≡ Menu

Pertahankan Kedaulatan Mushaf Al-Quran Al-Karim

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya). Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamat orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Marilah kita memahami sesungguh-sungguhnya untuk menambahkan keimanan kita akan firman Allah Ta’ala:

وَإِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ (٢٣) فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا وَلَن تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ ۖ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ (٢٤) [سورة البقرة : ٢٣-٢٤]

(Maksudnya): Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang apa yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surah (sahaja) yang sama dengan Al-Quran itu, dan ajaklah penolong-penolong kamu selain dari Allah, jika kamu orang-orang yang benar. Maka jika kamu tidak dapat membuatnya, dan pasti kamu tidak akan dapat membuatnya, peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya: manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Kitab suci Al-Quran adalah mukjizat ilmu yang diberi kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, Nabi akhir zaman. Mukjizat adalah perkara yang luar biasa yang tidak boleh dilawan oleh sesiapa pun. Ia dikurniakan kepada sesiapa yang dilantik menjadi rasul untuk menjadi bukti kerasulan dan kenabiannya daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala mengikut zaman masing-masing.

Allah kurniakan mukjizat datang taufan yang besar yang tidak boleh dilawan di zaman Nabi Nuh ‘alaihis salam menandakan kenabian dan kerasulannya serta benar perjuangannya. Dibakar Nabi Ibrahim ‘alaihis salam oleh raja yang zalim ke dalam api yang besar yang dinyalakan tidak berjaya menghanguskan dan membunuh Nabi Ibrahim ‘alaihis salam. Nabi Musa dikurniakan mukjizat tongkat mengalah semua ahli sihir menyebabkan ahli-ahli sihir itu beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Begitulah nabi-nabi yang lain, berakhir dengan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dikurniakan mukjizat ilmu daripada Al-Quranul Karim yang datang daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam keadaan Nabi dijadikan buta huruf (tidak tahu membaca dan menulis) di tengah-tengah masyarakat yang terpencil di tengah padang pasir jauh daripada segala tamadun dan kemajuan dan jauh daripada Ahli Kitab. Penduduknya adalah jahiliyyah yang sangat keras tiba-tiba dikurniakan wahyu yang berbentuk Al-Quranul Karim yang dibaca oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam di mana yang terkandung di dalamnya melemahkan manusia untuk melawannya.

BACA:  Doa Untuk Orang Yang Bermusafir. Insya'Allah Amalkan Sebelum Memulakan Perjalanan

Orang-orang Arab yang terkenal dengan seni bahasa yang halus mencipta sya’ir dan sajak, menyampaikan ucapan-ucapan yang laksana sihir yang menarik, bila mendengar Al-Quran mereka kalah dan mereka tercengang. Ini bukan ciptaan manusia. Orang yang keras menentang Islam tetapi hatinya lembut seperti ‘Umar bin Al-Khattab radiAllahu ‘anhu apabila membaca Al-Quran terus masuk Islam. Kecuali manusia yang hatinya disifatkan oleh Allah lebih keras daripada batu yang tidak layak mendapat hidayah.

Sesungguhnya Al-Quran tidak boleh dicabar oleh semua ahli-ahli ilmu di dalam dunia. Mereka yang ditugaskan untuk melawan Al-Quran mengkaji dan membacanya, mencari kelemahan-kelemahan yang ada di dalamnya untuk mengelirukan manusia untuk mengalahkan Islam, akhirnya gagal. Ramai kalangan mereka yang insaf dan terus masuk Islam. Bukan sahaja ahli-ahli agama, bahkan juga ahli-ahli politik, ahli-ahli ekonomi dan ahli-ahli sains yang mengkaji Al-Quranul Karim, mereka menyerah kalah dan masuk Islam bila mendapat hidayah.

