APAKAH PENYAKIT ‘AIN?
Penyakit ‘ain ialah penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata yang disertai sifat iri atau rasa takjub terhadap apa yang dipandang.
Tak kiralah orang yang memandang itu jahat, orang yang dengki atau orang yang soleh sekalipun, penyakit ‘ain ini boleh datang dari sesiapa sahaja.
Menurut Laman Web Mufti Wilayah Persekutuan, penyakit ‘ain adalah thabit (kukuh) di dalam nas-nas syara’.
Allah SWT berfirman:
وَإِن يَكَادُ الَّذِينَ كَفَرُوا لَيُزْلِقُونَكَ بِأَبْصَارِهِمْ
Maksudnya: Dan sesungguhnya orang-orang yang kafir itu, hampir-hampir menggelincir dan menjatuhkanmu dengan pandangan mereka (yang penuh dengan permusuhan dan kebencian).
Surah al-Qalam (51)
Menerusi firman Allah di atas, Ibn Abbas, Mujahid dan lain-lain berkata: (لَيُزْلِقُونَكَ) bermaksud mereka hendak menggelincirkan. (بِأَبْصَارِهِمْ) “Dengan mata mereka, maksudnya mereka dengki kepadamu kerana kebencian mereka terhadapmu. Seandainya bukan kerana perlindungan dan pemeliharaan Allah pada dirimu dari mereka (nescaya engkau tidak selamat)
Menerusi ayat ini, jelaslah bahawa sasaran serta pengaruh “mata” adalah benar-benar nyata kewujudannya atas perintah Allah SWT.
Terdapat hadis yang menguatkan lagi kebenaran tentang penyakit ‘ain.
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda :
الْعَيْنُ حَقٌّ
Maksudnya: “Al-‘ain itu adalah haq (benar).”
Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
الْعَيْنُ حَقٌّ وَلَوْ كَانَ شَىْءٌ سَابَقَ الْقَدَرَ سَبَقَتْهُ الْعَيْنُ وَإِذَا اسْتُغْسِلْتُمْ فَاغْسِلُوا
Maksudnya: Al-‘Ain itu haq (benar). Jika ada sesuatu yang menjangkaui qadar maka ‘ain lah (yang dapat menjaungkauinya). Jika diminta kepada kamu untuk mandi (untuk penyembuhan), maka mandilah.
Riwayat Muslim (5831)
Imam Nawawi berkata : Pada hadith ini terdapat ithbat (ketetapan) pada takdir Allah SWT serta kebenaran tentang penyakit ‘ain dan perkara ini sangat berbahaya.
(Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim 7/328)
PUNCA TERJADINYA PENYAKIT AIN
Menurut Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitab Fathul Bahri, ‘ain adalah pandangan hasad daripada tabiat yang buruk yang boleh menyebabkan mudarat pada orang yang dipandangnya.
Yang menakutkan lagi, penyakit ‘ain ini juga boleh timbul tanpa ada rasa dengki dan tidak disengajakan.
Al-Hafiz Ibnu Hajar turut berkata, ‘Ain boleh terjadi dengan rasa takjub walaupun tanpa ada sifat iri dan hasad, (boleh juga terjadi) walaupun daripada orang yang mencintai dan (walau) daripada seorang yang soleh (tanpa disengajakan).”(Lihat Fath al-Bari, 10/203-205)
KESAN & TANDA-TANDA PENYAKIT AIN
Tambah Ustaz Hadi Talhah, penyakit ‘ain ini semacam gangguan yang tidak normal bagi seseorang.
Seseorang itu juga tidak semestinya sakit bila tertimpa penyakit ini, kesannya boleh dirasai dengan cara lain seperti sering keresahan, tidak boleh tidur dan sebagainya.
Orang sering mengaitkan penyakit ‘ain dengan sihir kerana tanda-tandanya yang hampir sama. Antara tanda-tanda lain bagi penyakit ‘ain ialah :
1. Wajah kelihatan pucat seperti sedang sakit.
2. Badan selalu rasa lemah dan tidak bersemangat.
3. Sering diserang demam panas.
4. Selalu marah-marah tanpa sebab serta emosi tidak stabil.
5. Dibenci oleh ahli keluarga dan orang terdekat.
6. Bermimpi sesuatu yang pelik.
CARA MELINDUNGI DIRI DARIPADA TERKENA PENYAKIT AIN
Berkaitan penyakit ‘ain, Imam Muda Hassan mengajak orang ramai untuk memuji Allah ketika melihat perkara yang indah dengan menyebut Masya-Allah.
Ia bukan sahaja zikir yang mengingatkan kita kepada Allah, malah ia juga dapat menjadi benteng untuk timbulnya penyakit ‘ain kepada seseorang. Dengan memuji Allah, penyakit ‘ain itu tidak akan menimpa ke atas kanak-kanak atau orang yang cantik pada pandangan mata kita.
Tambah Imam Muda Hassan lagi, kita juga perlu elakkan untuk memuji orang lain berlebihan kerana dikhuatiri ia boleh menyebabkan orang tersebut ditimpa kesakitan akibat pandangan mata kita.
Berikut adalah antara amalan lain yang boleh melindungi diri daripada penyakit ‘ain.
1. Amalkan Zikir
Amalkan juga zikir ini sebagai pendinding daripada penyakit ‘ain serta musibah lain :
بِسْمِ اللهِ الَّذِىْ لاَيَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْئٌ فِى اْلاَرِضِ وَلاَ فِى السَّمَآءِ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ
Bacaan Rumi : Bismillahillazi layadurru ma’asmihi syai’un fil ardi wala fis sama’i wa huwassami’ul ‘alim
Maksud : Dengan nama Allah yang bila disebut, segala sesuatu di bumi dan di langit tidak akan berbahaya, DIALAH yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
2. Amalkan Surah Al-Falaq
Menurut perkongsian dari Mufti Wilayah Persekutuan, kita juga digalakkan untuk mengamalkan surah Al-Falaq supaya terhindar daripada penghasad dan pendengki.
3. Berwaspada / Bersederhana Berkongsi Kisah Peribadi
Dalam kita menggunakan media sosial, kita perlulah sentiasa berwaspada kerana ia boleh menjadi platform yang membawa kepada kemudaratan diri.
Berpada-padalah dalam memuji dan berkongsi kisah peribadi kita. Amalkan zikir, doa serta mintalah perlindungan dari Allah daripada segala musibah.
PENYAKIT ‘AIN ADALAH QADA DAN QADAR DARIPADA ALLAH
Kita juga tidak boleh menyalahkan orang lain bila terkena penyakit ‘ain ini kerana ia tidak muncul serta merta selepas dipandang orang.
Ia bukanlah suatu bentuk bahaya yang baru diciptakan, sebaliknya ia terjadi dengan takdir Allah SWT yang telah ditetapkan sebelumnya.
Pendek kata, penyakit ‘ain merupakan salah satu qada dan qadar daripada Allah SWT. Oleh itu, kita wajib bertawakal serta memohon perlindungan daripada Allah dengan memperbanyakkan amalan zikir, doa serta bacaan Al-Quran.