
Apabila sudah berkahwin, pastinya urusan perbelanjaan atau dipanggil ‘nafkah’ menjadi tanggungjawab para suami. Namun, ramai yang terlepas pandang bahawa isu nafkah ini menjadi punca keretakan rumah tangga akibat tiada perbincangan sesama sendiri dan menjadi ‘top case’ di mahkamah syariah.
Oleh itu, seorang peguam tampil untuk menjelaskan mitos nafkah di undang-undang syariah yang setiap pasangan kena tahu supaya kurang pergelutan di kemudian hari. Jangan gaduh-gaduh!
“NAFKAH DIBERI IKUT KEMAMPUAN SUAMI, BUKAN KEHENDAK ISTERI”
“Nafkah isteri mesti diberikan duit sekelepuk. Duit poket untuk isteri gunakan sesuka hati. Ini baru nafkah.”
Ini pun satu lagi Mitos Undang-undang syariah. Tuan puan, nafkah isteri mengikut hukum dan undang-undang merangkumi 4 perkara iaitu:
-Makan minum
-Pakaian
-Tempat tinggal
-Perubatan
Banyak yang mengadu, mengatakan suami tidak memberikan nafkah kepadanya. Bila saya tanya barang dapur siapa yang beli? Katanya suami. Sewa rumah / ansuran rumah dan bil utiliti siapa bayar? Katanya juga suami. Kalau sakit pergi klinik, siapa bayar? Jawabnya suami.
Pergi shopping beli pakaian, siapa bayar? Suami juga katanya. Ha kalau dah begitu keadaannya, dikira suami tersebut telah memenuhi tanggungjawab memberikan nafkah. Tapi duit poket takde dia bagi. Duit poket BUKAN NAFKAH puan.
Jika suami mahu berikan duit poket sahaja dan suruh puan belikan semua 4 perkara itu pun boleh. Yang dikatakan tidak memberikan nafkah itu adalah bilamana, dah lah duit poket tidak diberi, barang dapur, sewa rumah, pakaian, sakit pening semua isteri tanggung.

Buat kaum suami, ada 2 pilihan untuk menunaikan nafkah. Sama ada diri sendiri uruskan 4 perkara di atas atau berikan sahaja duit untuk kaum isteri belikan 4 perkara di atas. Suami yang kerja keras dengan ikhlas dan niat untuk menafkahi ahli keluarga, percayalah, rezeki sentiasa dicukupkan. Isteri dan anak-anak itu pintu-pintu rezeki. Usaha keras dan keikhlasan kita kaum suami itulah kunci kepada pintu-pintu tersebut.
“BANYAK TERPENGARUH MEDIA SOSIAL”
Menjengah ke ruangan komen juga, ramai dalam kalangan pengguna laman yang bersetuju supaya tidak membebankan pasangan masing-masing. Apa yang penting adalah setiap pasangan tahu untuk menjalankan tanggungjawab dan melangsaikan segala apa yang ditugaskan dari sisi agama.
Bukan itu sahaja, penting juga untuk orang ramai tahu bahawa pemberian nafkah ini adalah berdasarkan kemampuan suami, bukanlah tertakluk kepada kehendak si isteri semata-mata.
