
Serai bukanlah bahan asing dalam masakan orang-orang Asia. Ia banyak digunakan sebagai penaik aroma dan rasa kepada resepi makanan.
Tetapi, tahukah anda bahawa teh serai juga mampu memberikan kebaikan pada tubuh kita?
Kebaikan serai untuk tubuh manusia
1. Serai juga mempunyai kandungan antioksidan
Antioksidan adalah sejenis bahan yang menghalang pengoksidaan daripada berlaku. Antioksidan boleh terdiri daripada jenis vitamin C dan vitamin E.
Ia berperanan menyingkirkan bahan-bahan pengoksidaan yang boleh merosakkan sesuatu hidupan. Seperti mana sayuran atau buah-buahan lain yang kaya antioksidan, serai juga sebenarnya mempunyai bahan antioksidan yang sama.
Antioksidan dalam serai boleh membantu menghalang radikal bebas daripada merosakkan tubuh badan anda.
2. Serai mempunyai ciri antimikrob
Antimikrob bermaksud sifat atau ciri yang boleh membunuh atau merencatkan pertumbuhan mikroorganisme. Antara mikroorganisme yang boleh dihentikan perkembangannya ialah seperti bakteria jahat dan juga kulat.
Tahukah anda, minyak yang ada dalam serai boleh membantu merencatkan bakteria yang menyebabkan pereputan gigi dalam mulut anda?
Selain itu juga, kajian ada menunjukkan bahawa komponen dalam serai juga boleh membantu melawan beberapa jenis bakteria lain dan juga kulat yang tumbuh dalam tubuh anda.
3. Serai mempunyai ciri anti-keradangan
Keradangan adalah satu keadaan di mana sesuatu bahagian tubuh badan menjadi kemerahan, bengkak, panas, dan menyakitkan.
Ia biasanya berlaku disebabkan tindak balas daripada kecederaan atau jangkitan. Serai juga diketahui mempunyai ciri anti-radang yang boleh membantu mengurangkan kesan ini.
Bahan dalam serai dikatakan boleh membantu menghentikan pelepasan sesetengah agen penyebab keradangan pada tubuh.
Resepi teh serai
Serai tidak semestinya hanya dimasukkan ke dalam masakan sahaja. Malah, anda boleh mendapatkan manfaatnya dengan cara menjadikannya sebagai teh untuk diminum.
Bagi anda yang tidak tahu bagaimana untuk menyediakan teh serai, anda boleh mencuba membuatnya berdasarkan resepi ringkas ini:

Bahan-bahan:
- 4 cawan air
- 2 cawan serai yang telah diketuk
- ¼ cawan gula
Cara menyediakannya:
- Masak 4 cawan air sehingga mendidih
- Kemudian, masukkan serai yang telah diketuk dan rebusnya dengan api yang kuat selama 5 minit
- Kecilkan api, dan biarkan air rebusan serai tersebut mereneh selama 5 minit lagi
- Tapiskan air tersebut dan masukkan gula. Kacau gula hingga larut
- Hidangkan sama ada dalam keadaan suam atau di simpan di dalam peti sejuk terlebih dahulu untuk menyejukkannya
Selain daripada tiga kebaikan utama serai tersebut, terdapat beberapa lagi manfaat serai yang lain.
Bagi mereka yang kurang menggemari rasa dan aroma serai, anda boleh menambahkan beberapa bahan lain ke dalam teh serai anda untuk mengurangkan rasa serai tersebut.
Anda boleh meletakkan sedikit lemon untuk memberikan sedikit rasa lemon pada teh serai tersebut. Selain itu, anda juga boleh mengurangkan kandungan gula untuk menjadikan teh tersebut lebih sihat.
