Mentaati ibubapa merupakan perintah daripada Allah S.W.T yang perlu dipatuhi oleh setiap insan. Begitu juga untuk mendapatkan keredhaan daripada-Nya. Redha Allah S.W.T terletak pada redha ibubapa kita. Jangan sesekali kita tinggikan suara atau tidak beradab apabila kita bersama dengan kedua ibubapa kita.
Hati mereka perlu kita jaga dan cubalah untuk berbakti sehabis baik sementara mereka masih ada untuk kita. Dengan adanya redha ibubapa yang membawa kepada redha ibubapa, hidup kita akan menjadi lebih tenang dan tenteram. Segala urusan hidup seharian kita juga akan menjadi lebih lancar dan semakin baik serta akan membuahkan hasil yang positif. Terdapat banyak cara untuk kita berbakti kepada kedua ibubapa kita.
1 . Membantu Dari Segi Kewangan
Sejujurnya, ibubapa tidaklah mengharapkan wang daripada anak-anak, tetapi kita selaku anak-anak seharusnya lebih peka dan prihatin terhadap keperluan ibubapa kita. Meskipun ibubapa tidak meminta daripada kita, tiada salahnya jika kita yang berusaha untuk memberikan kepada mereka.
Jika anda mampu, konsisten dengan pemberian anda setiap bulan. Jika anda lebih dari mampu, tanggunglah seluruh perbelanjaan harian ibubapa anda dari segi makan dan minum mereka, bayarkan bil-bil mereka dan sebagainya. Sekalipun jika ibubapa anda masih bekerja, anda harus sedar bahawa mereka bukan semakin muda. Semakin hari usia mereka semakin bertambah dan kudrat mereka mulai berkurang.
Mereka telah penat lelah membesarkan anda sehingga sekarang, janganlah dipaksa lagi mereka untuk terus bekerja sehingga ke hujung usia mereka.
2 . Sediakan Tempat Tinggal
Anda harus berusaha untuk memastikan ibubapa anda mendiami rumah yang selesa dan selamat untuk mereka. Jika rumah yang mereka diami sekarang ini sudah tidak sesuai dan anda masih belum mampu untuk berikan mereka kediaman yang lebih baik, anda perlu anda niat dan hasrat untuk memberikannya kepada mereka suatu hari nanti.
Anda juga boleh mengajak mereka untuk tinggal bersama dengan anda. Anda perlu berusaha sehabis daya untuk memastikan mereka mampu untuk tinggal di sebuah rumah yang selesa dan selamat. Jika mereka tidak mahu untuk meninggalkan kediaman sedia ada disebabkan oleh nilai sentimental yang ada antara mereka dan rumah tersebut, anda boleh membantu untuk menjadikan rumah tersebut lebih baik.
Anda juga boleh bantu mereka untuk membaiki sebarang masalah yang ada pada rumah tersebut seperti kebocoran paip, kebocoran atap dan sebagainya. Jadikan rumah tersebut dalam keadaan terbaik untuk mereka.
3 . Menitipkan Doa Buat Mereka – Doa Untuk Ibubapa
Dalam banyak-banyak perkara yang boleh anda lakukan untuk ibubapa anda, perkara terbaik yang anda boleh lakukan dan mampu dilakukan oleh semua adalah menitipkan doa.
Berdoa kepada Allah S.W.T supaya ibubapa anda sentiasa didalam peliharaan-Nya dan doakan juga supaya mereka diberikan ganjaran syurga. Itu adalah sebaik-baik ganjaran bagi semua dan kita pastinya inginkan ibubapa kita untuk turut memperoleh ganjaran tersebut.
Lebih baik jika semua dapat dihimpun dan bertemu di syurga kelak kerana disanalah dimana kehidupan kita adalah abadi dan kita mampu untuk setiap masa bersama dengan kedua ibubapa kita untuk selamanya. Antara doa untuk ibubapa yang diajarkan adalah seperti berikut:
“Allahummaghfirli zunubi waliwalidaiya warhamhumaa kamaa rabbayaani soghirha”
Maksudnya : “Ya Allah! Ampunilah dosaku dan dosa kedua ibubapaku dan kashinailah mereka sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku sedari kecil”