≡ Menu

Resepi Kebahagiaan Menurut Surah Al-Insyirah. Surah Pendek, Ayat Mendalam

Apakah takrif bahagia? Ramai yang beranggapan untuk bahagia kita harus berjaya dan antara kejayaan yang dimaksudkan adalah dengan memiliki karier yang bagus, mempunyai pasangan yang ideal serta tempat kediaman yang nyaman dan selesa.

Pun begitu, dalam mengecapi nikmat kejayaan seperti yang dinyatakan di atas, ramai juga yang masih mengeluh dan gelisah seolah-olah masih ada sesuatu yang tidak cukup.

Disebabkan itu, mereka cenderung untuk sentiasa bekerja keras dan mencari pelbagai lagi jenis kejayaan yang ada.

Namun, semakin mereka mengejar kebahagiaan, semakin itulah mereka akan berasa tidak puas dan tidak bahagia. Malah merekacenderung untuk terus hanyut dengan takrif kebahagiaan yang terpesong itu.

‘The Power of Meaning’

Menurut Emily Esfahani Smith, penulis buku “The Power of Meaning: Crafting a Life That Matters,” kebahagiaan yang dicari itu hanyalah keseronokan yang bersifat sementara dan tidak memberi makna.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Atas dasar itulah, di negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat, meskipun taraf kehidupannya sangat bagus dengan nilai yang terbaik, namun kes kematian akibat bunuh diri adalah amat tinggi.

Menurut kajian saintifik dan tinjauan yang dijalankan, rakyat di Jepun dan Amerika Syarikat bukannya tidak bahagia tetapi mereka masih mencari makna di sebalik kehidupan tersebut.

Sebagai contoh, di Amerika Syarikat sahaja, satu perempat daripada populasinya, iaitu hampir 100 juta orang tidak mempunyai makna yang jelas dalam kehidupan.

Inilah yang sangat membimbangkan kerana tanpa makna dalam kehidupan, manusia akan hidup seperti robot, sentiasa dalam mod ‘auto-pilot’.

Hari-hari yang dilalui hanyalah untuk menyelesaikan rutin tanpa tujuan atau matlamat hidup yang memberikan makna dan bernilai kepada diri. Lama-kelamaan mereka akan mudah berasa putus asa, tertekan dan terasing.

Hidup Yang Bermakna

Jadi, bagaimana untuk hidup bahagia dengan bermakna?

Kata penulis e-book, Hakim Darno, melalui tulisannya Tujuh Resepi Bahagia, jawapan kebahagiaan ada disebut pada surah Al-Insyirah yang sangat sinonim dengan masyarakat Islam di Malaysia.

Ini kerana sifatnya yang sentiasa dilazimi dan dibaca setiap kali berdepan dengan peperiksaan atau ketika sedang berdukacita.

Keindahan surah Al-Insyirah terletak pada susunan dan pengertiannya, ditujukan kepada yang ditimpa kesempitan dan kesedihan. Hasil daripada proses tadabbur surah ini, jiwa akan tenang dan kembali bangkit untuk meneruskan kehidupan.

Syaratnya ialah dengan beramal dalam kehidupan dan bukannya sekadar membaca.

Menurut Hakim Darno lagi, proses tadabbur Al-Quran itu diumpamakan seperti membeli almari pasang siap sendiri.

BACA:  Inilah Cara-cara Membaca Al-fatihah 41 Kali Bagi Memohon Hajat

Untuk setiap keping papan, cermin, pelapik kaki dan tombol yang akan menjadikannya sebagai sebuah almari yang lengkap, kita perlu membaca manual dan mengikut setiap arahan yang diberikan.

Jika manual itu hanya dibaca, adalah mustahil untuk setiap keping papan itu berubah sendiri menjadi almari.

Begitu juga halnya apabila manual itu dibaca, tetapi segala arahan yang terkandung dikhianati atau dalam erti kata lain, tidak diikuti dengan tertib, masakan almari yang terhasil akan sempurna seperti yang dimahukan.

Jadi, apakah syarat untuk bahagia berdasarkan surah Al-Insyirah?

#1 – Berlapang Dada

أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ

Mafhum: “Bukankah Kami melapangkan bagimu dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk).” (94:1)

Syarat pertama ialah dengan berlapang dada dengan segala ketentuan yang ditakdirkan Allah.

Jangan sempitkan dada dan pemikiran dengan hal-hal yang kita tidak mampu untuk mengawalnya.

Begitu juga, jangan mudah tergugat dengan kata-kata negatif dan kecaman yang menempa. Anggaplah ia sebagai signal untuk memperbaiki kelemahan diri dan pencetus untuk memajukan diri.

