
Susah hati apabila melihat anak orang lain sudah bercakap tetapi anak sendiri belum boleh bercakap.
Topik berkaitan dengan anak lambat bercakap ini adalah isu yang paling sensitif bagi ibu bapa. Ramai yang menjadi tak keruan apabila anak mereka tidak menunjukkan tanda-tanda untuk bercakap.
Sebagai ibu bapa, kamu perlu tahu setiap kanak-kanak tidak mempunyai tahap perkembangan yang sama. Jadi ia normal jika anak kamu boleh berjalan tetapi lambat bercakap dan anak rakan kamu boleh bercakap tetapi belum lancar untuk berjalan.
Tetapi kamu perlu risau jika anak kamu sudah menginjak usia 2 tahun dan ke atas tidak menunjukkan sebarang tanda untuk bercakap. Jadi buat ibu bapa yang mencari alternatif lain untuk membantu anak kamu bercakap, teruskan baca entri ini.
Ajak Anak Bersembang
Salah satu cara untuk membuatkan anak kamu cepat bercakap adalah dengan mengajaknya bersembang. Bagi ibu bapa yang sibuk, cuba untuk cari masa yang sesuai untuk bersembang dengan anak.
Gunakan ayat-ayat yang mudah disebut dan difahami oleh mereka. Dengan cara itu, mereka boleh memahami dan menggunakan perkataan yang mudah untuk disebut.
Kamu boleh mulakan perbualan dengan bertanyakan tentang hari anak kamu, aktiviti yang dilakukannya atau perkara yang disukai oleh anak kamu.
Jangan Gunakan Banyak Bahasa
Ramai ibu bapa yang beranggapan jika anak-anak diajar dengan pelbagai bahasa sejak dari kecil, mereka akan mudah dan cepat mempelajarinyi dan mahir.
Sebenarnya ia adalah salah. Terlalu banyak penggunaan bahasa di rumah boleh mengelirukan anak kamu. Dari situ, anak kamu tidak akan tahu untuk menggunakan bahasa yang mana satu untuk bercakap.
Jika kamu ingin anak kamu mahir dalam beberapa bahasa, gunakan hanya 2 jenis bahasa sahaja di rumah untuk berkomunikasi dengannya.
Hadkan Penggunaan Gadget & Teknologi
Ibu bapa pada zaman moden ini sering memberikan gadget dan teknologi kepada anak-anak mereka. Apabila kamu tidak mengehadkan ia boleh menjadi berbahaya kepada anak kamu.
Melalui gadget dan teknologi, anak kamu hanya fokus kepadanya dan tiada keinginan untuk bercakap. Hadkan penggunaanya untuk 2 jam sehari dan masa yang selebihnya kamu boleh luangkan masa dengan anak kamu.
Amalkan Surah
#1 Surah An-Nisa’ & Surah Al-Fatihah
Kamu perlu membaca surah surah An-Nisa’ dan surah Al-Fatihah pada madu dan kemudian sapu madu di bawah lidah anak.
#2 Surah Taha
Untuk surah Taha ini, kamu perlu membaca dan kemudiannya hembus ke dalam mulut anak. Amalkan selepas setiap solat subuh sebanyak 21 kali untuk otak cerdas, akal sempurna dan daya ingatan.
Walaupun ini hanyalah sebagai salah satu alternatif untuk ibu bapa, tetapi kamu perlu sentiasa konsisten dan sentiasa berdoa supaya semuanya dipermudahkan dan memberi kebaikan kepada anak kamu.
Selamat beramal!
