
“Perumpamaan seorang Mukmin adalah seperti anak pokok yang lembut dan mudah dilenturkan angin. Ada kalanya hembusan angin itu menyebabkan ia terkulai menunduk dan kadangkala pula ia menegak. Demikianlah keadaannya sehingga masanya tiba (kering dan mati).” (Muslim)
Petunjuk yang diberikan Hadith Nabi SAW ini menunjukkan bahawa kehidupan seorang Mukmin sarat dengan ujian. Penegasan Nabi SAW ini meneguhkan peringatan al-Quran bahawa dunia merupakan medan ujian. Ujian ditimpakan atas manusia melalui pelbagai perkara dan cara bagi menguji tahap keimanan serta kesabaran. Pandemik Covid-19 yang mula melanda dunia pada penghujung 2019 membawa rantaian ujian yang bukan sedikit. Ujian yang mengubah cara hidup masyarakat di seluruh dunia dengan begitu drastik. Penduduk seluruh dunia mengalami kehilangan dalam segenap perkara; rutin harian serta kebiasaan, keselamatan makanan, kestabilan ekonomi dan pelbagai bentuk halangan lain.
Kehilangan insan tersayang sama ada disebabkan pandemik atau faktor lain sepanjang tempoh menghadapi pandemik merupakan antara ujian paling getir yang menimpa seseorang atau sesebuah keluarga. Sepanjang hampir dua tahun berjuang menentang pandemik, pelbagai kisah menyayat hati yang ditatapi saban hari. Terdapat kisah kehilangan ibu bapa sekali gus lalu meninggalkan anak-anak sebagai yatim piatu manakala yang lain kehilangan ramai anggota keluarga disebabkan pandemik. Demikian pula kehilangan rakan taulan bahkan majikan yang begitu dikasihi yang punca kematiannya berselang-seli antara disebabkan pandemik mahpun selainnya. Situasi yang amat berbeza daripada sebelumnya, membuatkan bukan sahaja pesakit bahkan juga ahli keluarga turut teruji. Pesakit Covid-19 misalnya terpaksa melalui tempoh rawatan secara bersendirian di wad. Langkah keselamatan yang ditetapkan pengurusan hospital tidak membolehkan mereka diziarahi atau ditemani. Begitu juga untuk berada di sisi pada saat-saat pesakit menghembuskan nafas terakhir. Bagi sesetengah keluarga yang berinteraksi menerusi panggilan video dengan pesakit yang akan diintubasi, ia merupakan pengalaman yang sungguh menghibakan. Apatah lagi sekiranya pesakit berkenaan tidak kembali sedar malah meninggal dunia.
Pengurusan jenazah pesakit berkenaan juga begitu berbeza dan perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan. Jika sebelum ini, anggota keluarga sendiri yang lazimnya menyempurnakan urusan berkenaan, namun kini ia terpaksa diserahkan kepada petugas kesihatan atau agensi lain. Demikian juga dengan upacara pengebumian yang tidak dapat dihadiri anggota keluarga dan sahabat-handai secara bebas untuk mengelakkan penularan wabak. Keadaaan ini juga mengurangkan peluang mendapatkan sokongan daripada jaringan sosial mereka. Demikian pula halangan untuk menziarahi keluarga terbabit sepanjang melalui fasa kehilangan yang memainkan peranan penting dalam proses pemulihan. Bagi keluarga yang kehilangan ibu, ahli keluarga dan bapa bagi anak-anak yang masih kecil mesti memainkan peranan berkesan. Hal tersebut dapat memastikan aspek emosi, fizikal, kognitif dan tingkah laku anak-anak berkenaan dapat dikendalikan dengan baik.
