≡ Menu

Rasulullah Sering Membacakan Surah Al-Mulk. Bukan Hanya Mengelakkan Azab Kubur Ya

USIANYA baru sahaja lima tahun. Namun, anak kecil yang dikenali dengan nama Danish itu begitu lancar mengalunkan beberapa potong ayat daripada Surah al-Mulk yang membuatkan penulis terpana.

Bayangkan kanak-kanak berkenaan mampu mengalunkan bait-bait ayat suci al-Quran berkenaan satu per satu. Penulis kagum dengan usahanya. Bukan apa, anak sekecil itu sudah mampu menghafaz 30 ayat dalam Surah al-Mulk dengan baik dan dijadikan bacaan rutin pada setiap hari.

Pasti ada sesuatu pada surah itu hinggakan kanak-kanak tadi diajar guru mereka sejak kecil supaya menghafal surah berkenaan. Bukan si kecil sahaja, umat Islam juga sememangnya dianjurkan melazimkan diri dengan membaca surah berkenaan pada setiap hari.

Apakah keistimewaan Surah al-Mulk sehinggakan umat Islam disarankan membacanya saban hari? Apakah kaitan surah berkenaan dengan benteng seksaan kubur?

Disukai Rasulullah SAW

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Sebelum membincangkan topik tersebut lebih lanjut, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Ahmad Sanusi Azmi mengajak kita menyelami inti pati Surah al-Mulk yang menjadi antara surah yang sangat disukai oleh Rasulullah SAW.

Jelas beliau, baginda tidak akan tidur pada malam hari melainkan setelah menghabiskan bacaan surah berkenaan.

Perkara itu diceritakan oleh Saidina Jabir RA dalam sebuah hadis yang menyebut: “Sesungguhnya Rasulullah tidak akan tidur melainkan setelah membaca Surah Alif Lam Mim (Surah as-Sajadah) dan Surah al-Mulk.” (Riwayat al-Tirmizi)

Apa keistimewaan Surah al-Mulk yang sentiasa menjadi bacaan rutin baginda?

Menjawab persoalan itu, ahli akademik itu berkata, surah ke-67 dalam al-Quran itu banyak menyentuh tentang isu akidah yang menjadi asas keimanan seorang mukmin.

Dapatkan senaskhah al-Quran di sini. Dapatkan sekarang Shopee Malaysia!
Ujar beliau, kandungan perbahasan surah berkenaan membina keyakinan dan membentuk kerangka fikir seseorang manusia agar meyakini tentang kekuasaan ALLAH SWT dan kudrat-NYA untuk menghidup dan menjadikan manusia serta balasan bagi mereka yang kufur dengan nikmat-nikmat kurniaan-NYA.

“Menariknya, surah ini turut menyentuh perihal rezeki manusia. Beberapa ayat dalam surah itu membayangkan bahawa rezeki makhluk itu adalah di tangan ALLAH. Tiada siapa yang mampu mengubah ketentuan yang telah ditulis buat diri mereka.

“Ia sekali gus mengajak manusia meyakini bahawa ALLAH jua tempat kita bergantung.

“Kebergantungan manusia pada makhluk lain akan menjadikan diri mereka kecewa kerana yang menentukan rezeki manusia adalah ALLAH,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Tambah istimewa, Dr Ahmad Sanusi berkata, terdapat beberapa hadis yang menegaskan bahawa Surah al-Mulk berupaya menjadi pendinding buat manusia daripada seksaan azab kubur.

Penerangan yang diungkapkan melalui hadis turut bersifat visual.

Rasulullah SAW memberikan bayangan bagaimana surah tersebut akan datang menyelamatkan atau berdebat dengan malaikat untuk menjauhkan diri orang yang membacanya daripada dikenakan azab kubur nanti, terang beliau.

Pun begitu, kata beliau, tidak ada satu perincian mengenai azab kubur yang dimaksudkan. Baginda hanya membayangkan bagaimana mereka yang membaca Surah al-Mulk akan diselamatkan daripada azab kubur.

“Secara umumnya, terdapat beberapa hadis yang menjelaskan mengenai seksaan kubur yang akan berlaku dan sebahagian daripada hadis tersebut menyentuh soal kejelasan akidah seseorang.

“Sebagai contoh, dalam hadis diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, ada diceritakan bagaimana seorang lelaki yang akan diseksa di dalam kubur kerana kegagalannya menjawab soalan asas mengenai akidah orang yang beriman iaitu tentang siapakah Tuhan manusia dan siapa pula nabi mereka?

“Sekiranya diperhatikan hadis ini dan kaitannya dengan Surah al-Mulk, kita akan dapati surah ini banyak menyentuh isu akidah.

“Seandainya seseorang itu mempunyai kefahaman yang jelas berhubung isu akidah seperti yang disampaikan dalam Surah al-Mulk, mereka secara automatik akan terselamat daripada seksaan kubur,” jelas beliau.

Baca sebelum tidur

Dr Ahmad Sanusi menyambung perkongsian ilmunya. Kali ini, beliau menyentuh tentang waktu terbaik untuk membaca Surah al-Mulk.

