![](https://www.islamituindah.us/wp-content/uploads/2022/02/solat-tahajud.jpeg)
Ahmad dalam al-Zuhd dan Ibn Abi ad-Dunya menuturkan bahawa Ibn Mas’ud pernah mengatakan, “Tidaklah seorang mukmin memiliki waktu istirehat selain pada saat pertemuannya dengan Allah.”
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ سَبْعًا هَلْ تَنْتَظِرُونَ إِلَّا فَقْرًا مُنْسِيًا أَوْ غِنًى مُطْغِيًا أَوْ مَرَضًا مُفْسِدًا أَوْ هَرَمًا مُفَنِّدًا أَوْ مَوْتًا مُجْهِزًا أَوْ الدَّجَّالَ فَشَرُّ غَائِبٍ يُنْتَظَرُ أَوْ السَّاعَةَ فَالسَّاعَةُ أَدْهَى وَأَمَرُّ
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Segeralah melakukan amal soleh (sebelum datang) tujuh perkara. Apakah yang kamu perlu tunggu melainkan kefakiran yang akan melupakan kamu (daripada beramal), atau kekayaan yang akan menimbulkan rasa angkuh yang melampui batas, atau penyakit yang merosak (sehingga sukar untuk beramal soleh), atau masa tua yang menimbulkan kenyanyukan dan keuzuran, atau kematian yang cepat (secara tiba-tiba), atau adanya Dajjal sebagai makhluk jahat yang paling ditunggu-tunggu, atau datang hari kiamat dan hari kiamat itu lebih berat dan lebih sukar.” (HR Tirmizi, No: 2306) Status: Hadis Sahih
Kata Saidina Ali bin Abu Talib: “Demi Allah, andaikan mereka (ahli kubur) boleh berbicara, nescaya mereka berkata, ‘kami tidak melihat bekal yang lebih baik daripada taqwa”.
Perbanyakkan istighfar memohon keampunan dan tinggalkan maksiat serta seringlah mengingati kematian kerana kita tidak tahu bila saat kematian akan tiba. Sesungguhnya dengan mengingati kematian seseorang Muslim itu akan sentiasa teruja melakukan ketaatan.
![](https://www.islamituindah.us/wp-content/uploads/2022/02/solat-tahajud2.jpeg)
Justeru, jangan mensia-siakan waktu yang masih ada sebelum datang penyesalan yang tiada berguna…
Rasa seperti baru bersanding
Rupanya berjalan paut kat dinding
Dulu tubuh badan kurus cekeding
Sekarang gendut tiada tanding.
Masa berjalan begitu cepat
Nyamuk kenyang pun tangkap tak dapat
Diam tak diam cucu dah empat
Makan yang lembik seperti lepat.
Bercakap tersasul perkara biasa
Tak ingat hari Isnin ke Selasa
Gigi dah kurang makan tak rasa
Berulang hospital untuk diperiksa.
Duduk di rumah tinggal berdua
Saling memandang sebab dah tua
Anak-anak bekerja jarang bersua
Rumah pun sunyi seperti gua.
Berjalan pun susah urat dah tegang
Tangan pun kebas susah nak pegang
Terkasar gerak tangkap di pinggang
Terkejut kucing pun tonggang-langgang.
Apa nak buat dah hukum alam
Bagaikan muda baru semalam
Pandangan mata pun asyik kelam
Buatlah ibadat siang dan malam.
Semoga pesanan di atas memberikan kita kesedaran untuk segera beramal soleh tanpa henti hanya kerana Allah SWT
![Kambing Aqiqah Murah Indonesia](https://i.imgur.com/mIXcSv5.gif)