≡ Menu

Penyakit Alahan Gandum? Ada Ke? Ketahui Lebih Lanjut

Gandum selalunya digunakan sebagai bahan utama untuk menghasilkan kuih, roti dan kek. Malah gandum juga menjadi salah satu sumber nutrisi untuk kesihatan tubuh badan manusia.

Bukan itu sahaja, gandum juga kaya dengan pelbagai zat gizi di dalamnya. Selain membekalkan karbohidrat, gandum juga kaya dengan protein, serat, kalsium, magnesium dan macam-macam lagi.

Namun, tahukah anda gandum ini sebenarnya tak sesuai untuk semua orang. Ada sesetengahnya mungkin mempunyai alahan terhadap gandum. Antara simptom yang mereka dipercayai bakal alami adalah bengkak, gatal-gatal di bahagian mulut dan kerongkong, cirit-birit dan berkemungkinan besar mengalami sesak nafas.

Tetapi alahan gandum ini biasanya terjadi kepada kanak-kanak. Hal ini demikian kerana, kanak-kanak masih dalam fasa mengenali sistem imun badan mereka. Disebabkan itulah semasa kanak-kanak masih kecil, mereka akan mudah mengalami alahan terhadap gandum.

Oleh itu, anda sudah tentu ingin mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah alahan tersebut kan? Jangan risau, laman kesihatan Hello Doktor ada penyelesaiannya.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Untuk ketahui dengan lebih lanjut, anda boleh baca perkongsian Hello Doktor di bawah mengenai makanan yang boleh dijadikan sebagai ganti kepada gandum.

Semoga bermanfaat!

Anda Alergik Gandum? Jadikan Makanan Ini Sebagai Ganti

Selain alahan makanan laut dan bulu haiwan, ada juga yang mengalami alergi terhadap makanan seperti gandum. Individu yang mempunyai alahan gandum bukan sahaja perlu mengelakkan pelbagai jenis makanan, tetapi juga terpaksa mengambil diet tanpa gandum.

Namun, apakah yang membuatkan mereka mengalami alahan terhadap makanan ini?

Apabila seseorang itu mempunyai alahan, sistem imun badan akan memberikan reaksi tidak normal terhadap satu-satu bahan yang terkandung di dalam makanan tersebut.

Dalam kes ini, badan menganggap protein dalam gandum sebagai ‘pendatang’ dan bertindak untuk menyingkirkannya dari badan.

Badan kita juga memberikan reaksi yang sama apabila ia bertindak melawan jangkitan.

Jadi, apabila pesakit mengambil makanan yang mengandungi gandum, badan akan bekerja keras untuk mengeluarkan protein tersebut dari badan.

BACA:  Tidur Bagaimanakah Yang Membatalkan Wudhu'? Terlelap Pun Batal Ke?

Proses inilah yang menyebabkan penghidap alahan mengalami simptom yang teruk setelah mengambil makanan tertentu!

Alahan terhadap gandum merupakan antara alergi yang lazim dialami dalam kalangan kanak-kanak. Namun, kebanyakannya tidak akan mengalami alahan ini apabila mereka meningkat dewasa.

Panduan diet tanpa gandum

Jika anda mempunyai alahan gandum, anda perlulah mengikuti diet tanpa gandum.

Ini bermaksud, anda tidak boleh mengambil makanan tersebut atau apa-apa produk yang mengandungi gandum.

Untuk penghidap alahan, perkara penting yang harus mereka lakukan sebelum membeli sebarang produk ialah membaca label makanan.

Kadangkala, makanan akan dilabelkan ‘mungkin mengandungi gandum’ atau ‘diperbuat di fasiliti yang mengandungi gandum’. Jadi, penghidap alahan perlu lebih berhati-hati ketika membeli makanan di pasar raya.

