≡ Menu

Perlukah Qadha Solat Dan Puasa Sekiranya Pengsan Atau Koma? Baca Penjelasan Ulama

Soalan; orang yang pengsan atau koma berhari-hari, adakah dia wajib mengqadha solat dan puasa yang dia tinggalkan semasa sedang koma/pengsan itu?

Jawapan;

1. Orang yang sedang dalam koma/pengsan gugur kewajipan ibadat darinya (termasuk solat dan puasa). Adapun tentang qadha, maka bagi ibadat puasa, telah ijmak sekelian ulamak bahawa koma/pengsan tidak menggugurkan kewajipan mengqadha puasa. Maka orang yang tertinggal puasanya kerana koma/pengsan dia wajib mengqadha semua puasa yang ditinggalnya semasa sedang koma/pengsan itu apabila ia sembuh dari sakitnya (yakni tersedar dari koma/pengsannya).

Jika komanya berterusan hingga saat kematiannya, hendaklah digantikan puasanya dengan fidyah sebagaimana sabda Nabi SAW; “Jika seseorang itu sakit dalam bulan Ramadhan, kemudian mati tanpa sempat menggantikan puasanya, maka hendaklah diberi makan (kepada orang miskin) bagi pihaknya dan tidak ada qadha atasnya” (Sunan Abu Daud; 2401, dari Ibnu ‘Abbas RA).

BACA:  Ciri Ciri Pakaian Yang Diajarkan Syarak Untuk Muslimah.

2. Adapun solat, maka para fuqahak berbeza pandangan seperti berikut;

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

a) Menurut jumhur ulamak (iaitu mazhab Maliki dan Syafiie)[1]; orang yang koma atau pengsan tidak dituntut mengqadha solat yang luput darinya sepanjang tempoh koma/pengsannya, kecuali jika ia tersedar pada suatu waktu solat ketika waktu masih ada (maka wajiblah dia menunaikan solat tersebut).

Saidatina ‘Aisyah RA menceritakan; ‘Dia bertanya Nabi SAW berkenaan seorang lelaki yang pengsan, lalu menyebabkan dia meninggalkan solat (adakah wajib dia mengqadha solatnya?’. Maka baginda menjawab; “Tidak dituntut dia mengqadha solatnya, kecuali dia pengsan dan tersedar ketika waktu solat masih ada, maka wajiblah dia mengerjakan solat tersebut” (Sunan ad-Daruqutni; 1860. As-Sunan al-Kubra, al-Baihaqi; 1820).

b) Menurut Imam Abu Hanifah; jika jumlah solat yang tertinggal semasa koma/pengsan itu kurang dari lima solat, wajiblah dia mengqadhanya. Namun jika lebih dari 5 solat (iaitu 6 dan ke atas), tidaklah dituntut lagi dia mengqadha solat-solatnya.

BACA:  Membaca Al-Quran di Handphone Tanpa Berwudhu, Apakah Hukumnya?

c) Menurut mazhab Hanbali; orang koma/pengsan wajib mengqadha ke semua solat yang dia tinggalkan semasa sedang koma/pengsan sama ada bilangan banyak atau sedikit, berdalilkan amalan sahabat Nabi SAW iaitu ‘Ammar RA yang pengsan selama tiga hari. Apabila ia sedar dari pengsannya, dia mengqadha ke semua solat yang ditinggalnya dalam tiga hari itu. Pandangan yang sama turut di riwayatkan dari sahabat Nabi bernama Samurah bin Jundab RA.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/267-268.
2. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 3/7 (kitab as-Solah) dan 6/872 (kitab as-Shaum).

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.