≡ Menu

Ramadhan Tetap Ramadhan, Biarpun Dunia Dilanda Pandemik.

Ramadan disambut penuh ceria, dimeriahkan penuh gempita sebagai tanda meluahkan rasa rindu kepada ‘tetamu’ istimewa ini, memandangkan kedatangannya dijanjikan pelbagai keistimewaan dan kenikmatan.

Keistimewaan Ramadan secara jelas dinukilkan dalam banyak hadis. Ini menunjukkan bulan ini bukan calang-calang sehingga makhluk lain juga terasa kehebatan dan kenikmatan tersedia.

Dalam satu hadis dinyatakan, apabila tibanya Ramadan, maka akan dibukakan pintu syurga, pintu neraka ditutupi dan syaitan pula dibelenggu (Hadis Riwayat Sahih Bukhari).

Kebiasaannya, kedatangan Ramadan tidak terkecuali dengan rasa seronok dan meriah kerana ia juga dianggap sebagai bulan kemeriahan ibadah, tatkala setiap amalan ibadah dijanjikan beroleh nilai pahala digandakan.

Maka, amat sinonim kedatangan bulan ini dinantikan penuh keterujaan.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Keterujaan pula, biasanya sinonim dengan aktiviti tarawih dan beriktikaf di masjid, adanya iftar Ramadan serta tidak lupa budaya moreh.

Tidak terkecuali meriahnya bazar Ramadan, menjadi satu sumber rezeki yang memberi nafas bahagia buat semua peniaga.

Namun, sejak setahun lalu, dunia keseluruhannya terkesan dengan pandemik yang sedikit sebanyak mencalit kebebasan dalam meraikan sesuatu kegembiraan.

Tahun lalu, seluruh masjid dan surau dihadkan aktiviti kerana masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kali ini, kita semua sedikit gembira apabila prosedur operasi standard (SOP) melaksanakan solat di masjid dan surau sempena Ramadan diwujudkan. Ia memberikan kegembiraan buat semua.

BACA:  Hakikat Poligami Yang Disembunyikan

Sambutan Ramadan dalam norma baharu bukan penghalang untuk kita semua berusaha mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.

Ayuh jadikan Ramadan tahun ini lebih baik berbanding tahun lalu, seperti digambarkan Ibnu Rajab al-Hambali yang berkata, salafus soleh termasuk sahabat sangat gembira dan berdoa enam bulan sebelum kedatangan Ramadan agar dipertemukan bulan mulia itu.

Ternyata, dengan persiapan dan persediaan fizikal dan mental, ibadah Ramadan dapat dilalui dengan sempurna, sekali gus aura itu terus meresap masuk ke bulan lain yang mendatang.

Bagi menunjukkan rasa rindu, gembira dan bersyukur dengan kedatangan Ramadan, kita perlu meneliti semula segala rukun, syarat, lafaz niat, adab serta perkara yang membatalkan puasa supaya lebih bersedia, seterusnya dapat melakukan ibadat dengan lebih sempurna.

Persediaan ini penting bagi memastikan segala amalan dilakukan tidak cacat dan rosak kerana Ramadan juga bulan ibadah yang mana setiap amalan ganjarannya digandakan.

Pastikan juga tahun ini, kita tidak meninggalkan amalan sunat seperti bangun bersahur, melaksanakan solat sunat Tarawih serta bersedekah wang ringgit.

Anjuran bersahur sunat bagi orang berpuasa. Walaupun puasa seseorang itu sah sekiranya tidak bersahur, tetapi Rasulullah SAW sangat menitikberatkan amalan itu.

Hal ini diriwayatkan Abu Sa’id al-Khudri, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Makan sahur itu berkat, oleh sebab itu jangan kamu meninggalkannya walaupun salah seorang daripada kamu hanya meneguk seteguk air. Maka sesungguhnya Allah SWT dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang bersahur.” (Riwayat Imam Ahmad).

BACA:  Wanita yang di Azab Saat Menunaikan Haji

Bersahur juga membezakan puasa umat Islam dengan orang Yahudi dan Nasrani.

Tuntutan melaksanakan solat sunat tarawih juga sangat istimewa kerana ia hanya ada pada Ramadan.

Walaupun dengan SOP khusus, ia bukan penghalang untuk kita terus berusaha melengkapkan tuntutan amalan ini, sekali gus jadikan ia sebagai penguat diri untuk memanjatkan doa bagi sesuatu yang baik.

Tradisi bazar Ramadan juga kembali tahun ini dengan ketetapan tertentu.

Justeru, digalakkan kita berusaha mendidik diri dengan amalan sesuai dengan norma baharu, supaya tiada lagi wujud pembaziran kerana ia sangat bertentangan dengan Islam.

Ayuh sama-sama berdoa semoga pandemik COVID-19 berakhir dan kita semua dapat mengembalikan keseronokan, kegembiraan serta kebebasan dalam meraikan bulan ibadah ini.

Sudah pasti apabila hati benar-benar ikhlas mendapat keredaan Allah SWT menerusi setiap tingkah laku serta amalan kita, akan ada kemanisan walau berhadapan kesulitan.

Ayuh rebut peluang dan kejar ganjaran dijanjikan Allah SWT dengan memanjatkan doa sebanyaknya supaya segala kesulitan kesan daripada pandemik ini akan berakhir.

Sesungguhnya tiada yang mustahil di sisi Allah.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.