≡ Menu

Ramadhan Dah Habis, Lepas Tu Apa? Kembali Seperti Biasa?

SAMBUTAN Aidilfitri dan Syawal kali ini seperti Ramadan kita lalui sebelum ini, menjadi sejarah yang akan didendangkan kepada anak cucu nanti.

Norma dan kebiasaan baharu kerana wabak COVID-19 menyebabkan tiada budaya balik ke kampung secara besar-besaran tahun ini, tidak seperti sebelum ini yang ada ketikanya mengambil masa hingga berbelas-belas jam di atas jalan raya.

Hari raya kali ini, kita akan memakai pakaian terbaik, tetapi dalam lingkungan amat terbatas. Ziarah-menziarahi hanya dihadkan kepada mereka dalam negeri sama. Amalan berkumpul mengeratkan silaturahim juga dalam jumlah terhad dengan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan.

Tindakan di luar kebiasaan ini perlu diterima dan menjadi budaya baharu hingga vaksin ditemui bagi melawan jangkitan ini. Tiada seorang pun boleh mengagak bilakah penawar itu mampu dihasilkan dan dapat disediakan kepada masyarakat. Barangkali 12 bulan atau mungkin mencecah hingga 18 bulan seperti disebutkan Perdana Menteri dalam perutusan khas.

Pihak pemerintah sudah tentu amat mengharapkan normal baharu ini benar-benar disambut rakyat dengan penuh kesedaran. Ia mampu membantu masyarakat berada dalam keadaan dan persekitaran sihat, sekali gus dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Harapan ini sebenarnya boleh disambut dan ditunaikan dengan penuh tanggungjawab sekiranya wujud kesedaran jitu dalam jiwa rakyat. Di sinilah kedudukan fungsi ibadat berpuasa dalam Ramadan sebelum ini.

Ia dianggap madrasah tarbiah kepada setiap Muslim. Dalam madrasah ini, terdapat larangan tertentu berperanan mendisiplinkan individu berpuasa, selain peluang membersihkan dosa dan mengumpulkan pahala.

Ramadan juga diharap berjaya memupuk sifat mahmudah atau baik dalam diri insan seperti mengasihani sesama manusia, prihatin terhadap orang kurang bernasib baik, sabar dan bersyukur.

Ia juga diharap menjadikan Muslim dapat meninggalkan sifat mazmumah (buruk) seperti sabda Rasulullah SAW: Lima perkara yang menghapuskan puasa yakni dalam erti menghapuskan pahalanya, iaitu dusta, mengumpat, mengadu-domba, sumpah palsu dan melihat sesuatu dengan hawa nafsu. (HR Bukhari dan Muslim)

Bulan puasa yang sudah berlalu juga boleh dijadikan sebagai wadah kemakmuran sosioekonomi masyarakat setempat dengan sumbangan sedekah yang kemuncaknya ialah pembayaran zakat fitrah. Garisan penamatnya ialah kesempurnaan dalam penyucian jiwa selari dengan tiga fasa atau tahap Ramadan merangkumi rahmat, keampunan dan pembebasan daripada api neraka.

Di sebalik kekangan yang dihadapi pada Syawal ini, ia menjadi pengiktirafan kepada kejayaan dalam perjuangan melawan hawa nafsu dan pembentukan insan salih bertakwa. Jika Ramadan medium bermuhasabah diri dan penambahbaikan hubungan hamba dengan Penciptanya, Syawal pula menyediakan peluang terbaik menyempurnakan urusan agama dari sudut hubungan sesama manusia.

Rasa tanggungjawab dengan penuh kesedaran ialah sebahagian nilai takwa terhasil daripada didikan madrasah Ramadan. Akhlak dan tingkah laku terpuji ialah cerminan kepada ketakwaan seseorang. Inti pati ibadah puasa adalah untuk menanam di lubuk hati insan mengenai kewujudan dan kehadiran Allah SWT dalam setiap saat kehidupan.

Bagi orang beriman, Syawal akan dirayakan dengan penuh ketakwaan dan pengertian sebenar walau dalam keadaan sedang diuji begini. Masih banyak sunah boleh dilakukan seperti diajar Nabi Muhammad SAW.

BACA:  Bahaya Sekiranya Kita Jarang Membuka Bilik Kita. Boleh Sakit Tau

Kita masih boleh memanjatkan syukur dengan bertakbir, mandi sunat dan bersolat sunat hari raya serta mendoakan sesama kita agar Allah SWT menerima amalan hingga berpuasa enam dalam Syawal dan meneruskan ibadah lain secara istiqamah.

Dalam hal ini, kita perlu memahami budaya kunjung-mengunjung ialah hiasan dan manifestasi kepada silaturahim untuk kita saling bermaaf-maafan bagi menyempurnakan dimensi agama dari sudut hubungan sesama manusia yang sebenarnya boleh digantikan secara kreatif.

Hasil tarbiah Ramadan akan menjadikan kita mampu melaksanakan tanggungjawab sosial dan kawalan kendiri dengan cemerlang, malah bersama-sama dan bersungguh-sungguh mengamalkan norma baharu demi memutuskan rantaian COVID-19.

Masyarakat Islam masih boleh bergembira walaupun perlu mengasimilasi normal baharu kerana Ramadan menjadikan kita sebagai jiwa bersyukur, masih mampu menghargai nikmat lain yang Allah SWT kurnia. Ia menjadikan kita sebagai hamba tidak mementingkan diri sendiri.

Ia selari dengan syair Arab yang bermaksud: “Bukanlah Aidilfitri untuk mereka yang berpakaian serba baharu, namun Aidilfitri adalah untuk mereka beriman dan ketaatan mereka yang bertambah-tambah.”

Akhir kata dengan seloka pendek daripada penulis: “Sayangkan isteri, tinggal-tinggalkan; sayangkan anak, tangan-tangankan; sayangkan orang tua tidak pulang ke kampung halaman.”

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.