Kejadian bencana seperti tragedi kepala air di Yan, Kedah, baru-baru ini atau musibah akibat krisis pandemik COVID-19 umpamanya kehilangan sumber pendapatan menunjukkan ramai dalam kalangan masyarakat terkesan dan memerlukan bantuan.
Kita beruntung rakyat negara ini aktif melakukan aktiviti kebajikan kerana semangat kesukarelawanan dan nilai kemanusiaan tinggi.
Hakikatnya, Islam memandang mulia dan menganjurkan seluruh masyarakat memupuk semangat kesukarelawanan untuk membantu golongan terkesan dan memerlukan.
Nabi SAW sendiri menggalakkan amalan kebajikan dan kesukarelawanan apabila bersabda: “Perkara paling disukai Allah ialah orang paling bermanfaat kepada manusia lain. Tingkah laku paling disukai adalah menggembirakan orang lain, meringankan bebanannya melangsaikan hutangnya atau menyelamatkannya daripada kelaparan” (Hadis riwayat Tabarani)
Baginda juga memperincikan maksud sedekah dalam konteks kebajikan dan kesukarelawanan: “Sedekah itu wajib atas setiap orang Islam.” Seorang sahabat bertanya: “Jika tiada apa hendak diberi?” Baginda menjawab: “Hendaklah dia bekerja dan apabila mendapat duit, sedekahkanlah sebahagiannya.”
Sahabat itu bertanya lagi: “Jika tidak boleh bekerja?” Jawab Baginda: “Tolonglah orang miskin dalam kesusahan.” Sahabat bertanya lagi: “Kalau ini juga tidak dapat dilakukan?” Baginda menjawab: “Beri nasihat untuk berbuat baik.”
Sahabat itu bertanya lagi: “Jika itupun tidak dapat dilakukan?” Baginda bersabda: “Janganlah ia melukakan hati orang lain, itulah sedekahnya.” (HR Bukhari)
Hadis itu menjelaskan sedekah atau amalan kebajikan dan kesukarelawanan tidak terhad kepada memberi wang, sebaliknya membantu orang dalam kesusahan, memberi nasihat untuk kebaikan dan tidak melukakan hati orang lain.
Selain itu, ketiadaan wang bukanlah alasan tidak bersedekah. Malah, Nabi SAW menuntut agar berusaha mencari kerja agar sebahagian hasilnya dapat didermakan. Malah, terdapat dalam hadis lain Nabi SAW menyatakan senyum itu juga sedekah.
Islam amat menggalakkan seluruh umatnya berusaha saling menjaga kebajikan ahli masyarakat merangkumi seluruh aspek kehidupan seperti dijelaskan dalam al-Quran dan hadis.
Pertama, saling memberi khidmat dalam memenuhi keperluan fizikal. Allah SWT merakamkan contoh terbaik melalui kisah orang Ansar memberi khidmat menyediakan tempat kediaman kepada Muhajirin.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya, orang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda serta jiwa mereka pada jalan Allah dan orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman serta pertolongan (kepada orang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu sama lain… dan jika mereka meminta pertolongan dari kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya.” (Al-Anfal: 72)
Kedua, saling menolong dalam memenuhi keperluan material dan kewangan termasuk bantuan kewangan dan material dalam memenuhi keperluan harian seperti makan, minum serta pakaian kepada golongan memerlukan.
Allah SWT berfirman: “Maka (bagi menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing, pemberian yang demikian adalah baik bagi orang bertujuan memperoleh keredaan Allah dan mereka itulah orang berjaya” (Ar-Rum: 38)
Ketiga, saling membantu memenuhi keperluan spiritual. Keperluan spiritual adalah membantu ahli masyarakat untuk memiliki ilmu keagamaan dan kerohanian serta mengamalkannya. Termasuk dalam konsep kebajikan, adalah menyampaikan ilmu keagamaan serta amar makruf nahi mungkar.
Firman Allah SWT: “Dan orang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan.” (Al-Taubah: 71)
Begitulah anjuran dan galakan Islam dalam melakukan amalan kebajikan dan kesukarelawanan untuk membantu sesama insan.
Terdapat tiga ruang terbuka luas masyarakat Islam untuk saling melakukan kebajikan dan membantu orang lain sama ada memberi bantuan kewangan atau material, khidmat bakti kepada golongan memerlukan dan bantuan spiritual dengan memberi bimbingan agama serta mengajak kepada kebaikan dan menegah kejahatan.