وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِذِكۡرِیۤ
“Dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku” [Surah Ta-Ha 14]
#Solat merupakan amalan ketaatan yang tersangat agung dan mulia. Dengan kita mendirikan solat akan menjadikan kita sentiasa mengingati Allah dan dekat kepadaNya.
#Fokus perbincangan kali ini berkaitan perintah solat jenazah. Solat jenazah merupakan salah satu fardhu kifayah ke atas diri seorang muslim terhadap saudaranya yang telah meninggal dunia.
#Solat jenazah boleh dilakukan bersendirian, namun berjemaah lebih afdhal. Imam an-Nawawi rahimahullah menyebut:
تَجُوزُ صَلَاةُ الْجِنَازَةِ فُرَادَى بِلَا خِلَافٍ وَالسُّنَّةُ أَنْ يُصَلَّى جَمَاعَةً
“Harus solat jenazah secara seorang diri tanpa khilaf (dalam kalangan para ulama) dan yang sunnahnya adalah ia didirikan secara berjamaah”.
#Solat jenazah mempunyai ganjaran yang besar bagi sesiapa yang mengerjakannya.
مَنْ شَهِدَ الْجَنَازَةَ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا فَلَهُ قِيرَاطٌ، وَمَنْ شَهِدَهَا حَتَّى تُدْفَنَ فَلَهُ قِيرَاطَانِ. قِيلَ: وَمَا الْقِيرَاطَانِ؟ قَالَ: مِثْلُ الْجَبَلَيْنِ الْعَظِيمَيْنِ
“Sesiapa yang bersama-sama jenazah sehingga selesai disolatkan, maka dia mendapat satu qirat (قِيرَاطٌ) dan sesiapa yang bersama-samanya sehingga selesai dikebumikan, maka dia mendapat dua qirat. Lalu Baginda ditanya: “Apakah dua qirat itu?” Baginda menjawab: “Ganjaran pahalanya seumpama dua buah gunung yang besar” (HR al-Bukhari dan Muslim)
#Terdapat kaifiat atau cara pelaksanaannya. Diriwayatkan daripada Sayidina Abu Hurairah r.a bahawa: “Sesungguhnya Nabi saw bersedih atas kematian an-Najasyi pada hari kematiannya, lalu Baginda keluar ke tempat solat (musolla), membuat saf bersama-sama sahabat dan bertakbir sebanyak empat kali takbir” (HR al-Bukhari dan Muslim)
#Sayidina Malik bin Hubayrah berkata bahawa Rasulullah saw bersabda:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوتُ فَيُصَلِّي عَلَيْهِ ثَلاَثَةُ صُفُوفٍ مِنَ الْمُسْلِمِينَ إِلاَّ أَوْجَبَ
“Tidaklah seorang muslim yang meninggal dunia lalu disolatkan ke atas jenazahnya itu tiga saf dari kalangan umat Islam melainkan wajib baginya (masuk ke dalam syurga)” (HR Abu Daud)
#Terdapat beberapa hadis menceritakan kelebihan kepada si mati jika ramai orang menyembahyangkan jenazahnya.
#Diriwayatkan daripada Sayidina Ibnu Abbas r. huma, bahawa Rasulullah saw bersabda:
مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلاً لاَ يُشْرِكُونَ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلاَّ شَفَّعَهُمُ اللَّهُ فِيهِ
“Tidak ada seorang lelaki muslim yang meninggal dunia, kemudian terdapat empat puluh orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun mendirikan solat jenazah ke atasnya, melainkan Allah akan memberikan syafaat dari mereka buat dirinya (jenazah tersebut)” (HR Muslim)
#Sayidatina ‘Aisyah r.ha berkata, Rasulullah saw bersabda:
مَا مِنْ مَيِّتٍ يُصَلِّي عَلَيْهِ أُمَّةٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ يَبْلُغُونَ مِائَةً كُلُّهُمْ يَشْفَعُونَ لَهُ إِلاَّ شُفِّعُوا فِيهِ
“Tidaklah seorang mayat yang disolatkan ke atas jenazahnya umat Islam yang mencecah 100 orang yang mana kesemuanya memberi syafaat kepadanya, melainkan akan diberikan syafaat mereka kepadanya (jenazah)” (HR Muslim)
♡Rebutlah pahala solat jenazah agar kita beroleh ganjarannya yang besar serta digolongkan kita dikalangan hamba yang sentiasa mengingatiNya dan mengingati kematian♡