PERASAAN marah, sedih dan gembira merupakan sifat yang terdapat dalam jiwa setiap yang bergelar manusia. Ia merupakan emosi semula jadi yang bersifat negatif dan kebiasaannya bermula daripada sedikit keresahan hingga menjadi ganas dan tidak terkawal.
“Jangan marah”… Larangan ini telah diulang oleh baginda nabi beberapa kali. Di dalam sebuah hadis: seorang laki-laki berkata kepada Nabi, “Berilah aku wasiat?” Beliau bersabda,”Janganlah kamu marah.” Laki-laki itu mengulangi kata-katanya, beliau tetap bersabda,”janganlah kamu marah.” – [HR Bukhari 5651].
Pendek dan ringkas tetapi mungkin tidak diendahkan sedangkan pengabaiannya mungkin akan menatijahkan sesuatu yang besar kerana marah seseorang boleh bertindak di luar kawalan sehingga membawa kepada kecederaan atau pembunuhan.
Kerana marah, seorang suami boleh menjatuhkan talak kepada isteri apabila berlakunya pergaduhan. Kerana marah, mungkin akan adanya sekeping hati insan yang terluka akibat kata-kata nista yang dihamburkan lidah ketika dalam keadaan marah.
Kerana marah, seorang suami boleh menjatuhkan talak kepada isteri apabila berlakunya pergaduhan.
Orang yang dalam sedang marah keadaan tekanan darahnya tidak teratur, jantungnya berdegup kencang, paras degupan jantung dan tekanan darah akan meningkat, pernafasan menjadi laju serta pendek.
Otot akan menegang, paras hormon juga akan meningkat sehingga menyebabkan pergerakan badan menjadi lebih bertenaga dan ketika itulah syaitan akan masuk.
Rasulullah pernah berkata di dalam sabdanya: Sesungguhnya syaitan menyusup dalam diri manusia melalui aliran darah. – [HR Bukhari 3281 dan Muslim 2175].
Apabila syaitan mula membisikkan dengan bisikan kejahatan disebabkan seseorang yang tidak dapat menahan kemarahannya maka seseorang itu akan melakukan tindakan-tindakan di luar batasan seperti memaki hamun, memukul dan ada yang sampai ke tahap membunuh disebabkan kemarahan yang tidak dapat dibendung.
Sabda Rasulullah: Barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhir, hendaknya berkata baik atau diam. – [HR Ibn Majah 3961].
Di sini ustaz kongsikan beberapa cara yang boleh diamalkan untuk meredakan kemarahan. Antaranya ialah:
1. Membaca istia’zah atau ta’awuz.
Mintalah perlindungan Allah daripada syaitan yang menyesatkan dengan melafazkan “Aa’uzubillahiminassyaitonirrojim” yang bermaksud “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam”. Ini kerana syaitan sentiasa menyuruh manusia melakukan sesuatu perkara yang di luar fitrah manusia. Mereka akan berusaha menghasut manusia supaya melakukan perbuatan yang dimurkai Allah ketika seseorang itu dalam keadaan marah.
Oleh yang demikian, kita seharusnya meminta pertolongan Allah supaya diri kita terhindar daripada bisikan yang boleh membinasakan seperti membunuh, memaki hamun, melakukan perbuatan yang melampau dan sebagainya apabila seseorang itu marah.
2. Mendiamkan diri atau ‘pause’
Lebih baik daripada berkata-kata ketika marah itu ada benarnya. Kita akan hilang rasional apabila minda dikuasai nafsu amarah. Bersabar dalam keadaan marah pula bukanlah sesuatu yang mudah, jadi ia memerlukan sesuatu untuk merasionalkan kembali pemikiran. Diam ketika marah dapat mengelakkan kita berkata sesuatu yang tidak sepatutnya.
Sabda Rasulullah: Barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhir, hendaknya berkata baik atau diam. – [HR Ibn Majah 3961].
3. Menukar posisi seperti duduk, berbaring atau mengambil wuduk
Menukar posisi kedudukan apabila marah boleh meredakan kemarahan. Sabda Rasulullah: Jika salah seorang dari kalian marah dan ia dalam keadaan berdiri, hendaklah ia duduk. Jika rasa marahnya hilang (maka itu yang dikehendaki), jika tidak hendaklah ia berbaring. – [HR Abu Daud 4151].
Atau dengan kita mengambil wuduk. Ini kerana kemarahan yang tak terkawal itu daripada syaitan dan syaitan diciptakan daripada api. Maka air boleh memadamkan api.
Sabda Rasulullah: Maka jika salah seorang di antara kalian marah hendaklah ia berwuduk. – [HR Ahmad 17302].
Hikmah wuduk itu sendiri dapat membersihkan kekotoran hati, menyejukkan hati, melahirkan ketenangan serta dapat menghapuskan dosa-dosa kecil.
Hakikat sebenar jika kita gagal mengawal kemarahan diri bererti kita telah tewas dengan permainan syaitan yang dilaknat Allah.
4. Memikirkan ganjaran bagi mereka yang menahan marah
Pengiktirafan diberikan kepada mereka yang dapat mengawal diri ketika marah sebagaimana Firman Allah di dalam Surah Al-Imran ayat 134: Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.
Sabda Rasulullah pula yang bermaksud: “Bukannya kuat (kerana dapat mengalahkan orang) dengan bergaduh, tetapi kekuatan sebenarnya ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.” – [HR Bukhari 5649].
Bersabarlah, ia merupakan satu sifat yang cukup hebat sehinggakan Allah menyebutnya dalam Al-Quran berulang kali kerana orang yang hebat itu adalah orang yang sentiasa sabar dalam apa jua keadaan.
Semoga kita dapat mengalahkan tipu daya syaitan yang sentiasa ingin kita bersamanya di dalam neraka.