Walaupun bunyinya ’10 minit’ mesejnya untuk menghidupkan budaya membaca sepanjang hayat.
Bagi umat Islam, ia amat digalakkan agama. ‘Iqra’, iaitu perintah membaca menjadi wahyu al-Quran terawal dalam risalah nubuwah.
Selain surah al-Alaq, ia terdapat dalam surah al-Muzammil, ayat 20. Walaupun perintah membaca berkait terus dengan anjuran membaca al-Quran, ia mesti difahami kitab suci itu membuka pelbagai gedung ilmu. Justeru, maksud pembacaan menjadi konteks sangat luas.
Bacalah pelbagai sumber ilmu yang hakikatnya bukti nyata apa dibawa al-Quran. Bukankah dalam al-Quran, ada pelbagai sumber ilmu seperti sains ketuhanan, sosial sains, sains natural dan ilmu kerohanian?
Pembacaan berupaya membentuk pemikiran lebih ilmiah dan saintifik, sekali gus membangkitkan tradisi keilmuan.
Benarlah apa disebut Tan Sri Prof Syed Muhamamad Naquib al-Attas dalam karyanya, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu bahawa proses Islamisasi di Alam Melayu ketika kedatangan Islam membentuk pemikiran lebih ilmiah dan saintifik.
Malangnya, setelah beberapa abad, budaya mulia ini mula luntur kesan kelemahan dalaman berterusan. Budaya membaca dalam erti kata belajar dan mengkaji pelbagai bidang ilmu menjadi malap.
Pemikiran malas membaca dan mengkaji secara ilmiah serta saintifik mula dirosakkan tiga kumpulan utama iaitu golongan pentakwil jahil (takwil al-jahilin), golongan suka memalsukan (intihal al-mubtilin) dan penyimpangan golongan pelampau (tahrif al-ghalin).
Menurut al-Attas, hasil berleluasanya aktiviti golongan terbabit, terbantut kemajuan ilmu dalam dunia Islam termasuk dunia Melayu.
Hamka dalam bukunya, Falsafah Hidup menyebut: “Agama Islam amat menghormati akal kerana tidak akan tercapai ilmu kalau tidak ada akal. Sebab itu ‘Islam adalah agama ilmu dan akal.’
“Akal itu kurniaan Allah yang amat berharga untuk manusia. Ia menjadi alat berfikir supaya manusia mengenal Penciptanya (al-Khalik), iaitu Allah SWT dan mengenal erti kehidupan.
“Dalam pengertian lain, akal itu menjadi alat membangun kehidupan kerohanian (beragama) dan kemajuan ketamadunan.”
Antara aktiviti dapat membangkitkan keupayaan akal untuk berfikir dan mengkaji, ialah membaca dan berfikir. Kedua-duanya tidak dapat dipisahkan kerana mampu mengangkat martabat akal pada kedudukan mulia.
Hakikatnya, ayat menyuruh kita membaca dan berfikir ialah perintah mesti diamalkan. Justeru, tidak hairanlah ulama dan sarjana Muslim silam menjadikan aktiviti mengarang, membaca dan berfikir sebagai jalan membangun ilmu serta kehidupan.
Ibnu Sina, ahli falsafah dan perubatan yang hafaz al-Quran ketika mendepani masalah sukar untuk dirungkai, segera berwuduk, lalu solat, berzikir dan berdoa mohon petunjuk. Selepas itu, beliau meneruskan aktiviti keilmuan, iaitu membaca, mengkaji dan menulis.
Umat Islam tidak akan mencapai kejayaan, jika tidak mengembangkan budaya membaca dan berfikir. Proses berfikir membabitkan beberapa bentuk seperti ‘fikr fi al-khalik’ atau berfikir dan merenung ciptaan Allah SWT, ‘fikr fi al-ayat’ (berfikir dan merenung fenomena alam) dan ‘fikr fi al-nafs’ (berfikir dan merenung diri sendiri).
Melalui proses membaca dan berfikir lahirlah ‘ulul al-ilmi’ (orang berilmu), ‘ulul al-albab’ (orang berakal), ‘ulul al-absar’ (orang berakal tajam), ‘ulul an-nuha’ (akal mencegah keburukan) dan ‘zihir’ (akal mantap).
Hasilnya, ramai ulama zaman keagungan tamadun Islam adalah juga saintis dan ilmuwan sosial hebat. Mereka menjadikan amalan bertadabur ciptaan Allah SWT sebagai kaedah dan adab ketika membaca serta merenung ayat al-Quran.
Tamadun Islam membuktikan tidak ada dikotomi atau disintegrasi antara agama dengan sains. Pokok dan sumber asal segala ilmu adalah daripada al-Quran yang menganjurkan manusia agar membaca dan berfikir.
Ia bukan sahaja untuk membangun proses mencari (mengkaji) dan mengembangkan ilmu bagi membangun kehidupan manusia sesuai dengan zamannya, bahkan dapat mengenal pencipta serta meneguhkan keimanan serta ketakwaan.