Soalan
Assalamualaikum, Saya nak tanya, boleh ke solat istikharah dibuat lebih dari dua rakaat seperti terawih?
Ringkasan Jawapan
Solat sunat istikharah afdal dilakukan sebanyak dua rakaat. Perkara ini sebagaimana yang telah disepakati oleh empat mazhab. Namun, diharuskan sekiranya seseorang hendak melakukan lebih daripada dua rakaat.
Huraian Jawapan
Solat sunat istikharah merupakan salah satu solat sunat yang dilakukan untuk memohon petunjuk daripada Allah SWT. Solat sunat istikharah dilakukan apabila seseorang ragu-ragu dalam membuat pilihan atau keliru dalam menentukan sesuatu yang terbaik.
Perkara ini dinyatakan di dalam hadis, Jabir bin Abdullah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُنَا الاِسْتِخَارَةَ فِي الأمُورِ كُلِّهَا، كَالسُّورَةِ مِنَ الْقُرْآنِ: إِذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِالأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الْفَرِيضَةِ…
Maksudnya: “Rasulullah SAW mengajarkan kami tentang memohon pilihan (terbaik) dalam setiap urusan (Istikharah) sebagaimana Baginda mengajarkan kami surah daripada al-Quran. Baginda bersabda: Jika seseorang daripada kamu menghadapi masalah maka solatlah dua rakaat yang bukan solat wajib…”
Riwayat al-Tirmizi (480)
Berdasarkan hadis di atas, Syeikh ʻAbd al-Rahman al-Mubarakfuri menyatakan bahawa maksud istikharah di dalam hadis ini ialah solat sunat istikharah. Beliau juga mengatakan bahawa hadis ini menjadi dalil bahawa tidak harus bagi seseorang memperkecilkan apa-apa perkara walaupun perkara tersebut nampak remeh, lalu dia meninggalkan istikharah. Berkemungkinan perkara yang dianggap remeh tersebut nanti pada masa akan datang menjadi mudarat baginya.
(Rujuk Tuhfah al-Ahwazi Syarah Jami’ al-Tirmizi, 2/482)
Secara asasnya, jumlah rakaat bagi solat sunat istikharah adalah dua rakaat. Imam Nawawi menyebutkan bahawa:
أن من أراد مِنْ الْأُمُورِ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ بِنِيَّةِ صَلَاةِ الِاسْتِخَارَةِ
Maksudnya: Sesungguhnya sesiapa yang hendak melakukan sesuatu di antara perkara-perkara (penting) maka hendaklah dia dirikan solat dua rakaat dengan niat solat istikharah.
(Rujuk al-Majmuʻ Syarh al-Muhazzab, 4/54)
Selain itu, dalam al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah menyebutkan bahawa:
اتَّفَقَ فُقَهَاءُ الْمَذَاهِبِ الأَرْبَعَةِ عَلَى أَنَّ الأَفْضَل فِي صَلاَةِ الاِسْتِخَارَةِ أَنْ تَكُونَ رَكْعَتَيْن
Maksudnya: Ulama empat mazhab bersepakat bahawa jumlah rakaat yang paling afdal bagi solat sunat istikharah adalah dua rakaat.
(Rujuk al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah, 3/244)
Namun begitu, dalam rujukan yang sama disebutkan bahawa adalah diharuskan untuk melakukan solat sunat istikharah melebihi dua rakaat di sisi mazhab al-Shafi’i. Perkara ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibn Hajar al-ʻAsqalani:
فَلَوْ صَلَّى أَكْثَرَ مِنْ رَكْعَتَيْنِ أَجْزَأَ
Maksudnya: Walaupun seseorang itu solat lebih daripada dua rakaat adalah sah.
(Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 11/185)
Terkait waktu solat sunat istikharah pula adalah boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja kecuali waktu yang diharamkan solat. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas RA:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم نَهَى عَنِ الصَّلاَةِ بَعْدَ الصُّبْحِ حَتَّى تَشْرُقَ الشَّمْسُ، وَبَعْدَ الْعَصْرِ حَتَّى تَغْرُبَ
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW telah melarang dari melakukan solat (sunat) selepas solat subuh sehingga terbitnya matahari dan selepas solat asar sehingga terbenamnya matahari.
Riwayat Al-Bukhari (581)
Dalam mazhab al-Syafiʻi diharamkan solat pada lima waktu. Tiga daripadanya melibatkan waktu dan dua daripadanya melibatkan perbuatan itu sendiri. Lima waktu tersebut ialah:
- Dari terbit matahari sehingga tegak dengan kadar tombak dengan pandangan mata iaitu bersamaan 16 minit.(dalam tempoh 16 minit setelah matahari terbit)
- Dari istiwa (pembahagi dua) matahari sehingga zawal (gelincir).Tempohnya terlalu singkat, diharamkan solat ketika ini.
- Dari langit kelihatan kekuning-kuningan sehingga maghrib.
- Selepas melaksanakan solat subuh sehingga terbit matahari.
- Selepas melaksanakan solat asar sehingga terbenam matahari.
(Rujuk Asna al-Matalib fi Syarh Raud al-Talib, 1/123-124)
Kesimpulan
Solat sunat istikharah afdal dilakukan sebanyak dua rakaat. Perkara ini sebagaimana yang telah disepakati oleh mazhab yang empat. Tetapi, sekiranya hendak dilakukan lebih daripada dua rakaat maka diharuskan. Wallahuaʻlam.