≡ Menu

Rasul-Rasul Ulul Azmi. Teladan Yang Wajar Kita Contohi Dalam Meniti Kehidupan Kita.

Ayuh ketahui kisah-kisah ketabahan tentang 5 Rasul Ulul Azmi.

Allah S.W.T telah mengirimkan para Nabi dan rasul sebagai utusan-Nya dalam menyampaikan ajaran Islam yang lurus dan benar. Terdapat 313 orang rasul yang diutuskan Allah untuk menyampaikan dakwah kepada orang lain, manakala beribu nabi yang dipilih oleh Allah sebagai pilihan-Nya.

Dari hadis riwayat Abu Dzar al-Ghifari R.A:

“Aku bertanya kepada Nabi SAW: Wahai Rasulullah, berapakah bilangan anbiyaa’?

Nabi S.A.W menjawab ‘124,000 orang’.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Aku bertanya lagi, ‘Berapakah bilangan Rasul daripada kalangan anbiyaa’ tersebut?’

Nabi SAW menjawab ‘313 orang, dan jumlah itu adalah ramai’.”

(Hadis Riwayat Ibn Hibban)


Dalam golongan Rasul, terdapat gelaran ‘ulul azmi’yang khas untuk rasul-rasul yang mempunyai ketabahan luar biasa serta menempuh ujian dan dalam perjalanan menyampaikan ajaran Islam.  Perkataan ‘ulul’  bermaksud memiliki dan ‘azmi’ bermaksud keteguhan hati atau tekad yang kuat.  Sangat bertepatan dengan kekuatan iman dan semangat para rasul ini sepanjang kehidupan mereka.

Terdapat lima orang Rasul yang tergolong dalam gelaran ulul azmi iaitu;  Nabi Ibrahim A.S, Nuh A.S, Musa A.S, Isa A.S dan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Nabi Muhammad S.A.W

1. Kehilangan Ahli Keluarga

Baginda Rasulullah S.A.W telah menjadi anak yatim piatu sejak usianya enam tahun. Kemudian berlaku ‘tahun dukacita’ kepada baginda setelah kehilangan isteri tercinta dan bapa saudara yang banyak membantu serta melindungi baginda pada tahun yang sama.

2. Tentangan Dakwah dari Pelbagai Sudut

Abu Lahab, bapa saudara baginda adalah sosok yang paling kuat menentang dakwahnya sehingga Allah merakamkan kejahatannya dan isteri dalam surah al-Lahab. Isterinya sering meletakkan duri di jalan yang dilalui baginda.

Selain itu, para pemimpin Quraisy Mekah menawarkan ganjaran yang sangat istimewa kepada baginda sekiranya meninggalkan dakwahnya. Mereka juga menawarkan hadiah dan upah yang lumayan kepada sesiapa yang berjaya membunuh Nabi S.A.W semasa dalam perjalanan hijrah ke Madinah.

Bahkan masyarakat Quraisy  juga memboikot urusniaga dengan Bani Hashim dan Bani Mutalib, hingga mereka kehabisan makanan dan terpaksa memakan daun-daun. Banyak lagi tentangan dan halangan yang dilakukan untuk mematahkan urusan dakwah Rasulullah yang datang dari pelbagai pihak, namun sedikit pun tidak merencatkan semangat baginda S.A.W.

3. Peperangan Yang Perit

Nabi Muhamamd S.A.W sangat banyak menyertai peperangan demi tujuan menyebarkan ajaran Islam dan menentang musuh-musuh yang cuba menjatuhkan perjuangan baginda. Setiap peperangan ditentang hebat dan penuh sengit  kerana bilangan musuh yang selalunya lebih ramai berbanding pasukan Islam. Namun dalam kebanyakan peperangan kemenangan berpihak kepada pasukan Nabi Muhammad S.A.W.

Rasulullah S.A.W bukan sahaja pernah mengalami kecederaan seperti luka dan patah giginya  semasa Perang Uhud, tetapi turut kehilangan  sahabat serta orang tersayang. Baginda juga telah kehilangan bapa saudara kesayangannya yang juga tonggak utama perjuangannya, iaitu Hamzah bin Abdul Mutalib.

