Pada awal penghijrahan Rasulullah SAW dari kota Makkah ke Yathrib (Madinah Al-Munawarah), antara perkara yang dilakukan selain membina Masjid Nabawi adalah mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajirin.
Baginda juga membuat Perjanjian Piagam Madinah dengan para pemimpin semua kaum, mengadakan bancian penduduk dan membuka sebuah pasar muslim.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Aku diperintahkan untuk berhijrah ke sebuah kota yang akan mengalahkan kota lain. Kota itu disebut Yathrib. Itulah Madinah. Kota itulah yang akan membersihkan manusia (daripada segala keburukan dan kemusyrikan) sebagaimana tungku api menghilangkan kotoran besi.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Tanda aras kebangkitan Islam bermula apabila Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah. Hijrah telah meningkatkan taraf kedudukan umat Islam mencakupi semua bidang termasuk hal ehwal kemasyarakatan dan kenegaraan sehingga tersebar ke seluruh pelusuk dunia.
Teras penting dalam membina sebuah negara adalah ekonomi. Ketika itu, sistem kewangan dan ekonomi Madinah dikuasai oleh golongan Yahudi. Ia berorientasikan riba, tipu helah, peras ugut dan penindasan.
Tapak pasar dikenakan sewa yang tinggi sehingga membebankan kaum Muhajirin untuk berniaga. Para sahabat dan pengikut Baginda tidak dapat menjual mahupun membeli keperluan harian.
Sesungguhnya Islam adalah agama yang sempurna, yang di dalamnya terkandung semua aspek kehidupan manusia, baik persoalan aqidah mahupun muamalat. Dalam setiap aktiviti muamalat yang dilakukan oleh orang Islam, ia perlu mengikut prinsip utama muamalat Islam. Ia merupakan asas etika dalam perbuatan manusia.
Prinsip muamalat menjamin agar setiap tindakan yang dilakukan sentiasa tepat dengan kehendak Islam dan sesuai dengan keinginan manusia yang sentiasa inginkan kebaikan dan keselesaan dalam kehidupan. Ia adalah prinsip kebenaran, prinsip amanah, prinsip keikhlasan, prinsip keadilan, prinsip persaudaraan dan prinsip pengetahuan.
Mewujudkan sistem ekonomi Islam
Rasulullah SAW telah mewujudkan sistem ekonomi Islam sebagai menggantikan sistem ekonomi Yahudi dan jahilia. Sebuah pasar muslim dibangunkan. Pasar itu dibuka kepada semua tidak terhad kepada para peniaga muslim sahaja malahan turut dibuka kepada bukan muslim. Ia sebagai satu cara pengukuhan ekonomi masyarakat Islam.
Ekoran itu, kaum Yahudi mengalami kerugian apabila masyarakat Islam Madinah mula beralih dan mengutamakan pasar milik peniaga Islam. Sistem berlandaskan riba oleh Yahudi turut terhapus dan digantikan dengan sistem kewangan berasaskan wang dinar dan dirham. Ia bersandarkan emas yang lebih stabil dan adil menjadikan ekonomi Islam bertambah kukuh.
Sistem wakaf mula berkembang. Sebahagian besar harta yang diperoleh hasil perniagaan para sahabat diwakafkan. Ia membantu rakyat dari aspek sumber air dan tanah untuk pembinaan masjid yang berfungsi sebagai pusat pemerintahan, pendidikan dan dakwah ketika itu.
Zakat turut berkembang seiring peningkatan ekonomi Islam dalam membela nasib golongan miskin, anak yatim dan golongan asnaf. Para sahabat turut membiayai sebahagian besar kelengkapan pertahanan peperangan Madinah di awal proses pembinaannya.
Kebijaksanaan Rasulullah SAW mengurus sistem ekonomi yang saksama menyebabkan nasib umat Islam terbela. Rasulullah dan sahabat-sahabat Baginda membentuk masyarakat baharu, membina kematangan politik dan menyampaikan dakwah Islam ke pelusuk dunia.
Madinah menjadi milik semua kaum tanpa memilih apakah bangsa dan agama mereka. Semua pihak dilindungi undang-undang Islam.