#2 – Kurangkan Dosa

وَوَضَعْنَا عَنكَ وِزْرَكَ

Mafhum: “Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam).” (94:2)

Syarat kedua ialah kurangkan dosa. Dosa diibaratkan seperti hutang. Lagi banyak kita berhutang, lagi terbeban kita dengan tekanan untuk membayarnya.

Setiap kali kita melakukan dosa, setiap kali itu jugalah diri kita diulit rasa bersalah. Kita akan teringat-ingat akan dosa yang kita lakukan dan inilah yang akan meragut ketenangan jiwa.

Rasulullah SAW adalah seorang manusia yang sentiasa tenang dan bahagia walaupun dihimpit seribu satu masalah. Salah satu sebabnya ialah kerana sifatnya sendiri yang maksum, iaitu bebas daripada dosa.

Namun, kita hanyalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan dosa. Disebabkan itu, kita perlu berusaha sedaya upaya untuk mengelak diri daripada terjebak dengan dosa.

Andai kata kita tersalah, cepat-cepatlah mohon ampun dan bertaubat, sama ada kepada Allah mahupun sesama manusia.

#3 – Sebut Perkara Yang Baik

وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ

Mafhum: “Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat nabi dan berbagai kemuliaan).” (94:4)

Menurut penulis, ini adalah syarat terpenting untuk bahagia. Az-zikrul hasan yang bermaksud biasakan dengan menyebut perkara yang baik-baik.

Dalam segenap sudut kehidupan kita, sama ada di rumah atau di pejabat, dengan jiran dan masyarakat sekeliling, berkomunikasilah dengan perkataan yang baik.

Kata-kata yang kurang baik boleh membawa kepada tekanan. Rasulullah SAW tidak pernah rasa tertekan kerana Allah sentiasa berbicara yang baik-baik kepada Baginda.

BACA:  Kenapa Orang Dulu Dulu Memasak, Tambah Daun Kucai? Ini Khasiatnya

Bagaimana mahu mendapat lisan yang baik? Berusahalah untuk menjadi baik.

#4 – Cari Bahagia Disebalik Kesusahan

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

Mafhum: “Oleh itu, maka tetapkanlah (kepercayaanmu bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (94:5-6)

Menerusi ayat ini, kemudahan yang dimaksudkan bukanlah dinikmati selepas melalui satu-satu musibah. Namun, kebahagiaan itu ditemukan ketika menghadapi kesempitan.

Menurut penulis, istimewanya orang beriman ialah mereka tidak perlu menunggu untuk mengecap bahagia di hari akhirat. Malah, di dunia juga mereka boleh beroleh bahagia.

Sebagai contoh, sepasang suami isteri kematian anaknya. Kedua-dua ayah dan ibu ini redha dengan takdir Allah. Hubungan pasangan ini semakin erat dan ujian ini juga mendekatkan mereka kepada Allah. Inilah yang dikatakan kebahagiaan dalam kesempitan.

#5 – Selesaikan Kerja

#6 – Rancanglah Dengan Baik

Untuk syarat kelima dan keenam kita akan lihat pada ayat ketujuh daripada surah al- Insyirah:

فَإِذَا فَرَغْتَ فَانصَبْ

Mafhum: “Kemudian apabila engkau telah selesai, (daripada satu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain). (94:7)

Perkataan  فَإِذَا فَرَغْتَ  membawa maksud selesaikan pekerjaan. Bagi satu-satu tugas yang diamanahkan, sempurnakan tugas dengan penuh tanggungjawab.

Jangan menunda-nunda sebarang pekerjaan tanpa sebarang alasan yang kukuh. Akibat bertangguh, kita akan terbeban dengan lambakan tugasan yang separuh siap.

Fikiran kita akan berserabut. Jiwa tidak akan tenang.

Perkataan فَانصَبْ  pula adalah kalimah yang disebut sebagai “jalail al-iltizam” yang merujuk kepada melakukan ibadah baharu.

Dalam konteks ini, kita boleh gantikan maksudnya dengan melakukan tugasan baharu. Dan syarat untuk memulakan tugasan baharu ialah dengan membuat perancangan. Mengurus kehidupan dengan merancang mampu menjadikan seseorang bahagia.

#7 – Mengadu Kepada Allah

وَإِلَىٰ رَبِّكَ فَارْغَب

Mafhum: “Sentiasalah mengadu kepada Allah.” (94:8)

Lazimi lidah dengan sentiasa menyebut nama Allah. Hati akan tenang, jiwa akan jadi lapang. Bukan semestinya di dalam solat, malah di luar solat, ketika bahagia atau derita, berhubunglah dengan Allah seperti Allah itu sangat dekat dengan kita.

Kesimpulan

Ternyata resepi kebahagiaan itu sudah ada pada al-Quran. Bukankah al-Quran itu sifatnya memberi petunjuk kepada semua manusia?

Jadi, jom mulakan amalkan tujuh langkah ini. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan orang yang berjaya di dunia dan akhirat.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.