karyanya Ikhtilaf al-Hadis menggariskan beberapa kaedah memahami hadis kontekstual melalui pendekatan bahasa dan sebab adanya hadis (asbab al-wurud). Muhammad Ibnu Qutaibah al-Dinawari yang juga ulama hadis, sasterawan dan pakar bahasa melalui Ta’wil Mukhtalaf al-Hadis turut menggunakan kaedah pemahaman hadis secara kontekstual dengan pendekatan bahasa, sejarah dan rasional.

Pemahaman kontekstual hadis adalah dengan cara memerhati dan mengkaji perkara berkaitan peristiwa atau situasi munculnya hadis terbabit dan memahaminya bertepatan dengan apa dimaksudkan Rasulullah SAW, di samping menjaga kaedah bahasa Arab seperti itu diletakkan ulama usul.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Memahami hadis dengan pendekatan tekstual semata-mata akan melahirkan makna sempit, bahkan tidak relevan dengan tempat dan masa tertentu.

Kontekstual hadis ialah sesuatu huraian atau kalimah dapat menyokong dan menjelaskan maksud serta situasi semasa berhubung sesuatu kejadian. Dalam bahasa Arab, ia digunakan dengan istilah ‘alaqoh, qarinah, siyaq al-kalam, dan qarain al-ahwal.

Ulama usul menjelaskan adalah untuk membezakan antara wahyu dengan akal, teks dengan konteks, mantuq (lafaz selaras penggunaan makna sebenar) dengan mafhum (setiap perkara berkaitan hukum tidak disebutkan dalam ucapan) serta dalalah (lafaz menunjukkan sesuatu makna tidak disebut daripada lafaz berkenaan) dan maqasid (tujuan) syariah, seseorang itu hendaklah menguasai qawa’id usuliyah (kaedah usul) dan qawa’id fiqhiyah (kaedah fiqh).

BACA:  Hayatilah Ibadah Qurban Dengan Sepenuh Jiwa. Insya'Allah Ibadah Kita Diterima

Al-Qaradhawi menjelaskan pembentukan masyarakat harus dimulai dengan membetulkan pemahaman terhadap sumber agama. Perkara ini tidak akan berlaku tanpa adanya penggabungan antara hadis dan fiqh.

Fiqh hadis ialah memahami hadis Rasulullah SAW secara mendalam dengan mengambil kira konteks, situasi dan sasaran semasa mesej hadis disampaikan. Menurut al-Qaradhawi, sunnah nabi memiliki beberapa kriteria utama penting, iaitu komprehensif (syumul), seimbang, realistik dan memudahkan. Sekiranya kaedah ini dapat difahami, mesej Baginda dapat disampaikan.

Realiti kehidupan manusia akan berubah sama ada sosio-budaya, ibadat dan pengetahuan agama yang terus berubah dan berkembang. Peredaran masa semakin jauh menyebabkan sebahagian hadis dilihat tidak difahami dengan realiti kehidupan sosial.

Sheikh Mahmud Syaltout menjelaskan perilaku dan tindakan Nabi SAW itu ada bersifat kemanusiaan semata-mata dan tidak memiliki implikasi hukum, manakala ada juga dilakukan sebagai Nabi serta memiliki implikasi hukum.

Menyebut teks hadis bermakna kita menyampaikan sabda Rasulullah SAW. Segala lafaz disebut perlu tepat dan jelas dengan inti pati hendak disampaikan.

Di sinilah kita melihat ketinggian akhlak sahabat RA dan ulama dalam menyampaikan hadis daripada Baginda. Mereka sangat warak dan berhati-hati agar bertepatan dengan mesej hendak disampaikan.

Pada zaman moden sangat kompleks ini, kehidupan sangat jauh berbeza dengan zaman sebelumnya. Kita dapati muncul banyak kelompok dengan pelbagai pemahaman dalam aliran Islam.

Antara faktornya, perbezaan dalam memahami hadis. Cara pendekatan keliru tentunya menghasilkan pemahaman keliru, bahkan boleh membawa kepada perpecahan dan fanatik sesama sendiri.

Dengan memahami kontekstual hadis, maksud hadis boleh difahami dengan tepat dan jelas. Ada yang menjadi hukum syariat wajib diikuti, ada pula memberi maksud hukum sunah atau mandub saja. Ada bersifat umum tanpa penetapan hukum syariat yang banyak dijumpai dalam perbuatan Rasulullah SAW bersifat manusiawi, adat kebiasaan dan pengalaman peribadi.

BACA:  Awas! Salad Keluaran Malaysia Mengandungi Bahan Kimia 'Fipronil'. Jika terbeli, Jangan Makan

Sesetengah individu memahami semua sunnah Rasulullah SAW wajib diamalkan, sedangkan terdapat juga beberapa sunnah tidak mengikat kita dalam beragama. Dalam Islam terdapat hukum taklifi yang dikenakan kepada mukalaf, iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus yang perlu difahami sebaik-baiknya.

Contoh kontekstual ialah hadis berkaitan perkara memabukkan. Nabi SAW bersabda: Semua perkara yang memabukkan adalah haram.” (HR Bukhari dan Muslim).

Maksud hadis ini jelas, semua benda memabukkan, hukum meminumnya sama dengan hukum arak, iaitu haram. Ulama bersependapat pengharaman arak kerana ia memabukkan. Sejarah pengharaman arak berlaku berperingkat hingga pengharaman secara mutlak.

Dalam memahami konteks hadis ini, maka hukum arak ialah haram berdasarkan penjelasan penurunan ayat al-Quran mengenai arak dan beberapa hadis berkaitan.

Begitu juga teknik peperangan dalam Perang Khandak, iaitu parit digali bagi menghalang tentera musuh sampai ke kawasan tentera Islam mungkin berbeza dengan teknik peperangan moden yang tidak menggunakan kuda sebagai jentera utama.

Memahami kontekstual hadis bukan mudah. Ia memerlukan ilmu yang cukup berkaitan kaedah dan prinsip dalam memahami hadis riwayat serta dirayah. Kita tidak boleh terburu-buru mengambil dan mengguna pakai hadis tanpa memahami bahasa Arab dan maqasid hadis.

Mereka yang ingin menggunakan hadis perlu memahami kedua-dua tekstual dan kontekstual hadis sebelum digunakan agar tidak keliru dalam memahaminya.

Kesan tidak memahami hadis dalam konteks sebenarnya akan menyebabkan maksud hadis tidak difahami dengan tepat seperti disampaikan Rasulullah SAW. Masyarakat akan salah faham mengenai hukum-hakam dalam kehidupan beragama. Akidah umat Islam juga akan goyah seterusnya akan muncul masyarakat berpecah-belah, sombong serta fanatik pemahaman masing-masing.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.