Asam jawa atau turut dikenali sebagai celagi adalah sejenis tumbuhan saka malar hijau yang menghasilkan buah asam. Asam jawa biasanya digunakan dalam masakan dan juga boleh dimakan begitu sahaja atau ditambah gula untuk dibuat minuman.
Kalau kita perasan, memang setiap rumah ada pokok asam jawa ni kan? Sebenarnya, asam jawa kaya dengan vitamin dan mineral. Ia sangat bagus untuk kesihatan serta kecantikan diri. Ikuti penerangan lanjut di bawah yang dikongsi oleh Dr Suri Roowi.
3 SEBAB KENAPA KENA ADA ASAM JAWA DI RUMAH
Kajian ke atas 11 lelaki mendapati ekstrak biji asam jawa yang disapukan 2 kali sehari selama 12 minggu juga dapat mencerahkan kulit wajah mereka. Fenomena ini dikaitkan dengan penurunan kandungan melanin pada kulit.
1. ASAM JAWA MEMBANTU MELEMBAB & CERAHKAN KULIT
Asam jawa telah digunakan sebagai sumber alami untuk membantu masalah kulit. Campuran asam jawa dengan pektin akan lebih membantu melembapkan kulit. Ia disebabkan kehadiran bahan alfa-hidroksil (AHA). Pektin boleh didapati secara komersil dan biasa digunakan dalam pembuatan jus.
Kajian ke atas 38 wanita mendapati wajah mereka jadi lebih cerah setelah disapu dengan larutan asam jawa selama 4 minggu. Larutan asam jawa disediakan dengan mencampurkan 8g bersama 100 ml air.
2. BANTU MASALAH PERNAFASAN
Kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Systemic Rev. in Pharmacy pada tahun 2021 menunjukkan air asam jawa bantu kurangkan masalah pernafasan di kalangan perokok tegar. Kajian ke atas perokok tegar yang diberi minum air asam jawa telah dilakukan selama 7 hari berturut-turut. 40 perokok dewasa lelaki dan 40 lelaki bukan perokok terlibat dengan kajian ini.
Sebelum diberi minum air asam jawa, peratus isipadu udara pernafasan dalam paru-paru kumpulan perokok tegar adalah lebih rendah berbanding kumpulan tidak merokok (56% berbanding 78%). Selepas 7 hari mengambil air asam jawa, peratus isipadu udara dalam paru-paru perokok tegar meningkat sehingga 73%.
Justeru, jika anda menghadapi masalah pernafasan, minumlah air asam jawa.
3. BANTU KAWAL BERAT BADAN & TURUNKAN KOLESTROL
Kajian yang dilakukan oleh UPM dan diterbitkan dalam Journal of Natural Medicine pada tahun 2012 mendapati asam jawa bantu turunkan kolesterol LDL dan tingkatkan kandungan kolesterol HDL (kolesterol baik) dalam darah. Bahan aktif dalam asam jawa dikenali sebagai hydroxycitric acid (HCA) bertindak mengurangkan pembentukan asid lemak.
Walaubagaimanapun, kandungan HCA dalam asam jawa lebih rendah (3.5g dalam 100g asam jawa) berbanding 30g dalam 100g bagi asam gelugur.
Apakah kebaikan bahan khasiat HCA ini?
- Bantu kurangkan pembentukan lemak
- Boleh tingkatkan tahap serotonin (bahan kimia otak), yang buatkan kita berasa kenyang. Justeru, boleh bantu turunkan berat badan.
Kajian anti-obesiti yang diterbitkan dalam Journal of Natural Medicines pada tahun 2012 juga mendapati tikus gemuk yang diberi minum ekstrak asam jawa menunjukkan penurunan berat badan setelah 10 minggu. Dos yang disarankan adalah ambil 10g asam jawa dan bancuh bersama 100ml air suam dan madu asli.