Khutbah Jumaat adalah syarat melengkapkan sahnya solat Jumaat. Dari segi fungsi, khutbah Jumaat menjadi satu-satunya medium komunikasi sehala setiap minggu bagi umat Islam khasnya lelaki untuk mendengar teguran, nasihat, amanat dan pesanan yang menyentuh pelbagai isu serta perkara.
Fungsi dimiliki khutbah ini sangat istimewa kerana diinstitusikan atas perintah wahyu dan amalan Rasulullah SAW. Dengan penuh keimanan, fungsi khutbah Jumaat diterima dan dilaksanakan oleh kariah atau komuniti masyarakat Islam di masjid atau surau yang dibenarkan.
Di Malaysia, khutbah Jumaat diselia melalui jawatankuasa teks khutbah di peringkat Pusat di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), manakala di peringkat negeri di bawah jabatan agama negeri yang bertanggungjawab merancang tema dan tajuk untuk tempoh setahun.
Selain itu, jawatankuasa itu dianggotai panel penulis lantikan menyediakan secara mingguan teks khutbah untuk dibacakan khatib di setiap masjid. Seperti disyariatkan, khutbah Jumaat ialah komunikasi sehala khatib berakhir tanpa soalan daripada makmum.
Dari segi keberkesanan penyampaian, wibawa khutbah Jumaat jarang diperkatakan, apatah lagi dinilai makmum. Memang diakui terdapat khatib berupaya menyampaikan khutbah dengan baik sama ada dengan cara membaca teks disediakan mahupun berkhutbah secara spontan.
Terdapat khatib proaktif menambah baik kandungan teks khutbah sesuai dengan latar, konteks dan isu semasa kariah tempatan serta membuat persediaan sewajarnya dengan membaca terlebih dahulu teks disediakan.
Tidak memahami makmum
Bagaimanapun, masih terdapat khatib bukan sahaja tidak memahami jangkaan makmum, bahkan tidak peka dengan latar belakang mereka. Setiap kali khatib sama berkhutbah, perkara sama diulangi.
Misalnya, membaca teks khutbah seperti pembaca berita. Ada juga khatib berkhutbah secara spontan kerana tidak selesa membaca teks atau kerana merasakan bukan taraf beliau membaca teks, maka khutbahnya tersekat-sekat, ayatnya tergantung atau maknanya berlegar sekitar perkara sama dan berulang-ulang akibat kekeringan idea, kehilangan fokus atau lupa.
Oleh sebab khutbah berakhir tanpa soalan, maka bagaikan satu sindrom, makmum dipaksa mendengar atau terpaksa menerima apa juga yang keluar dari mulut khatib, meskipun terdapat kenyataan tidak jelas, pandangan mengelirukan, justifikasi berat sebelah ataupun cadangan penyelesaian bersifat punitif, bukannya mendidik.
Hakikatnya, sindrom terpaksa mendengar dan menerima ini membawa kepada tiga persoalan:
1. Adakah nilai kefarduan solat Jumaat sepadan dengan hidangan halwa telinga khutbah Jumaat sekadar bersifat pengulangan ritual tanpa sebarang pembaharuan dari segi kandungan atau penyampaian?
2. Adakah atas nama syariat dan sunah, tugas makmum hanya menadah telinga dan menghadap segala kata-kata dilafazkan khatib tanpa dibenarkan menyoal kembali khatib meskipun selepas selesai solat Jumaat?
3. Adakah khatib tidak pernah berasa bersalah menyampaikan khutbah mengikut kecenderungan pandangan politiknya atau sekadar ‘melepaskan batok di tangga’ disebabkan mulut makmum dikunci syariat.
Maka, jabatan agama Islam negeri patut memantau fenomena ini. Pihak bertanggungjawab dalam penyediaan dan penyampaian khutbah Jumaat perlu peka, responsif dan berjiwa besar.