Bagi suami atau isteri yang kehilangan pasangan, mereka juga melalui tempoh kesukaran tertentu. Anthony Mancini dalam artikelnya bertajuk, “Loss and Grief: The Role of Individual Difference” menyatakan bahawa satu kajian yang dijalankan terhadap 350 orang individu mendapati bahawa selepas dua bulan kehilangan pasangan, 70 peratus daripada mereka masih sukar mempercayai bahawa pasangan telah meninggalkan mereka. Individu yang kehilangan insan tersayang juga lazimnya terlalu memikirkan memori bersama insan berkenaan, terutama sejurus selepas ia berlaku. Ikatan kuat dengan memori tersebut juga terzahir melalui perubahan identiti selepas melalui fasa kehilangan. Sebagai contoh, nisbah besar 87 peratus individu yang kehilangan insan tersayang melalui pengalaman merasakan “sebahagian diri hilang atau dibawa pergi”. Semua pengalaman yang dilalui ini dirumuskan oleh Elisabeth Kübler-Ross dalam bukunya “On Death and Dying” pada tahun 1969. Beliau menjelaskan lima peringkat kesedihan yang lazimnya dilalui yang popular dikenali sebagai DABDA. Ia meliputi peringkat penafian (denial), kemarahan (anger), tawar-menawar (bargaining), kemurungan (depression) dan penerimaan (acceptance). Menurut Ross, peringkat ini tidak bersifat linear dan sesetengah individu mungkin hanya melalui beberapa peringkat sahaja atau juga tidak melaluinya sama sekali.
Petunjuk daripada al-Quran dan Hadith menyatakan bahawa kesedihan merupakan perkara yang lumrah dalam kehidupan. Al-Quran umpamanya menceritakan kedukaan yang dilalui Nabi Ya’qub A.S. disebabkan kehilangan Nabi Yusuf A.S. sehingga matanya berselaput putih disebabkan tangisan kesedihannya. Al-Quran turut memberikan panduan terbaik melalui Nabi Ya’qub A.S. bagaimana kesedihan perlu ditangani, iaitu melalui kata-katanya, “Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan kedukaanku kepada Allah.” (Surah Yusuf (12): 86) dan “…bersabarlah daku dengan sebaik-baiknya dan Allah jualah yang dipohon pertolongan-Nya tentang apa yang kamu katakan itu…” (Surah Yusuf (12): 18) Kata-kata penuh hikmah ini malah turut dirujuk serta dilafazkan Sayyidatuna `Aisyah r.a. sewaktu beliau menghadapi kedukaan berat akibat fitnah yang dilemparkan terhadap dirinya dan Safwan ibn al-Muattal al-Sulami.

Selain al-Quran, Hadith Nabi SAW juga memberikan banyak petunjuk untuk menangani kesedihan yang menyelubungi diri. Sirah Baginda sendiri merakamkan pelbagai ujian berat yang membawa kedukaan dalam hidup Baginda. Sebagai contoh, Baginda kehilangan isteri yang amat dicintai, Sayyidatuna Khadijah r.a. dan bapa saudara pada tahun yang sama, iaitu pada 619M atau 620M. sehingga tahun berkenaan digelar “Tahun Dukacita”. Demikian juga dengan kehilangan enam daripada tujuh cahaya mata sepanjang hayat Baginda serta sahabat-sahabat yang dikasihi yang syahid dalam peristiwa seperti Perang Uhud dan di Bi’r Ma’unah. Peristiwa yang juga begitu menguji Nabi SAW ialah pemulauan kaum Quraisy Makkah terhadap Bani Hasyim dan Bani Abdul Muttalib yang berlangsung selama tiga tahun. Tindakan tersebut antara lain melarang urusan perniagaan dengan kedua-dua kabilah berkenaan menyebabkan Nabi SAW dan pengikut-pengikut Baginda menghadapi situasi amat sukar apabila bekalan makanan terputus. Situasi yang sangat menekan inilah juga menyebabkan kemerosotan kesihatan Abu Talib serta Sayyidatuna Khadijah r.a. dan akhirnya meninggal dunia.
Dalam semua situasi ini, Nabi SAW menunjukkan teladan terbaik untuk menghadapi setiap ujian dalam kehidupan termasuk kehilangan insan tersayang. Hal ini umpamanya jelas dalam jawapan Baginda kepada Abdul Rahman bin `Auf yang menanyakan perihal tangisan Baginda ketika putera Baginda, Ibrahim meninggal dunia. Menurut Baginda, tangisan merupakan rahmat dan air mata yang dititiskan serta kesedihan yang menyelubungi jiwa tidak sehingga mendorong perkara yang tidak diredai Allah dilafazkan. Dengan kata-kata lain, tangisan dan kesedihan merupakan fitrah insani. Namun pada masa yang sama, sebagaimana diajar Baginda SAW, setiap ujian mesti dihadapi dengan kesabaran, kesyukuran dan keyakinan bahawa terdapat pelbagai hikmah di sebaliknya. Hikmah yang barangkali kemudiannya dapat disaksikan oleh hamba yang diuji atau pula selama-lamanya hanya kekal menjadi rahsia Allah SWT.
