
Apakah makanan yang sesuai untuk mereka yang mengalami penyakit jantung? Artikel ini akan membincangkan beberapa jenis makanan yang sesuai untuk mereka yang mengalami masalah ini.
Pengenalan
Penyakit jantung bukanlah sejenis penyakit yang asing lagi di negara kita dan ianya menjadi punca kematian utama di negara ini. Penyakit ini tidak pernah mengenal usia dan boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja. Penyakit jantung selalunya terjadi apabila terdapat kurangnya bekalan oksigen yang disebabkan oleh kurangya pengaliran darah ke bahagian otot jantung.
Bekalan oksigen yang tidak mencukupi menyebabkan kekurangan fungsi jantung itu sendiri. Masalah jantung juga dapat menyebabkan pelbagai lagi masalah kesihatan yang dapat memudaratkan tubuh badan. Oleh itu, artikel ini akan membincangkan serba sedikit akan makanan yang sesuai diambil oleh pesakit jantung.
Punca Penyakit Jantung
- Kerosakkan pada bahagian anggota jantung
- Kurangnya bekalan oksigen ke jantung
- Kerosakkan pada salur darah
- Tekanan darah yang tinggi
- Paras kolesterol yang tinggi di dalam darah
- Tabiat merokok
- Masalah obesiti atau berat badan berlebihan
- Pengambilan alkohol yang berlebihan
- Masalah kencing manis
- Masalah genetik
- Kurang aktif dan gaya hidup sedentari
- Faktor usia
- Tekanan dan stress yang tidak terkawal
Simptom Sakit Jantung
- Sakit di bahagian dada
- Kesukaran untuk bernafas
- Cepat letih dan kepenatan
- Pembengkakan dan pengumpulan cecair pada anggota badan
- Jantung berdegup laju
- Berpeluh
- Sakit di bahagian rahang dan belakang
10 Makanan untuk Penyakit Jantung
1. Kacang soya
Kacang soya merupakan sejenis kacang yang digunakan secara meluas di dalam proses penghasilan makanan dan minuman. Satu kajian telah dijalankan di kalangan wanita di Shanghai untuk mengkaji hubungan di antara pengambilan kacang soya dan kejadian penyakit jantung. Kajian ini menemui bahawa pengambilan kacang soya di dalam diet seharian dapat menurunkan tahap risiko untuk mendapat penyakit jantung.
2. Buah-buahan beri
Tahukah anda terdapat pelbagai jenis buah-buahan beri seperti kranberi, strawberi dan bluberi. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan buah-buahan beri dapat menurunkan risiko mendapat penyakit jantung. Hal ini kerana buah-buahan beri kaya dengan sumber antioksida seperti vitamin C dan E selain kaya dengan mikronutrisi lain seperti selenium dan beta karotin. Kandungan seratnya juga dapat mencegah penyakit jantung melalui penurunan paras kolesterol di dalam salur darah.
3. Sayur-sayuran cruciferous
Sayur-sayuran cruciferous adalah sejenis sayuran yang berasal dari keluarga Brassicaceae. Antara contoh sayur-sayuran cruciferous adalah brokoili, bunga kobis, kobis, kale, bak choy dan banyak lagi. Satu kajian yang dijalankan telah menemui bahawa pengambilan sayur-sayuran cruciferous dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit kardiovaskular.
4. Asparagus
Asparagus merupakan antara sayur yang didapati sesuai diambil oleh pesakit jantung. Hal ini kerana asparagus mempunyai kandungan folate yang tinggi. Folate adalah sejenis mikronutrisi yang dapat mencegah pengumpulan homosistin di dalam badan. Kajian menunjukkan bahawa homosistin dapat menyebabkan masalah kardiovaskular di mana ianya memberi kesan kepada sel endothelium dan smooth cell jantung.
5. Biji rami (flaxseed)
Biji rami atau nama popularnya flaxseed sejenis sumber tumbuhan yang kaya dengan omega 3 seperti asid alpha-linolenic. Ianya merupakan sejenis tumbuhan yang mempunyai kandungan asid alpha-linolenic yang tertinggi. Omega 3 mempunyai sifat anti radang yang mampu untuk mencegah penyakit kardiovaskular. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan biji rami dapat mencegah penyakit jantung dan menurunkan paras kolesterol.
6. Coklat
Coklat merupakan sejenis manisan yang digemari oleh pelbagai pihak. Tahukah anda bahawa coklat juga dapat menurunkan risiko mendapat penyakit jantung. Koko dan coklat gelap kaya dengan kandungan flavonoid yang didapati dapat menurunkan paras tekanan darah.
Satu kajian yang dijalankan mendapati bahawa pengambilan coklat berkadar songsang dengan kejadian penyakit jantung di US. Hal ini bermaksud bahawa pengambilan coklat mengurangkan peratus populasi yang mendapat penyakit jantung di negara itu.

7. Ikan
Tahukah anda bahawa pengambilan ikan sangat digalakkan untuk mereka yang mempunyai penyakit jantung. Hal ini kerana ikan merupakan sejenis haiwan yang kaya dengan omega 3 yang bersifat anti radang.
Satu kajian telah dijalankan dikalangan wanita untuk mengkaji hubungan diantara pengambilan ikan dan omega 3 terhadap risiko penyakit jantung.
Kajian selama 16 tahun mendapati bahawa wanita yang sering memakan ikan mampunyai risiko penyakit jantung yang rendah jika dibandingkan dengan wanita yang jarang memakan ikan.
8. Oat
Pengambilan oat sering dikaitkan dengan kesihatan jantung. Hal ini kerana oat mengandungi kandungan beta glukan yang mempu menurunkan paras kolesterol di dalam darah. Beta glukan bertindak dengan mengikat asid hempedu yang digunakan badan untuk penghasilan kolesterol. Pengikatan asid hempedu oleh beta glukan membolehkan ianya dikumuhkan oleh badan melalui najis. Paras kolesterol yang normal dapat menjaga kesihatan jantung dengan mencegah serangan jantung yang disebabkan oleh penyempitan saluran darah.
9. Pisang
Pisang merupakan buah yang tinggi dengan kandungan potasium. Potasium merupakan sejenis mikronutrisi yang dapat mencegah tekanan darah tinggi melalui pengembangan salur darah.
Potasium juga bertanggungjawab ke atas keseimbangan pengecutan otot seperti otot jantung. Otot jantung yang berfungsi dengan baik dapat mengekalkan degupan jantung yang normal dan mencegah penyakit jantung.
10. Susu omega
Pernahkan anda mendengar bahawa pesakit jantung digalakkan untuk meminum susu omega. Susu omega adalah sejenis tumbuhan yang sesuai untuk pesakit jantung kerana ianya mengandungi stanol and stenol iaitu sejenis sterol tumbuhan. Sterol tumbuhan ini dapat mengurangkan paras kolesterol di dalam darah lalu menjaga kesihatan jantung.
Konklusinya terdapat pelbagai jenis makanan yang sesuai diamalkan oleh pesakit jantung. Haruslah diingat bahawa pesakit haruslah sentiasa mengamalkan diet yang rendah kandungan lemak dan sodium dan melebihkan pengambilan serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijiran penuh.
Diharapkan artikel makanan untuk penyakit jantung ini dapat memberikan idea kepada para pembaca mengenai makanan-makanan yang sesuai untuk mereka yang mengalami penyakit jantung ini.
