Pernah tak secara tiba-tiba dada kiri rasa sakit sangat, umpama orang tengah cucuk dengan jarum? Kalau pernah rasa sebegitu, penting untuk kamu tahu ada beberapa sebab masalah kesihatan kenapa dada kiri boleh sakit.
Selain masalah sakit jantung, berikut adalah penyebab kenapa kamu boleh rasa sakit pada bahagian dada kiri:
Angina
Angina atau sakit dada terjadi disebabkan oleh penyempitan pada arteri hingga ke jantung. Keadaan ini mengakibatkan aliran darah tidak dapat mengalir dengan normal.
Bila terjadinya angina ini antara gejala yang boleh dirasai adalah;
- Sakit dada kiri menjalar sehingga ke lengan kiri, leher, rahang dan belakang badan.
- Susah nak bernafas dengan normal.
- Rasa loya yang melampau.
- Sakit di bahagian dada atau bawah perut seperti senak.
- Badan menjadi lebih letih.
Tekanan diri
Gangguan mental seperti gangguan psikosomatik dan tekanan yang tidak terkawal boleh menyebabkan rasa sesak di dada.
Keadaan ini boleh menjadi lebih buruk apabila kamu amalkan gaya hidup tidak sihat seperti merokok atau mengambil minuman alkohol secara berlebihan.
Serangan jantung
Kebiasaannya sakit dada kiri sering dikaitkan dengan serangan jantung. Untuk pengetahuan kamu serangan jantung berlaku apabila aliran darah ke otot tersumbat secara tiba-tiba.
Ketika ini kamu akan merasai gejala seperti:
- Sakit dada kiri sehingga ke lengan kiri, rahang, leher, belakang dan perut.
- Pening dan berpeluh sejuk.
- Susah nak bernafas.
- Loya atau muntah.
- Alami perasaan kebimbangan yang teruk seperti serangan panik.
- Batuk atau semput.
Masalah paru-paru
Masalah paru-paru seperti pneumonia dan pleuritis boleh menjadi punca kenapa dada kiri menjadi sakit. Pada masa yang sama, simtom yang boleh berlaku adalah dada kiri sakit ketika bernafas dan disertai dengan batuk atau tercungap-cungap.
Gangguan pada saluran penghadaman
Akhir sekali sakit dada kiri boleh terjadi kerana gangguan saluran penghadaman seperti pengumpulan gas dalam usus dan GERD iaitu penyakit refluks gastro-esophageal.
Pengumpulan gas dalam usus boleh berikan tekanan pada usus dan menyebabkan dada menjadi sakit, kembung perut, kentut dan sendawa.
Manakala GERD pula akan menyebabkan rasa sakit pada dada kiri atau rasa terbakar di dada yang bermula di belakang tulang dada hingga leher dan tekak.
Ada keadaan sakit dada kiri ini tidak perlukan rawatan kecemasan. Tetapi jika keadaan menjadi lebih teruk, cepat-cepat pergi ke hospital okay?