Minat kariah untuk datang ke masjid perlu ditarik dengan khutbah berkesan, kecenderungan mereka perlu dipupuk dengan hikmat dan ‘fatanah’ khatib berkualiti dan mereka perlu diberikan isu khutbah yang segar, menawan serta berpada.
Maklum balas khalayak perlu dicari, bukan ditunggu dan pencarian itu mestilah dengan jiwa besar serta fikiran terbuka ke arah penambahbaikan dan peningkatan kualiti khutbah Jumaat.
Panel penulis teks
Dalam hal ini, pelantikan panel penulis teks khutbah perlu membabitkan golongan pemikir dan tidak hanya dalam kalangan ustaz atau agamawan semata-mata. Pemikir mempunyai kepakaran dalam analisis teks boleh membantu dari segi pemilihan kata, penjajaran makna dan ketepatan fakta.
Misalnya dari segi penjajaran makna, terdapat khatib mentafsirkan makna perkataan ‘ulama’ pada ayat 28 Surah Fatir dengan makna literal ulama lazim difahami, iaitu orang berilmu dan pakar hal agama Islam serta berlatarbelakangkan ilmu pengajian Islam, seperti syariah dan usuluddin.
Bagaimanapun, makna konseptual dan kontekstual ulama ialah orang berilmu dan akar agama Islam serta berlatarbelakangkan apa juga ilmu dan ilmu itu membawanya ‘takut’ kepada Allah SWT.
Pentafsiran dengan makna literal oleh khatib seperti ini perlu diperbetulkan kerana dari segi ketepatan fakta, ketakutan kepada Allah SWT tidak terbatas kepada orang berilmu berlatarbelakangkan ilmu pengajian Islam sahaja.
Hal ini demikian kerana orang berilmu berlatarbelakangkan sains tulen, sains kemanusiaan, sains sosial, perubatan, kejuruteraan dan lain-lain juga boleh memiliki rasa takut kepada-Nya melalui ilmu diketahuinya.
Ketepatan fakta dalam khutbah Jumaat perlu meraikan semua peringkat makmum. Khutbah mengangkat peranan ulama dalam ruang makna sempit hanya akan menyebabkan makmum daripada latar belakang berbeza beranggapan agama dan khutbah milik agamawan atau ‘mereka yang layak masuk syurga’ hanyalah agamawan.
Selain itu, pelantikan khatib jemputan perlu diperluaskan sesuai dengan konteks dan tema semasa. Misalnya, baru-baru ini Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan 14 pendidik diberikan penghormatan membaca khutbah Jumaat di 14 masjid di Perak pada 12 Mei lalu bersempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei 2023.
Selepas itu, golongan belia di Perak pula diperkenankan diberikan penghormatan membaca khutbah Jumaat di 24 masjid di negeri itu pada 19 Mei lalu bersempena sambutan Hari Belia Negara pada 15 Mei 2023.
Pada minggu berikutnya, Sultan Nazrin Shah memperkenankan pula tiga pengamal media membaca khutbah Jumaat di tiga masjid di Perak pada 26 Mei lalu bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional berlangsung di Ipoh, Perak pada 27 hingga 28 Mei 2023.
Justeru, pelantikan khatib jemputan seperti dilaksanakan di Perak wajar dicontohi negeri lain. Terdapat banyak lagi tema semasa bersempena sambutan tertentu boleh dikupas dalam khutbah Jumaat, seperti sempena Hari Polis, Hari Alam Sekitar Negara, Hari Kanak-Kanak, Minggu Sains Negara dan banyak lagi.
Wibawa khutbah Jumaat perlu diangkat dengan menjadikannya sentiasa relevan dengan konteks semasa. Di samping gaya penyampaian khatib berkesan, tema dan kandungan khutbah Jumaat perlu meraikan semua peringkat makmum, sentiasa disegarkan dan ditiupkan roh kontemporari tanpa mengabaikan rukun dan syaratnya.