BACA:  Wanita Haid Dan Akad Nikah Dalam Masjid

Walaupun tiada masa spesifik dijelaskan, beliau berkata, para sahabat memberi gambaran bahawa Nabi Muhammad SAW tidak pernah meninggalkan bacaan surah berkenaan pada malam hari sebelum tidur.

“Jadi sekiranya kita ingin melazimi bacaan surah ini, maka bacalah pada waktu malam sebelum kita tidur,” katanya.

Ujar Timbalan Pengarah Institut Sains Islam USIM itu, berdasarkan pengetahuannya, hanya terdapat beberapa hadis yang menceritakan tentang bacaan surah yang dilakukan baginda sebelum tidur.

“Hadis pertama diceritakan oleh Saidatina Aisyah yang menggambarkan bagaimana Rasulullah membaca Surah al-Isra dan Surah al-Zumar setiap malam sebagaimana diriwayatkan Imam al-Tirmizi.

“Hadis yang kedua pula adalah hadis yang kita sebutkan sebelum ini iaitu baginda SAW membaca Surah as-Sajadah dan Surah al-Mulk sebelum tidur,” katanya.

Apakah kelebihan-kelebihan diperoleh jika kita membasahkan bibir membaca Surah al-Mulk?

Pensyarah Kanan, Jabatan al-Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian dan Peradaban Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Dr Mohd Farid Ravi Abdullah memetik hadis paling masyhur daripada Abu Hurairah RA yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Al-Quran mengandungi satu surah terdiri daripada 30 ayat yang akan mensyafaati pembacanya sehingga dia diampunkan iaitu Tabarakallazi biyadihil Mulk.” (Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi)

Terangnya, ungkapan hadis berkenaan membawa makna bahawa ayat-ayat daripada surah berkenaan akan memberi syafaat kepada orang yang membacanya.

“Dalam kata lain, surah ini akan menjadi penyelamat kepada orang yang melazimkannya sebagai rutin hinggakan diberi keampunan kepadanya.

“Terdapat juga riwayat yang menyatakan, sesiapa yang membaca Surah al-Mulk pada setiap malam, ALLAH akan menyelamatkan daripada azab kubur,” katanya.

Kongsi pendakwah itu, Surah al-Mulk juga dikenali sebagai Surah al–Mani’ah (menegah), al-Mujadilah (mempertahankan) dan an-Najiyah (menyelamatkan).

Benteng maksiat

Dr Mohd Farid turut mengemukakan pandangan seorang ulama bernama al-Mubarakfuri. Kata ulama berkenaan, Surah al-Mulk disebut sebagai al–Mani’ah iaitu menghalang orang yang membaca surah tersebut daripada seksaan kubur dan menghindari dirinya daripada melakukan dosa serta maksiat.

“Ini bermakna, kelebihan Surah al-Mulk kepada pembacanya bukan setakat hanya di dalam kubur tetapi membentengkan pembacanya daripada melakukan perkara keji dan mungkar di dunia,” ujarnya.

Dr Mohd Farid berkata, apabila baginda sendiri menjelaskan bahawa Surah al-Mulk akan mempertahankan pembacanya di dalam kubur, ia sepatutnya mendorong umat Islam melaziminya.

Surah al-Mulk
BACA dan fahamilah kandungan dalam Surah al-Mulk dengan sebaiknya kerana bacaan yang disusuli kefahaman adalah penyelamat paling besar bukan sahaja di dunia, tetapi juga ketika di alam barzakh.
“Andai kita membiasakan diri membaca Surah al-Mulk sebelum tidur pada setiap hari, barulah ia akan kenal tuan yang baca. Paling tidak pun, bacalah setiap hari walaupun bukan sebelum tidur.

“Insya-ALLAH surah ini akan mempertahankan tuan badan.

“Bayangkan kalaulah lima tahun kita membacanya, pasti mendorong kita memahami apa yang dibaca. Ketahuilah, bacaan yang disusuli kefahaman adalah penyelamat yang paling besar.

“Ini kerana kita selamatkan diri melalui kefahaman Surah al-Mulk yang menggambarkan kekuasaan ALLAH SWT di bumi dan di akhirat.

“Kefahaman itulah yang menjadikan seseorang Muslim itu terhindar daripada melakukan dosa dan maksiat. Jika dia menemui Penciptanya, Surah al-Mulk itulah yang akan datang membelanya,” katanya.

Kepada satu soalan lain, kata Dr Mohd Farid: “Membaca dan mendengar bacaan Surah al-Mulk daripada rakaman video dan seumpamanya adalah tidak sama. Al-Quran diambil daripada perkataan qara’a yang bermaksud membaca.

“Mendengar saja dapat pahala (mendengar), tapi tak dapat pembelaan tadi. Jadi, bacalah Surah al-Mulk pada setiap hari,” jelas beliau mengakhiri bicara.

Justeru, marilah sama-sama kita berusaha menjadikan Surah al-Mulk sebagai rutin. Semoga dengan bacaan yang penuh ikhlas akan melorongkan umat Islam menuju ke jalan yang baik dan menghindarkan diri daripada seksaan kubur.