Adapun yang degil berhati keras dan sombong takbur tidak dapat menerima hidayah dan tidak diberi hidayah oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Mereka melawan dalam keadaan kelam kabut. Kita menyaksikan manusia yang mencipta pelbagai ideologi dan fahaman dalam dunia untuk memerintah negara, mentadbir urusan ekonomi dan kehidupan manusia yang lain telah menemui kegagalan. Di abad yang lalu dunia menyaksikan keruntuhan sebuah megara besar Soviet Union yang menganut ajaran Komunisme dan Sosialisme runtuh berkecai menjadi negara-negara yang kecil sehingga pendokong-pendokong komunis dan sosialis terpaksa meminda ideologi dan ajaran mereka.

Kita menyaksikan fahaman Liberal Kapitalisme dan Demokrasi Barat yang dianut oleh negara barat sedang merudum pada hari ini. Negaranya sedang merudum menunggu keruntuhan, keluarga yang runtuh dan rapuh serta rosak. Akhbar-akhbar melaporkan tingginya kadar jenayah dan berbagai-bagai penyakit dalam masyarakat. Bagaimana anak meninggalkan ibu bapa sehingga ibu bapa menulis wasiat hartanya kepada anjing peliharaannya. Itu menandakan keruntuhan dalam negara-negara barat yang liberal dan bebas itu.

Namun mereka berdegil, terus melawan Islam secara gila dan tidak berakal atau secara buta fikiran. Diberitakan Al-Quran dibakar hangus, kononnya menghina Islam. Al-Quran adalah cahaya Allah Subhanahu wa Ta’ala, tidak boleh dihancurkan ajarannya dengan dibakar menjadi abu. Kekuatan daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana mereka tidak boleh menjatuhkan bulan dan matahari dengan alat-alat yang ada pada mereka sebelum berlakunya kiamat daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Begitulah mereka tidak boleh menghapuskan Al-Quranul Karim.

BACA:  Amalan Amalan Yang Membuka Pintu Rezeki. Insya'Allah Amalkan

Apa yang berlaku menunjukkan kebodohan mereka. Sepatutnya mereka mengkaji Al-Quran. Banyak mereka yang mengkaji Al-Quran menyerah kalah. Terdapat satu cerita yang menarik, seorang paderi kristian di Amerika yang sangat bencikan Islam berusaha untuk mengkristiankan seorang pekerja muslim yang bekerja dengan bapanya dalam perniagaan. Melihat orang Islam ini sangat beradab, sangat baik dan bijak, alangkah baiknya kalau dia masuk kristian, boleh tolong mengembangkan agama kristian, lalu dipujuknya. Orang Islam itu minta supaya dibandingkan Al-Quran dengan Bible (Injil) yang ada padanya. Lalu diadakan perbincangan dengan dibaca Al-Quran dan dibaca Bible (Injil) dengan berbagai-bagai jenis Bible. Akhirnya paderi yang masuk Islam, bukan muslim yang masuk kristian. Al-Quran mengalahkan kitab-kitab Injil yang telah diubah itu. Ini adalah mukjizat Al-Quran yang perlu kita ketahui.

Tindakan membakar Al-Quran memang menimbulkan kemarahan umat Islam. Umat Islam yang jahil dan yang buta huruf atau buta Al-Quran akan marah apabila Al-Quran dibakar. Ini menandakan keimanan yang ada di dalam diri mereka.

Apa yang penting, orang Islam sendiri hendaklah membaca Al-Quran bukan sekadar mengaji dan membacanya dengan baik dan menulis dengan tulisan yang cantik, yang terpenting Al-Quran ini adalah petunjuk dalam semua urusan hidupnya. Perintah-perintah Al-Quran hendaklah diamalkan, jangan tinggal petunjuk Al-Quran.

Kita saksikan kelemahan yang dialami oleh umat Islam pada hari ini adalah kerana mereka jahil akan kitab suci mereka sendiri. Mereka tidak beramal dengan Al-Quran. Oleh sebab itu, kaji, baca, mengaji, faham, ikut petunjuknya dan kembali semula kepada Islam.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

إِنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ ۚ وَلَا تَكُن لِّلْخَائِنِينَ خَصِيمًا (١٠٥) [سورة النساء : ١٠٥]

(Maksudnya): Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.