TANGAN yang menghulurkan bantuan cukup mulia di sisi Tuhan.
Konsep bantuan itu bukan sahaja dari segi kewangan dan barangan.
Bantuan juga tidak terhad kepada wang ringgit sebaliknya boleh membantu orang lain dengan menyumbang masa dan tenaga.
Pernah dengar tak tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima.
Cubalah memberi dengan hati yang ikhlas, beri tanpa mengharapkan balasan.
Dengan penuh rasa kesyukuran dengan nikmat pemberian yang Allah beri kepada kita.
Dalam Al-Qur’an surah Al-Baqarah ayat 261 disebutkan, ‘Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan 70 tangkai, pada setiap tangkainya terdapat 100 biji. Allah melipat gandakan bagi siapa saja yang Dia kehendaki.
Secara fikiran sederhana jika kita sering mengeluarkan harta mungkin sahaja akan menjadi miskin, tapi jika yakin dan percaya akan rezeki Allah. Kita akan dilipat gandakan lagi rezeki dengan melalui perlbagai cara, ini salah satu rahsia Allah dan hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui lagi Maha Segalanya.
Allah sebut hal ini di dalam al-Quran:
“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui”.
(al-Baqarah: 261)
Dengan itu umat Islam mestilah meyakini dan mempercayai firman Allah yang sudah terang dan nyata tanpa ada sebarang kesamaran, ini menggambarkan yang setiap amalan soleh atau infak di jalan Allah yang dilakukan oleh setiap manusia akan Allah gandakan ganjaran-Nya.
Dan sabda Nabi S.A.W:
“Sesungguhnya sedekah itu memadamkan murka Tuhan dan mencegah dari mati yang celaka.”
(At-Tirmidzi dan menurut Hadis ini hasan)
Sebenarnya sedekah itu tidaklah hanya berupa pembelanjaan harta sahaja, bahkan kebaikan apa sahaja, sebenarnya juga merupakan sedekah. Kerana ada Hadis yang diriwayatkan secara sahih dari Rasulullah S.A.W:
“Baginda pernah bersabda, “Setiap orang wajib bersedekah” para Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, bagaimanakah orang tidak berada?” Jawab Rasulullah S.A.W, “Dia bekerja dengan tangannya, pekerjaan itu bermanfaat bagi dirinya, dan dia boleh bersedekah”. Mereka bertanya pula: “Jikalau dia tidak dapat?” jawab Rasulullah S.A.W: “Dia menolong orang yang sengsara yang memerlukan pertolongan” mereka bertanya lagi, “kalau tidak ada?” jawab Rasulullah S.A.W: “Lakukanlah kebaikan dan cegahlah diri dari melakukan keburukan. Baginya itu pun sedekah.””
(Riwayat Bukhari)
“Diriwayat yang lain Baginda S.A.W telah bersabda yang bermaksud: “Setiap orang wajib melakukan sedekah saban hari selagi matahari masih terbit. Antara lain mendamaikan antara 2 orang yang bersengketa, itu pun sedekah. Dan bila orang membantu manaikkan seseorang ke atas kenderaannya, itu pun sedekah. Atau dia angkut barangnya ke atas belakang kenderaan, itu pun sedekah. Dan menyingkirkan duri dari jalan, itu pun sedekah. Bahkan setiap langkah ketika ia berjalan untuk melakukan solat, itu pun sedekah”.”
(Riwayat Ahmad)
Dan ingatan dari Allah lagi:
“Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik).”
(ar-Ra’d: 22)
Bidang sedekah sangat luas, ia bukan tertentu kepada suatu perkara atau perbuatan sahaja tetapi apa sahaja perbuatan baik adalah dikira sedekah. Nabi S.A.W banyak menggambarkan hal ini di dalam Hadis Baginda, di antaranya:
“Apabila mati seorang manusia maka terputuslah amalannya kecuali 3 perkara: Daripada sedekah jariahnya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan untuknya”.
(Riwayat Muslim)