Dengan situasi pendamik Covid-19 yang masih lagi belum pulih sepenuhnya, banyak perancangan yang ingin dilakukan tergendala. Dalam masa sama, manusia mula mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan virus tersebut terutama di kalangan ahli keluarga terdekat.
Situasi ini adalah perancangan Allah SWT ke atas seluruh hambanya, umat akhir zaman. Rentetan daripada keadaan ini, manusia akan mula mengelak daripada bertemu dan kesannya adalah manusia mula tidak mengenali antara satu sama lain sedikit demi sedikit.
Gambaran ini adalah satu tanda daripada tanda-tanda kiamat yang dinyatakan Baginda Nabi SAW yang bermaksud: “Ilmu tentang Hari Kiamat itu ada pada Allah, tidak ada yang mengetahui waktu terjadinya kecuali Dia, tetapi aku hendak memberitahu kepadamu tentang tanda-tandanya dan apa yang akan terjadi sebelumnya. Sesungguhnya sebelum datangnya Hari Kiamat itu akan terjadi fitnah dan haraj.” Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, tentang fitnah itu kami telah mengerti, tetapi apakah haraj itu?, Baginda menjawab dengan dielek Habsyah: “Pembunuhan dan akan terjadi sikap tidak mengenali di antara manusia, maka setiap orang hampir-hampir tidak mengenali yang lain.” (Hadis Riwayat Ahmad, hadis no 389)
Yusuf bin Abdullah bin Yusuf al-Wabil menjelaskan, sikap tidak saling mengenali ini akan terjadi ketika banyak fitnah dan cubaan berlaku. Puncanya disebabkan banyak terjadi peperangan di antara manusia kerana tujuan tertentu. Apabila manusia dikuasai oleh sikap kebendaan (materialistik) dan masing-masing bekerja dan berusaha untuk keuntungan peribadi, maka mereka sudah tidak menghiraukan kepentingan dan hak orang lain.
Perkara ini berkait rapat dengan sikap mementingkan diri sendiri yang sangat dibenci oleh Allah SWT. Manusia yang mempunyai sikap sebegini akan hidup dalam cengkaman hawa nafsu dan syahwat. Maka tiada lagi nilai-nilai akhlak yang membolehkan manusia kenal mengenali antara satu sama lain. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat ayat 13)
Situasi manusia yang tidak saling mengenali ini bertitik tolak dari sikap sombong manusia sehingga terputusnya tali silaturahim lebih-lebih lagi semasa jiran tetangga. Nabi SAW bersabda daripada Abdullah bin Amr RA, maksudnya: “Hari Kiamat tidak akan berlaku sehingga orang yang dapat dipercayai didustakan, sedangkan orang-orang yang khianat dipercayai sehingga terzahirnya perkara kotor dan keji, terputusnya silaturahim dan hubungan jiran tetangga yang buruk.” (Hadis Riwayat Ahmad, hadis no 2/266)
Hadis ini mengisyaratkan di antara tanda-tanda kiamat juga adalah hubungan buruk sesama jiran tetangga yang merujuk kepada sikap suka menyendiri demi kepentingan hidup, persaingan dan peribadi yang sombong.
Sekiranya terdapat dalam masyarakat sifat dusta, curiga, hasad dengki terhadap kenikmatan dan kelebihan orang lain serta persaingan untuk mendapatkan habuan dunia, maka sudah tentu nilai hubungan antara jiran tetangga yang baik akan pudar.
Tanda ini adalah kesinambungan kepada perkara yang menyebabkan terputusnya hubungan silaturahim sesama manusia sehingga manusia sudah tidak mengenali antara satu sama lain.
Jiran mencakupi semua orang Muslim dan kafir, orang taat beribadah dan orang fasik, teman atau musuh, orang asing dan pribumi, orang baik dan orang jahat, saudara dan bukan saudara, yang paling berdekatan rumahnya dan yang berjauhan. Sama ada yang tinggal di atas, bawah, kiri, kanan, depan dan belakang yang mencapai 40 rumah.
Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.” (Surah an-Nisa’, ayat 36)
Laknat Allah kepada jiran tetangga yang bertepuk riang sekiranya saudaranya ditimpa musibah dan bermasam muka sekiranya saudaranya berada dalam keadaan gembira.
Laknat Allah kepada jiran tetangga yang sentiasa mencari-cari aib saudaranya untuk dibuka dan menunggu kesalahan yang timbul untuk memperdayakannya
Laknat Allah kepada jiran tetangga yang menyembunyikan pelbagai kebaikan saudaranya dan menunggu-nunggu kesempatan untuk membuat sesuatu kepadanya dengan menyelidik dan mencurigakan dengan apa sahaja perbuatan yang dilakukannya.
Laknat Allah kepada jiran tetangga yang setiap hari akan menghasut dirinya dengan hati mereka yang penuh dengki serta menghujani saudaranya dengan api permusuhan dan dendam yang tiada kesudahan.
Kepentingan berlaku baik kepada jiran adalah salah satu jalan bagi mengelakkan terputusnya hubungan silaturahim semasa manusia dan menjauhkan diri daripada keadaan tidak mengenali antara mereka. Nabi SAW bersabda daripda Abi Syuraih RAyang bermaksud: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” (Hadis Riwayat Muslim, hadis no 77)
Dalam hadis lain, Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sebaik-baik teman di sisi Allah adalah seseorang yang terbaik terhadap temannya. Manakala sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah seorang yang paling baik dengan jirannya.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi, hadis no 1944)
Bagi mereka yang suka menyakiti jiran mereka, Nabi SAW mengisyaratkan balasan yang berat bakal diterima oleh mereka. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang membuat jirannya tidak merasa aman daripada gangguannya.” (Hadis Riwayat Muslim, hadis no 73)
Di dalam hadis yang lain pula, Abu Hurairah RA berkata Nabi SAW bersabda maksudnya: “Telah berkata seorang lelaki kepada Rasulullah SAW: ‘Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya wanita ini terkenal dengan banyaknya solat, berpuasa dan bersedekah tetapi dia sentiasa menyakiti jirannya dengan lidahnya.’ Lalu Nabi SAW bersabda: ‘Dia akan masuk ke dalam neraka.'” (Hadis Riwayat Ahmad, hadis no 9675)
Justeru itu, petanda akhir zaman ini berkait rapat dengan sikap manusia yang suka menyendiri, bersifat sombong dan tidak berbuat baik sesama jiran tetangga. Kesannya, perhubungan antara mereka mulai renggang dan akhirnya membawa kepada tidak mengenali sesama manusia.