Nabi Ibrahim A.S

1. Ayahnya Tidak Taat Kepada Allah S.W.T

Ayah Nabi Ibrahim, yang bernama Azar, merupakan seorang pengukir  patung berhala serta penyembah berhala yang sangat taat.  Sewaktu Nabi Ibrahim AS mengajak ayahnya  untuk mentaati Allah, ajakan itu tidak diendahkan.

Dalam al-Quran menceritakan peristiwa ini:

“Ingatlah ketika dia berkata kepada bapanya; ‘Wahai bapaku, mengapa kamu menyembah sesuatu yang tidak mendengar, tidak melihat dan tidak dapat menolong kamu sedikit pun?

Wahai bapakku, sesungguhnya telah datang kepadaku sebahagian ilmu pengetahuan yang tidak datang kepadamu, maka ikutilah aku, nescaya aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lurus.

Wahai bapaku, janganlah kamu menyembah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu derhaka kepada Tuhan Yang Maha Pemurah.
Berkata bapaknya: ‘Bencikah kamu kepada tuhan-tuhanku, hai Ibrahim? Jika kamu tidak berhenti, maka nescaya kamu akan kurejam, dan tinggalkanlah aku buat waktu yang lama.’
Semoga keselamatan dilimpahkan kepadamu, aku akan memintakan ampun bagimu kepada Tuhanku. Sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku. Dan aku akan menjauhkan diri darimu dan dari apa yang kamu seru selain Allah, dan aku akan berdoa kepada Tuhanku, mudah-mudahan aku tidak akan kecewa dengan berdoa kepada Tuhanku.”

(Maryam: 42-48)

2. Dibakar oleh Raja Namrud

Raja Namrud yang sangat kejam dan zalim  menghukum  Nabi Ibrahim A.S kerana dakwah baginda yang melarang mereka menyembah berhala. Pengikut Namrud telah menghimpunkan kayu dan membakarnya sehingga  api naik menjulang. Lalu  Nabi Ibrahim A.S dicampak ke dalam api itu dan baginda dibakar hidup-hidup. Namun, dengan izin Allah baginda masih selamat, api yang membakar baginda menjadi sejuk.

Allah  S.W.T berseru:

“Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!”

(al-Anbiya:69)

3.  Allah Memerintahkan Menyembelih Nabi Ismail

Nabi Ibrahim A.S dikurniakan seorang  anak pada usia yang sangat tua iaitu kira-kira 80 tahun. Suatu hari apabila Allah S.W.T memerintahkan baginda menyembelih anaknya itu, baginda berasa sangat berat hati. Lalu  bertanya pendapat anaknya seperti yang dinyatakan dalam al-Quran:

“Hai ayahku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.”

(as-Saffat: 102)

Apabila Allah S.W.T melihat ketaatan kedua-duanya, digantikan Nabi Ismail dengan seekor sembelihan lain iaitu seekor kibas.

Nabi Isa A.S

1. Dicemuh dan Dihina oleh Masyarakat

Kelahiran baginda tanpa bapa, membuatkan baginda dan ibunya dicela. Namun, al-Quran menceritakan, baginda menjawab tuduhan itu;

“Sesungguhnya aku ini hamba Allah. Dia memberi aku alkitab (Injil) dan menjadikan aku seorang nabi. Dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana sahaja aku berada. Dia menyuruhku mendirikan solat dan menunaikan zakat selagi aku hidup.

Dan (memerintahkan juga) supaya aku berbakti kepada ibuku dan Dia tidak menjadikan aku seorang yang sombong dan celaka. Semoga keselamatan dilimpahkan kepadaku, pada hari aku dilahirkan, pada hari aku mati, dan pada hari aku dibangkitkan kembali.”

