Istighfar Memohon Keampunan
Imam Hasan Al-Basri pernah berkata: Banyakkanlah istighfar (memohon keampunan kepada Allah) di dalam rumah kalian, diatas musibah atau bencana yang menimpa. Banyakkanlah istighfar semasa didalam perjalanan, ketika berada di pasar (shoping mall), di dalam majlis-majlis perhimpunan atau di manapun kalian berada, kerana kalian tidak mengetahui bilakah turunnya Maghfirah (ampunan Allah).
Memperbanyakkan istighfar memohon keampunan merupakan tuntutan setiap Muslim yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Memperbanyakkan istighfar sama ada kita dalam keadaan berdosa mahupun ketika kita merasakan tidak ada dosa. Wajib bagi kita untuk memperbanyakkan istighfar memohon keampunan kepada Allah di atas dosa yang pernah kita buat, sama ada dosa itu sedikit mahupun banyak, sama ada yang kita sedar dan ingat, mahupun yang sudah kita lupakan.
Hari ini para jemaah haji melaksanakan satu daripada rukun ibadat haji iaitu wukuf di Padang Arafah. Wukuf mempunyai keistimewaan tersendiri seperti yang dinyatakan oleh Nabi SAW dalam hadisnya:
عَنْ ابْنِ الْمُسَيَّبِ قَالَ قَالَتْ عَائِشَةُ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنْ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِي بِهِمْ الْمَلَائِكَةَ فَيَقُولُ مَا أَرَادَ هَؤُلَاءِ
Daripada Ibnul Musayyab ia berkata, Aisyah berkata; Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Di antara hari yang Allah banyak membebaskan seseorang dari neraka adalah hari Arafah. Allah mendekati mereka lalu Allah membanggakan mereka (menunjukkan keutamaan) kepada para malaikat. Kemudian Allah berfirman: Apa yang diinginkan oleh mereka?” [Sahih Muslim No. 3354]. Status: Hadis Sahih
Antara keutamaan Hari Arafah ialah mendapat keampunan Allah juga mustajab doa. Ibnu Rajab Al Hambali menyatakan: “Hari Arafah adalah hari pembebasan dari api neraka. Pada hari itu, Allah akan membebaskan siapa saja yang sedang wukuf di Arafah dan penduduk negeri kaum muslimin yang tidak melaksanakan wukuf.
Justeru ambillah kesempatan hari wukuf ini untuk memohon keampunan kepada Allah daripada dosa dan kesilapan kita, sama ada mereka yang sedang mengerjakan ibadat haji mahupun yang tidak pergi menunaikan ibadat haji. Istighfar sebagai salah satu sebab untuk mendapatkan pengampunan dosa.
Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ.
“Dan orang-orang yang apabila berbuat keji atau menganiaya diri sendiri, kemudian mereka mengingat Allah lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka. Siapa lagi yang dapat mengampunkan dosa, kecuali Allah? Kemudian mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedangkan mereka mengetahuinya”. (Ali Imran : 135).
وَمَنْ يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّهَ يَجِدِ اللَّهَ غَفُورًا رَحِيمًا.
“Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya (dengan melakukan dosa dan maksiat), (tetapi) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan mendapati bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (An-Nisa`: 110)
Marilah kita perbanyakkan istighfar kita.