Jika anda sedang cari diet tanpa gandum, ini antara bahan yang boleh menjadi pengganti gandum:

  1. Tepung gandum. Gunakan tepung yang diperbuat daripada beras, kentang, soya atau jagung sebagai ganti. Jika anda tidak boleh mengambil makanan yang mengandungi gluten, cari tepung yang bebas gluten.
  2. Mi. Pilih mi yang bebas gandum. Ia juga boleh diperbuat daripada pelbagai jenis bijirin, termasuklah jagung, beras, kentang atau kekacang.
  3. Serdak roti. Banyak masakan kita menggunakan serdak roti untuk menggoreng. Sebagai ganti, boleh gunakan keju, biskut (crackers) atau serbuk jagung.
  4. Bahan pemekat. Pekatkan sos atau kuah dengan tepung jagung atau tepung beras. Tofu juga boleh menjadi pengganti pemekat.

Apakah beza alahan gandum dan penyakit seliak?

Walaupun nampak sama, alahan gandum dan penyakit seliak merupakan dua penyakit yang berbeza.

Penyakit seliak tidak mencetuskan reaksi alahan. Ia merupakan respons sistem imun di kawasan usus dan menyebabkan masalah dalam penyerapan makanan.

Mereka yang menghidap penyakit seliak tidak boleh mengambil makanan yang mengandungi gluten. Namun, gluten bukanlah protein yang mencetuskan alahan makanan.

Selain itu, individu dengan alahan gandum selalunya boleh makan bijirin lain.

Tetapi, mereka yang menghidap penyakit seliak tidak boleh mengambil bijirin lain seperti barli, rai dan kadangkala oat.

Berhati-hati ketika makan di luar

Mereka yang menghidap alahan gandum mempunyai cabaran yang tersendiri ketika makan di luar. Oleh sebab itu, mereka perlu lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan.

BACA:  Hukum Menggantung Gambar Di Dinding Rumah. Adakah Dibenarkan Dalam Islam?

Selain itu, ada beberapa langkah lain yang penting iaitu:

  1. Bawa sekurang-kurangnya dua suntikan epinefrin. Pastikan anda dan juga orang yang keluar bersama anda tahu cara untuk menggunakannya.
  2. Pakai gelang atau rantai yang mempunyai informasi mengenai alahan anda.
  3. Jika anda tidak perlukan suntikan epinefrin, tanya doktor jika anda perlukannya.
  4. Sentiasa berhati-hati ketika makan di restoran. Walaupun makanan yang dipesan tidak mempunyai gandum, ia mungkin telah dicemari lebih-lebih lagi jika restoran tersebut menggunakan alatan memasak yang sama.
  5. Jangan lupa baca label makanan. Selain itu, tanya mengenai bahan-bahan yang digunakan di dalam masakan di restoran. Sentiasa lakukan langkah ini walaupun anda pernah makan di tempat yang sama berulang kali.
  6. Jangan makan di buffet yang mengandungi gandum. Ini akan menyebabkan kontiminasi silang lebih mudah berlaku.

Apa lagi yang perlu saya tahu mengenai diet tanpa gandum?

Jika anda mempunyai alahan gandum, doktor akan memberikan panduan untuk menjalankan diet tanpa gandum.

Pakar juga akan memberikan nasihat untuk anda atau anak-anak bagi mengelakkan produk yang mengandungi gandum.

Walaupun ramai yang mengalami reaksi alahan selepas makan gandum, ada juga yang akan mendapat alergi selepas terhidu produk yang mengandungi gandum. Sebagai contoh, pembuat roti juga boleh alami alahan ketika bekerja.

Sentiasa baca label makanan sebelum membeli barang. Jika makanan tersebut mengandungi gandum, produk itu akan menyenaraikan gandum di dalam senarai bahan.

Walau bagaimanapun, kontaminasi silang masih boleh berlaku. Oleh sebab itu, penghidap alahan perlu lebih berhati-hati ketika membeli-belah atau membeli makanan di luar untuk elakkan sebarang reaksi alergi yang tidak diingini.

Berjumpa doktor secepat mungkin jika anda mengalami reaksi alahan seperti bersin, hidung berair, sakit mata atau sesak nafas selepas terdedah kepada produk yang mengandungi gandum.

Doktor dapat membantu anda melakukan diagnosis serta memberikan rawatan yang sesuai dengan kondisi anda.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.