(Maryam: 30–33)

2. Dikhianati Oleh Pengikut

Nabi Isa A.S dikhianati oleh pengikutnya, yang bernama Judas sehingga baginda dijatuhkah hukuman salib.  Namun, Allah S.W.T telah menukar dan menyerupakan pengikutnya itu dengan wajah yang sama seperti  Nabi Isa.

Bahkan Nabi Isa diangkat ke langit oleh Allah S.W.T dan akan diturunkan ke bumi untuk menentang dajjal di akhir zaman kelak.

Nabi Nuh A.S

1. Dakwah Tidak Diterima

Nabi Nuh A.S menjalankan urusan dakwahnya selama 950 tahun, namun usahanya itu hanya dibalas dengan ejekan dan cercaan. Dalam tempoh masa dakwah yang lama itu pengikut baginda sangatlah sedikit iaitu  kurang daripada 100 orang. Usaha dakwah baginda ditolak sekerasnya oleh kaumnya yang tidak percaya mengenai kerasulannya, termasuklah isteri dan anak-anak baginda sendiri yang tidak mahu beriman dengan ajaran Allah S.W.T.

Akhirnya, Nabi Nuh mengadu dan berdoa kepada Allah agar memenangkan Islam. Tidak lama kemudian Allah memerintahkan Nabi Nuh A.S membina bahtera yang besar di aats sebuah bukit. Melihat usaha baginda itu, kaumnya mengejek dan mengatakan baginda gila.  Namun, apabila banjir besar datang mereka yang ingkar ditenggelami air dan mati.

Nabi Musa AS

1. Hampir Dibunuh Oleh Firaun

Nabi Musa A.S dilahirkan semasa Firaun menetapkan undang-undang agar semua bayi lelaki dibunuh. Ini kerana Firaun percaya akan ramalan mimpinya tentang kerajaannya akan runtuh.

Lalu, ibu Nabi Musa menghanyutkan baginda ke Sungai Nil sebagai cara untuk menyelamatkan baginda. Dengan kuasa Allah baginda Nabi Musa ditemui oleh isteri Firaun dan dibesarkan oleh di istana sehingga baginda dewasa.

Apabila Nabi Musa A.S dilantik menjadi rasul, bermulalah penentangan Firaun terhadap baginda, sehingga berlaku peristiwa di Laut Merah yang menenggelamkan Firaun dan para pengikutnya.

2. Kaumnya Tidak Menerima Seruan Dakwah

Nabi Musa A.S diutuskan kepada Bani Israel. Namun, mereka ingkar dan tetap menyembah patung berhala yang dicipta oleh Samiri. Walaupun telah diselamatkan daripada kekejaman Firaun dan diberi pelbagai nikmat, mereka masih enggan taat.

Maka kembalilah Nabi Musa kepada kaumnya dengan perasaan marah dan dukacita; dan baginda berkata:

“Wahai kaumku! Bukankah Tuhan kamu telah menjanjikan kamu dengan satu perjanjian yang baik? Patutkah kamu merasa panjang masa pemergianku menerima apa yang dijanjikan itu? Atau kamu sengaja menghendaki supaya kamu ditimpa kemurkaan dari Tuhan kamu, lalu kamu menyalahi perjanjian kamu denganku?”

(Taha: 86)

Penutup: Para Rasul Petunjuk Sepanjang Zaman

Terdapat sebab atau hikmah para rasul ini mendapat gelaran yang istimewa ini. Ujian dan dugaan hidup para mereka sangat hebat, tambahan lagi semasa berdakwah ke arah jalan yang benar.

Perjuangan dan kehidupan para rasul ulul azmi sepatutnya memberi inspirasi kepada umat Islam kini agar  bersabar dan tabah menghadapi apa-apa dugaan. Sedangkan para rasul yang dikasih Allah sahaja mendapat ujian sebegitu  hebat, apatah lagi kita umat Islam penuh dosa dan noda yang sepatutnya hanya mmapu reda dan berserah dengan apa-apa sahaja kehendak Allah S.W.T.  Jadi, sentiasalah berdoa, berusaha dan bertawakal kepada Allah, kerana Dia-lah pintu kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.