
Strok terjadi apabila bekalan oksigen kepada otak berkurang dan sel-sel otak mula rosak dan mati. Biasanya ia berlaku akibat pembuluh darah tersumbat atau pecah dan mengakibatkan pendarahan.
Apabila sel-sel ini rosak atau mati, maka berlakulah kehilangan upaya seperti lumpuh, kognitif(akal) terjejas, hilang memori, tidak boleh bercakap, dan lain-lain.
Sel-sel saraf yang telah mati tersebut TIDAK BOLEH dipulihkan. Tiada rawatan buat masa ini yang telah terbukti boleh merawat sel otak yang telah mati. Namun begitu, pesakit yang hilang upaya selepas strok MASIH ADA peluang untuk beransur pulih.
Pemulihan keupayaan pesakit strok berlaku melalui proses pemulihan berikut.
1. Pemulihan Tisu Bengkak
Sejurus selepas serangan strok, tisu otak di sekeliling tisu yang tercedera/mati semasa serangan akan mengalami keradangan dan menyebabkan ia bengkak. Selain fungsi yang dikawal oleh tisu yang mati terjejas, fungsi yang dikawal oleh tisu yang bengkak ini juga akan turut terjejas.
Namun, setelah tisu sekeliling bengkak itu surut, fungsi anggota yang dikawal tisu yang sebelum ini bengkak itu akan kembali semula.
Sel otak yang dah mati, akan mati selamanya. Jika dibekalkan semula oksigen kepada sel mati ini, ia tidak akan hidup semula, atau diperbaiki. Ia akan kekal mati. Namun, tubuh kira ada cara untuk mengatasi masalah ini.
2. Pemulihan Neurologi
Sel saraf otak mempunyai sifat neuroplastik, iaitu kebolehan membuat lencongan pintasan neural yang baharu. Ia adalah sebahagian mekanisme adaptasi tubuh terhadap kecederaan, dan ini membenarkan pesakit strok memperolehi kembali keupayaan anggota mereka yang lumpuh. Proses ini dinamakan pemulihan neurologi.
Pemulihan neurologi kadangkala boleh berlaku secara spontan dan adakalanya memerlukan stimulasi dan simulasi. Latihan fisioterapi dan terapi cara kerja yang khusus dapat memberi stimulasi untuk merangsang pemulihan neurologi.
Terapi untuk pemulihan neurologi perlu dengan kerap dan dititikberatkan pada peringkat awal strok sehingga 6 bulan selepas strok. Ini kerana, selepas waktu emas ini, pemulihan neurologi menjadi sangat perlahan atau tiada sama sekali.
Terapi hendaklah dibuat oleh jurupulih fisioterapi dan jurupulih cara kerja yang bertauliah. Pintasan neural baru lazimnya terbentuk apabila berlaku pengulangan aktiviti khusus yang sekerap mungkin, dengan bantuan atau dengan bantuan peralatan/jurupulih.
Rawatan mengurut sahaja tidak mengalakkkan proses neuroplasticity. Urutan berkala dengan teknik yang betul hanya mengelakkan atau mengurangkan salah komplikasi strok, iaitu kekakuan(spasticity), kekejangan(spasm) otot, kesakitan kronik, dan mengurangkan stress.
3. Pemulihan Fungsi (Adaptive)
Selepas setahun strok, walaupun pemulihan neurologi sudah mendatar, pesakit masih boleh dilatih untuk mempertingkatkan kefungsian mereka. Ia dinamakan pemulihan fungsi(bukan fungsi anggota, tetapi fungsi pesakit)
Pemulihan ini dicapai melalui pengubahsuaian dan adaptasi cara kerja serta penggunaan peralatan khas bersesuaian dengan kurang upaya yang dialami pesakit.
Pesakit akan diajar oleh jurupulih buat aktiviti harian dengan cara paling efisien dan menjimatkan tenaga bersesuaian dengan dengan kelumpuhan atau kurang upaya yang ada.. Jika pesakit lumpuh sebelah badan(anggota), jurupulih akan melatih pesakit bangun dari pembaringan, duduk, membersihkan diri, memakai pakaian, malah berjalan menggunakan hanya sebelah anggota.
Jurupulih pertuturan akan ajar guna rajah komunikasi. Jurupulih cara kerja akan menilai persekitaran(dalam rumah) pesakit, untuk menilai kesesuaian pesakit tinggal di rumah. Penyusunan semula perabot atau renovasi akan dicadangkan jika pengubahan ini dapat meningkatkan kefungsian dan keberdikarian pesakit.
Nasihat: Ada banyak perawat yang menjanjikan rawatan yang boleh memulihkan masalah yang dihadapi oleh pesakit strok, namun kebanyakannya bukan tidak terbukti berkesan. Masyarakat hendaklah berhati-hati dalam memilih rawatan.
Pesakit strok disarankan dapatkan khidmat nasihat dari doktor, dan jika masih ada kemusykilan, mohon dirujuk ke Jabatan Perubatan Rehabilitasi. Pakar Perubatan Rehabilitasi akan nilai dan beri cadangan rawatan yang sesuai.
Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Unit Rehabilitasi Medtweetmy
Rujukan:
[1] Evidence-Based Review of Stroke Rehabilitation (EBRSR), Chapter 3 : Post Stroke Recovery
[2] Evidence-Based Review of Stroke Rehabilitation (EBRSR), Chapter 20.2.5 Miscellaneous Treatment – Massage Therapy
