≡ Menu

Sahkah Wudhu’ Jika Anggota Wudhu’ Terdapat Kesan “Glitter” Dari Make Up?

Soalan:

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan satu soalan. Saya telah maklum bahawa bahan solekan yang menghalang air daripada sampai ke kulit adalah wajib dibersihkan terlebih dahulu sebelum berwuduk. Namun apa yang dialami oleh kebanyakan wanita adalah kesan glitter atau kilauan yang kecil masih terlekat di permukaan kulit walaupun setelah dibersihkan bahan solekan tersebut. Adakah kesan glitter ini menghalang air wuduk? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Jawapan Ringkas

Glitter merupakan bahan pejal yang bersifat menghalang air ke kulit. Oleh itu, tidak sah wuduk sekiranya kesan glitter yang dapat dilihat dengan mata kasar tidak ditanggalkan dengan sempurna. Seseorang yang ingin berwuduk wajib membersihkan segala bahan yang menghalang air ke anggota wuduk sehingga diyakini tiada kesan yang berbaki walaupun sedikit. Sekiranya seseorang menyedari bahawa terdapat glitter pada permukaan kulitnya setelah selesai menunaikan solat fardu atau semasa menunaikan solat fardu, maka solat tersebut adalah wajib digantikan dengan mengambil wuduk yang baharu. Jika seseorang meragui sama ada dia telah menanggalkan kesan glitter sepenuhnya atau tidak pada wuduk-wuduknya yang lepas tanpa meyakininya, maka dia tidak wajib qada solatnya.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Huraian

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertama sekali, perlu difahami bahawa berwuduk merupakan salah satu daripada syarat sah solat. Wuduk yang tidak sempurna akan menyebabkan tidak sahnya solat seseorang.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, kedua belah tangan kamu meliputi siku, sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”

Surah al-Maidah (6)

Ayat di atas menjelaskan kewajipan berwuduk sebelum menunaikan solat berserta rukun-rukun wuduk yang wajib diikuti iaitu membasuh dan meratakan air pada bahagian muka dan kedua belah tangan hingga ke siku. Kemudian menyapu sebahagian daripada kepala dan membasuh kedua belah kakinya sehingga ke buku lali.

Terdapat sepotong hadis yang menunjukkan bahawa wajib meratakan air pada seluruh anggota wuduk seperti mana yang diriwayatkan oleh Jabir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

BACA:  Tips Untuk Kekal Bertenaga Dan Berseri Dengan Menggunakan Air Rebusan Kunyit. Petua Orang Lama Ni

أَنَّ رَجُلاً تَوَضَّأَ فَتَرَكَ مَوْضِعَ ظُفُرٍ عَلَى قَدَمِهِ فَأَبْصَرَهُ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ارْجِعْ فَأَحْسِنْ وُضُوءَكَ فَرَجَعَ ثُمَّ صَلَّى

Maksudnya: “Seorang lelaki berwuduk dan telah tertinggal basuhan pada kuku kakinya yang dilihat oleh Rasulullah , lalu Baginda bersabda: Ulanglah semula dan berwuduklah dengan sempurna. Lalu dia terus mengulanginya dengan sempurna dan mendirikan solat.

Riwayat Muslim

Berdasarkan hadis ini, sekiranya ada mana-mana bahagian anggota wuduk yang tidak disentuh air walaupun sedikit, maka wuduk itu tidak dikira sah kerana tidak menepati rukun yang ditetapkan.

Oleh itu, para ulama bersepakat bahawa sesuatu yang menghalang air ke kulit adalah wajib dibersihkan terlebih dahulu sebelum mengambil wuduk[1]. Ini berdasarkan keumuman ayat yang menyatakan kewajipan meratakan air ke seluruh anggota wuduk, maka wajib juga menanggalkan apa-apa yang menghalangnya.

Merujuk kepada persoalan, umum mengetahui bahawa terdapat bahan kosmetik tertentu yang bersifat tidak telap air. Oleh kerana sifat bahan kosmetik tersebut yang menghalang air sampai ke kulit ketika berwuduk, maka diwajibkan untuk menanggalkannya dengan sempurna terlebih dahulu sebelum berwuduk. Namun setelah mencuci dan menanggalkan solekan tersebut, didapati serbuk kilauan kecil (glitter) daripada bahan solekan masih terlekat di permukaan kulit.

