≡ Menu

Redha Allah Itu Matlamat Hidup Seseorang Mukmin. Carilah Ia Dalam Perkahwinan

PERKAHWINAN adalah sunah yang sangat dianjurkan oleh Nabi SAW. Namun, antara perkara paling penting dalam perkahwinan, selain persefahaman dan tolak ansur ialah penekanan aspek agama. Perkara ini dinyatakan oleh Nabi SAW sejak awal sebelum seseorang lelaki itu memeterai ikatan perkahwinan lagi. Baginda menekankan agar mengutamakan aspek agama terlebih dahulu sebagaimana hadis riwayat Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW sabdanya bermaksud: “Dikahwini wanita itu kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka, carilah yang mempunyai agama, nescaya kamu akan beruntung.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Begitu sebaliknya, seseorang perempuan juga berhak untuk memastikan bakal suaminya mempunyai pegangan agama yang baik. Mengutamakan agama dalam membina institusi keluarga adalah isu paling besar yang amat perlu diberikan perhatian. Janganlah ucapan, ‘bahagia till jannah’ hanya sekadar menjadi pemanis mulut yang tidak bermakna kerana syurga itu bukanlah murah harganya.

Dengan agama, suami isteri mengetahui batas hukum syarak yang wajib dipatuhi. Kunci kebahagiaan hukan hanya terletak pada kebijaksanaan suami, tetapi juga terletak pada ketaatan isteri. Isteri yang taat bakal memperolehi ganjaran yang besar di akhirat iaitu dijanjikan syurga sepertimana hadis Ummu Salamah RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Mana-mana isteri yang mati sedangkan suaminya reda terhadapnya, dia akan masuk ke syurga.” Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hadis hasan

Abdur Rahman bin Awf RA meriwayatkan: Sabda Rasulullah SAW: “Apabila seorang perempuan itu bersolat lima waktu, berpuasa pada Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya maka akan dikatakan kepadanya: ‘Masuklah ke dalam syurga dari mana-mana pintu syurga yang kamu kehendaki.'” Riwayat Ahmad dan Ibn Hibban dengan sanad hasan

BACA:  Perselisihan Faham Itu Biasa Dalam Perkahwinan. Perlu Matang Dalam Menangani Konflik

Ketaatan terhadap suami hukumnya wajib selama ia tidak menyuruh kepada perkara mungkar dan maksiat. Jika tidak, isteri tak perlu lagi mentaati suaminya pada perkara yang menyalahi syarak. Daripada Imran bin Husain RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Tiada ketaatan terhadap satu makhluk pun dalam menderhakai al-Khaliq (Yang Maha Pencipta).” Riwayat Ahmad dan al-Tabarani dengan sanad sahih

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Oleh itu, amat penting pasangan suami isteri mempunyai persediaan agama yang cukup supaya mereka mengetahui batas syarak dan tidak melampauinya. Misalnya, persoalan menjaga aurat dan tidak mendedahkannya adalah perkara asas yang tak sepatutnya mereka jahil dan mengabaikannya.

Peri pentingnya hubungan antara suami isteri ini dilihat sehingga Nabi SAW menyebutkannya dalam khutbah terakhir baginda ketika Haji Wada’. Daripada Amru bin al-Ahwas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah, hendaklah kamu sekalian mempergauli isteri dengan baik. Sesungguhnya mereka hanyalah dikehendaki tunduk di sisi kamu sekalian. Sedangkan kamu sekalian tidak memiliki hak apa pun terhadap mereka selain ketundukan itu kecuali jika mereka melakukan perkara keji (dosa) yang jelas. Jika benar mereka melakukannya maka pisahkanlah mereka daripada tempat tidur dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak meninggalkan bekas. Jika mereka mentaatimu maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Ketahuilah, sesungguhnya kamu sekalian mempunyai hak ke atas isteri kalian dan isteri kamu juga mempunyai hak ke atas kalian. Adapun hak kamu sekalian ke atas isteri kalian ialah mereka tidak boleh menghamparkan alas tidur (yakni menjemput untuk bermalam) terhadap orang yang kamu sekalian benci dan juga tidak boleh mengizinkan orang yang kamu benci memasuki rumah kalian. Adapun hak mereka ke atas kamu sekalian pula ialah kamu memberikan pakaian dan makanan yang baik kepada mereka.” Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hadis hasan sahih

BACA:  Terlalu Sibuk? Tingkatkan Kemahiran Al-Quran Dengan Kelas Dalam Talian

Dalam khutbah ini Nabi SAW menjelaskan secara lengkap hak suami isteri yang wajib diketahui dan dijaga oleh mereka. Pengabaian terhadap hak ini boleh menjadi faktor kepada kegoyahan institusi keluarga yang didirikan. Justeru, suami sebagai pemimpin keluarga perlulah bijak memainkan peranan. Nabi SAW amat memuji suami yang bersifat sabar, baik dan bertimbang rasa terhadap isterinya. Daripada Abu Hurairah RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah orang yang paling baik akhlaknya dan orang yang paling baik dalam kalangan kamu ialah orang paling baik terhadap isterinya.” Riwayat al-Tirmizi, katanya: hadis hasan sahih

Carilah keredaan Allah SWT dalam perkahwinan dibina. Janganlah sekadar mencari keredaan manusia tanpa peduli dengan tindakan yang boleh menyebabkan kemurkaan-Nya.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.