≡ Menu

Sebaik-Baik Manusia Ialah Yang Mendatangkan Manfaat Kepada Manusia Yang Lain

Satu persoalan yang sewajarnya kita tanyakan pada diri kita, adakah kita bermanfaat kita kepada orang lain di sekeliling kita?

Adakah kewujudan kita sama ada dalam keluarga, organisasi juga masyarakat dirasai  dan memberi manfaat kepada mereka atau hanya melukut di tepi gantang, tiada tidak mengurangi, ada tidak menambah?

Saidina Umar RA ketika menjadi khalifah, telah menghantar utusan ke wilayah-wilayah di luar dari Kota Madinah. Antara pesanan beliau:

Jadilah kamu, apabila berada di tempat yang tiada pemimpin, kamu seolah-olah pemimpin mereka. Jika kamu dilantik sebagai pemimpin, kamu adalah sebahagian daripada mereka.

Maksudnya, keberadaan kita di tengah-tengah kelompok masyarakat amat dirasai dan bermanfaat sehingga kita seolah-olah menjadi rujukan atau pemimpin mereka. Keberadaan kita dirasai dan bermanfaat sama ada dalam keluarga, organisasi mahupun masyarakat.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Rasulullah SAW berpesan bahawa orang yang paling dicintai Allah adalah mereka yang paling bermanfaat kepada orang lain:

عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : “أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ , وَأَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى سُرُورٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ , أَوْ تَكَشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً , أَوْ تَقْضِي عَنْهُ دَيْنًا , أَوْ تَطْرُدُ عَنْهُ جُوعًا , وَلأَنْ أَمْشِيَ مَعَ أَخِ فِي حَاجَةٍ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ يَعْنِي مَسْجِدَ الْمَدِينَةِ شَهْرًا

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi SAW bersabda, “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat muslim yang lain bahagia, meringankan kesusahan orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Seandainya aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi suatu keperluan, maka hal itu lebih aku cintai daripada iktikaf sebulan di masjid ini iaitu masjid Nabawi di Madinah selama sebulan penuh (HR. Tobarani dalam Al Mu’jam Al Kabir no. 13280, 12: 453). Status: hadis hasan.

Erti hidup pada yang memberi bukan hanya pada wang ringgit malah apa sahaja amal kebaikan. Dalam hadis di atas, amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat orang lain bahagia antaranya dengan cara meringankan kesusahan seseorang, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya.

Seorang Muslim yang pergi untuk membantu bagi memenuhi keperluan seseorang, lebih dicintai Allah daripada dia beriktikaf sebulan di masjid Nabawi.

Rasulullah SAW juga bersabda:

خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain. (HR Ibn Hibban No: 2/48)

BACA:  3 Waktu Utama Membaca Ayat Kursi

Menjadi orang yang bermanfaat tidak semestinya memerlukan pengorbanan wang ringgit dan harta. Memberi nasihat, membimbing, mengajar ilmu kepada orang lain, berdakwah mengikut kemampuan kita sudah dikira memberi manfaat kepada orang lain. Termasuk memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Setiap sesuatu yang dapat memberi kemudahan, kelegaan atau kebaikan kepada orang lain adalah suatu yang dituntut daripada seorang Muslim.

Didiklah diri kita dengan sikap sanggup berkorban, empati, kasih sayang, menanamkan sifat kemanusiaan dalam diri dan kerjasama serta bantu membantu dalam kehidupan bermasyarakat. Jika kita ikhlas membantu makhluk lain yang memerlukan bantuan, yakinlah bahawa Allah telah menyediakan ganjaran buat kita dan pada hakikatnya kebaikan kita itu akan kembali kepada kita sebagaimana firman Allah dalam Al Quran:

إِنْ أَحْسَنْتُمْ أَحْسَنْتُمْ لِأَنْفُسِكُمْ ۖ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا ۚ

“Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga”. (Al-Isra: 7)

Jadilah Muslim yang bermanfaat pada orang lain.

Erti Hidup Pada Yang Memberi Manfaat.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.