Glitter atau serbuk kilauan adalah bahan buatan manusia yang diperbuat daripada kepingan kecil aluminium dan sejenis plastik yang bernama polietilena tereftalat (PET). Selain itu dalam dunia kosmetik terdapat juga sejenis serbuk kilauan yang dipanggil shimmer. Ia merupakan serbuk kilauan yang diperbuat daripada serpihan kecil mica dan bersifat lebih halus berbanding glitter[2]. Kajian menunjukkan bahawa bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan serbuk kilauan kosmetik ini adalah bersifat pejal dan tidak telap air.

Imam al-Nawawi menjelaskan hukum sesuatu yang menghalang air wuduk menyentuh mana-mana anggota wuduk, kata beliau:

إذا كان على بعض أعضائه شمع، أو عجين، أو حناء وأشباه ذلك، فمنع وصول الماء إلى شيء من العضو لم تصح طهارته، سواء كثر ذلك أم قل، ولو بقى علي اليد وغيرها أثر الحناء ولونه دون عينه، أو أثر دهن مائع بحيث يمس الماء بشرة العضو ويجرى عليها لكن لا يثبت صحت طهارته

Maksudnya: “Jika terdapat di atas anggota wuduk bahan-bahan seperti lilin, tepung, inai dan seumpama dengannya yang boleh menghalang air ke anggota, maka tidak sah taharahnya (wuduk dan mandi junub), tidak kira sama ada banyak ataupun sedikit. Namun, jika hanya kesannya sahaja berbaki tanpa jirimnya (ʿain) seperti warna inai atau kesan lemak cair yang berbaki di atas tangan atau anggota wuduk lain yang mana tidak menghalang air untuk sampai dan mengalir di atas kulit anggota, walaupun air tersebut  tidak melekat pada kulit, maka sah taharahnya(wuduk).[3] ”

BACA:  12 Adab Dan Tertib Yang Dikhususkan Kepada Wanita Yang Ke Masjid. Insya'Allah Kita Amalkan

Sebarang bahan pejal yang jelas kelihatan oleh mata kasar dan bersifat menghalang air ke anggota badan adalah wajib ditanggalkan sebelum mengambil wuduk walaupun bahan tersebut kecil atau sedikit seperti glitter. Pepejal yang berbaki atas permukaan kulit akan menyebabkan wuduk tidak sah.

Sekiranya seseorang menyedari dengan mata kasarnya bahawa kesan glitter yang berbaki masih terlekat pada permukaan kulitnya setelah selesai menunaikan solat fardu atau semasa menunaikan solat fardu, maka solat yang didirikan daripada wuduk tersebut adalah wajib digantikan dengan mengambil wuduk yang baharu.

Sekiranya seseorang itu telah berasa pasti dan yakin terhadap sesuatu, kemudian timbul rasa syak adakah perkara itu telah hilang atau tidak, maka asasnya hukum yang pasti itu kekal seperti sedia ada dan tidak dibatalkan dengan perasaan syak yang timbul selepas itu[4].

Dalam hal ini, seseorang itu pada asalnya telah pasti bahawa wuduknya adalah sah. Kemudian dia meragui sama ada dia telah menanggalkan kesan glitter sepenuhnya atau tidak, maka dapat disimpulkan bahawa wuduknya kekal sah dan tidak wajib qada solat melainkan dia yakin bahawa kesan glitter tersebut sememangnya ada di permukaan kulitnya pada waktu tersebut.

Wallahua’lam

 

Rujukan:

[1] Mahyuddin Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Raudhah al-Tolibin wa ‘Umdah al-Muftin, (Beirut: al-Maktab al-Islamiy, cetakan 3, 1416H – 1991M) 1/64

[2] Robert D. Blackledge, All that Glitters Is Gold, ms 1-2

[3] Mahyuddin bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, (Kaherah: Idarah al-Tiba’ah al-Muniriah, 1347H), 1/467

[4] Ahmad bin al-Syeikh Muhammad al-Zarqa, Syarh al-Qawaid al-Fiqhiyyah, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan 2, 1409H – 1989M) 87

إذا جهل في وقت الخصومة حال الشيء وليس هناك دليل يحكم بمقتضاه، وكان لذلك الشيء حال سابقة معهودة، فإن الأصل في ذلك أن يحكم ببقائه واستمراره على تلك الحال المعهودة التي كان عليها، حتى يقوم الدليل على خلاف ذلك فيصار حينئذ إليه

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.