≡ Menu

Persiapkan Bekalan Untuk Akhirat Kelak. Banyakkan Amalan Bersedekah

KITA sentiasa mendengar perkongsian daripada asatizah berkitan sabda Baginda Nabi SAW iaitu apabila menghampiri saat masuk ke alam barzakh, manusia akan diiringi oleh tiga perkara, dua akan kembali iaitu keluarga dan harta dan hanya satu yang akan kekal setia bersama iaitu amalnya. Hadis yang telah diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, ia berkata bahawa Baginda SAW bersabda maksudnya:  “Yang mengikut mayat sampai ke kubur ada tiga, dua akan kembali dan satu tetap bersamanya di kubur. Yang mengikutinya adalah keluarga, harta dan amalnya. Yang kembali adalah keluarga dan hartanya. Sedangkan yang tetap bersamanya di kubur adalah amalnya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Dan disebutkan juga melalui hadis daripada Al-Bara’ bin ‘Azib tentang pertanyaan di alam kubur: “Ada ketika itu datang seseorang yang berwajah tampan dan berpakaian bagus, baunya pun wangi. Ia adalah wujud daripada amalan soleh seorang hamba. Sedangkan orang kafir didatangi oleh orang yang berwajah buruk. Itu adalah wujud daripada amalan buruknya.” (Hadis Riwayat Ahmad, 4:287. Syeikh Syuaib Al-Arnauth menukilkan ia riwayat sahih)

Konsep amalan ini merujuk kepada banyak perkara, salah satunya adalah berkaitan sedekah yang akan terus menerus membawa kebaikan dan saham yang besar kepada si mati kelak.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya: ‏ “Apabila mati seorang manusia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.”

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis ini menyebut: “Ulama berkata, makna hadis ini adalah bahawa amalan si mati akan terputus dengan sebab kematiannya dan terputus juga pembaharuan pahala baginya kecuali dengan tiga amalan ini. Ini kerana ia menjadi penyebabnya. Anak yang soleh daripada usahanya. Manakala ilmu yang ditinggalkannya adalah dengan sebab pengajaran atau karangannya. Begitu juga sedekah jariah iaitu wakaf.”

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Bentuk-bentuk Sedekah Jariyah

Daripada Abu Hurairah RA, Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya:  “Sesungguhnya yang diperoleh oleh seseorang yang beriman daripada amalan dan kebaikan yang dilakukan setelah dia mati adalah:  Ilmu yang  dia ajarkan dan sebarkan.  Anak soleh yang dia tinggalkan.  Mushaf al-Quran yang dia wariskan.  Masjid yang dibina.  Rumah bagi ibnu sabil (musafir yang terputus perjalanan) yang dia bina . Sungai yang dia alirkan. Sedekah yang dia keluarkan daripada harta ketika dia sihat dan hidup.  Semua itu akan dihubungkan dengannya setelah dia mati.” (Hadis Riwayat Ibn Majah (242), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (3174). Hadis ini disahihkan oleh Ibn Khuzaimah dan dihasankan oleh al-Munziri)

BACA:  Fadhilat surah Yasin. Rupanya Banyak Fadhilat Mengamalkannya

Allah SWT menjelaskan dalam al-Quran berkaitan kelebihan sedekah secara jelas agar dapat diamalkan oleh manusia ketika masih lagi berpeluang untuk melakukannya. Allah berfirman maksudnya:  “Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul daripada jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Baqarah ayat 265)

Ibn Kathir berkata: “Firman Allah SWT yang bermaksud (seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi) adalah seperti sebuah kebun di dataran tinggi. Demikian menurut jumhur ulama.  Rabwah  bermaksud tanah tinggi. Ibn Abbas dan al-Dahhak menambah, padanya mengalir sungai-sungai.

Dr  Wahbah al-Zuhaili menyebut: “Gambaran infaq mereka ini sama ada yang banyak mahupun sedikit adalah bagaikan kebun yang memiliki tanah yang baik dan subur. Pepohon dan tumbuhannya berkembang dengan baik. Kebun ini terletak di dataran yang tinggi, yang memperoleh sinar matahari dan pengudaraan yang baik serta disirami hujan yang lebat sehingga tumbuh-tumbuhannya menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding yang lain. Jika kebun itu disirami hujan gerimis, maka hal itu pun sudah mencukupi dan mampu menjadikan pohon-pohonnya tumbuh dengan baik dan tetap menghasilkan buah yang melimpah. Hal ini disebabkan tanahnya yang subur dan kedudukannya yang strategik. Manakala sebab kenapa kebun yang dijadikan perumpamaan di sini adalah kebun yang berada di  rabwah  (dataran tinggi), kerana pohon dan tumbuhan yang ada di kawasan tinggi lebih baik dan buah yang dihasilkannya juga lebih baik.

BACA:  Usah Putus Asa! Ini Antara 6 Waktu Yang Mustajab Untuk Berdoa

“Allah SWT dengan kemurahan-Nya mengembangkan infaq yang dikeluarkan oleh orang-orang yang ikhlas dan memberi mereka balasan yang lebih banyak seperti sebuah kebun yang menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding buah yang dihasilkan kebun-kebun yang lain. Hal ini bertujuan memujuk hati dan fikiran kita.”

Firman Allah SWT maksudnya:  “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya) dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (Surah al-Baqarah ayat 261-262)

Ibn Kathir berkata:  “Ini merupakan perumpamaan Allah mengenai gandaan pahala untuk orang yang bernafkah hartanya pada jalan Allah kerana mencari keredaan-Nya. ”

Al-Imam al-Nasafi berkata:  “Allah membuktikan kekuasaannya dalam menghidupkan yang mati seterusnya Allah menggesa supaya menginfak pada jalan Allah kerana pahalanya yang amat besar.”

Syeikh al-Maraghi berkata:  “Ringkasnya orang yang mendermakan hartanya demi mencari keredaan Ilahi dan meninggikan agama-Nya adalah ibarat sebutir biji yang baik ditanam di tanah yang subur. Lalu ia tumbuh dengan subur serta menumbuhkan hasil tujuh ratus kali ganda. ”

Firman Allah SWT:  “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji.  Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang dia kehendaki. Dan Allah Maha luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”

Justeru itu, kehidupan manusia yang bersifat sementara ini perlu diisikan dengan pelbagai amalan antaranya sedekah yang banyak kelebihan yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.