ADA ibu bapa menganggap kaedah rotan sebagai jalan terbaik memberi pengajaran dan mendidik anak.
Bagaimanapun, ia bukan satu-satunya penyelesaian atau bentuk hukuman boleh dilaksanakan, apatah lagi jika perbuatan itu mengundang penganiayaan atau penderaan yang sangat dilarang agama.
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh, berkata Islam agama rahmah, justeru dalam semua perkara, termasuk mendidik anak sekalipun perlulah mengikut lunas syarak.
Dalam soal merotan anak, katanya, tindakan itu jika perlu diambil sekalipun perlu dielak bersifat mendera, menzalimi atau menganiayai anak.
Kitab Tarbiyatul Aulad fil Islam (Pedoman Pendidikan Kanak-kanak Menurut Islam) karangan cendekiawan Syria, Dr Abdullah Nasih Ulwan, ada menyatakan bahawa Islam ini sifatnya adalah rahmah.
Justeru, perbuatan merotan anak bukan boleh dilakukan sesuka hati, tetapi ada syarat tertentu yang perlu diikuti.
Nik Salida berkata, walaupun ibu bapa mempunyai hak untuk merotan anak, ia perlu seiring rasa tanggungjawab bagi membentuk sahsiah dan keperibadian mulia.
“Aspek rahmah dalam Islam menetapkan tanggungjawab perlu mendahului soal hak. Jadi, bukan setiap masa perlu menggunakan rotan, sebaliknya ia lebih kepada bersifat amaran.
“Misalnya, jika anak melewatkan solat atau membaca al-Quran, tunjukkan rotan sebagai peringatan dan nasihat secara baik,” katanya.
Beliau berkata, dalam kitab Tarbiyatul Aulad fil Islam turut menghuraikan garis panduan lengkap bagi kaedah merotan, antaranya, ibu bapa ketika itu mesti dalam keadaan emosinya tenang.
“Apabila sudah reda atau hilang kemarahan, baru dibenarkan merotan, jika tidak ia dikira tidak syarie,” katanya.
Selain itu, katanya, maksimum bagi merotan anak sebagai pengajaran tidak boleh melebihi 10 kali.
“Rotan mengikut kaedah Islam tidak boleh dibuat berulang kali secara berterusan, sebaliknya perlu dijarakkan tempohnya sehingga hilang pedih dan sepatutnya tidak boleh menyebabkan kesakitan.
“Apabila anak kembali taat dan tidak mengulangi perbuatan kurang disenangi, maka wajib untuk ibu bapa berhenti (merotan),” katanya.
Menurutnya lagi, ibu bapa perlu mengubah tanggapan mengenai kaedah rotan bagi mengelakkan mereka menyakiti fizikal anak secara keterlaluan.
“Rotan bukan untuk menyakitkan, tetapi bagi menginsafkan anak. Justeru, jika ada keperluan merotan, ibu bapa perlu melakukannya dengan penuh kasih sayang.
“Terang kepada anak, perbuatan itu demi kebaikan mereka dan tanggungjawab ibu bapa sebagai hamba Allah untuk beri didikan terbaik,” katanya.