‘Kubur bukan untuk ditakuti kerana ia bakal jadi kediaman kita kelak’

Masih ada lagi sebilangan orang menyimpan anggapan bahawa alam barzakh dan tanah perkuburan merupakan tempat yang menggerunkan. Namun ketahuilah, ia bakal menjadi tempat persemadian kita hingga hari kiamat kelak.

BACA:  Doa dan Amalan Untuk Menyembuhkan Rabun Mata

Menurut pendakwah Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad, memang sukar untuk mengikis persepsi berkenaan kerana kita belum merasai ‘hidup’ dalam alam kubur.

“Oleh sebab itu, apa jua perkara yang berlaku seperti melihat tanah basah atau berair, semua itu adalah pengalaman masing-masing.

“Ia adalah peluang yang ALLAH berikan untuk kita berhati-hati dengan alam kubur. Di situlah alam akhirat yang sangat nyata.

“Barangkali usia kita di dunia adalah selama 60 tahun, tetapi mana tahu di alam kubur, ‘umur’ kita boleh cecah 600 tahun lamanya hingga berlaku kiamat.

“Jadi kalaulah kita mendengar apa-apa peristiwa yang menggerunkan hati kita, cukuplah kita mengambil iktibar. Usahlah takut sampai kita enggan ziarah kubur, sedangkan ia adalah sunah baginda. Takkanlah nabi melakukan sunah dengan persepsi yang buruk,” katanya.

Pendakwah itu menambah, setiap manusia pasti akan merasai himpitan kubur.

Terdapat dua jenis perbezaan himpitan kubur, menurut Imam al-Munawi yang menukilkan daripada al-Hakim.

Ujar ilmuwan itu, jika himpitan berlaku kepada orang mukmin, ia disebabkan oleh tanah yang rindu dengan mereka.

“Apabila ada orang mukmin yang begitu akrab dengan ALLAH dimasukkan ke dalam liang lahad, maka tanah yang merupakan asal kejadian kita akan menjadi rindu dan ia akan merapatinya (jenazah orang mukmin) sepertimana seorang sahabat yang merindui sahabatnya yang lain.

“Ia bukanlah bermaksud dihimpit dengan seksaan atau azab, tetapi dalam erti kata memberikan kebahagiaan dan ketenangan kepadanya.

“Sementara itu, menurut Imam al-Ramli, himpitan yang berlaku kepada orang kafir atau golongan yang mensyirikkan ALLAH adalah himpitan azab sehingga pecah dan berselerak tulang-tulang mereka. Mereka juga akan merasai kepahitan yang sangat dahsyat.

“Apa yang membezakan diri kita daripada mendapat himpitan rindu atau azab adalah keimanan kita kepada ALLAH SWT dan Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Da’i Fuad turut berkongsi doa yang boleh kita amalkan dalam kehidupan seharian.

Doa itu berbunyi: Allahumma inni a’uzubika minal ‘azabil qabr wa min ‘azabi jahannam (Ya ALLAH, aku berlindung dengan Engkau daripada azab kubur dan daripada azab api neraka jahanam).

“Amalkanlah doa ini kerana ia akan memberikan kekuatan dalam kehidupan kita sehari-hari, insya-ALLAH,” katanya.

Bekalan supaya dijauhkan daripada seksaan kubur

1. Hati yang mempunyai kefahaman tentang ALLAH SWT

Ketahuilah bahawa ia merupakan bekalan paling aula (utama) seseorang itu sampai kepada ALLAH. Hati yang mempunyai iman dan diselamatkan atas kalimah Tauhid itulah yang sangat baik bagi jiwa seseorang untuk dibentengi daripada azab kubur.

HIMPITAN kubur akan dirasai oleh setiap manusia. Lazimkanlah diri dengan membaca Surah al-Mulk bagi membentengi diri daripada azab kubur.

2. Lakukan sebarang perkara dengan penuh perasaan dan pengharapan kepada ALLAH SWT

Ia sebagaimana yang dilakukan Nabi Muhammad SAW ketika baginda beribadah kepada ALLAH. Bayangkan baginda beribadah hingga lebam kakinya, namun tidak sekali pun Rasulullah SAW mengambil rukhsah atau keringanan dalam ibadah. Sebaliknya, baginda tetap beramal sepenuh hati dan jiwanya untuk menjalankan kewajipannya dengan baik.

3. Menjaga taharah atau kebersihan

Menurut Imam Syafie, dalam jalan menuju kepada ALLAH, proses taharah (kebersihan) dan istinjak merupakan kunci kepada penerimaan dan kemakbulan doa kita. Maka, sebab itulah dalam semua masalah berkaitan agama, perkara paling utama yang mesti dilakukan adalah suci daripada hadas serta bersih hati dan jiwa kita.

4. Bertaubat kepada ALLAH SWT

Ramai orang masuk ke neraka bukan disebabkan enggan bertaubat, tetapi kerana menangguh-nangguhkan taubat dan mensia-siakan ilmu yang telah diberikan oleh ALLAH dalam kehidupan mereka.

Andai semua empat perkara dilakukan, insya-ALLAH ALLAH akan meraikan kita sebagai tetamu yang indah di alam kubur kelak.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.