
SUDAH lumrah manusia, walaupun ramai yang mengetahui maksud dan kelebihan bersabar, mereka sering lupa untuk mengamalkannya.
Masakan tidak, apabila diberikan dugaan, rata-ratanya akan mengeluh malah marah-marah lantaran tidak tahan diuji. Namun ketahuilah, setiap kesukaran hidup yang ALLAH berikan adalah seiring dengan kemampuan mereka untuk menghadapinya.
Bahkan, al-Quran menjelaskan pelbagai kebaikan dapat diraih di dunia dan di akhirat oleh insan yang sabar tidak kira sama ada mereka miskin atau kaya.
Ganjaran kepada orang beriman yang memiliki sifat mahmudah tersebut cukup menakjubkan. Beruntunglah golongan itu apabila dijanjikan kejayaan, kebahagiaan, syurga nan indah dan terhindar daripada seksa api neraka.
Firman ALLAH dalam Surah al-Baqarah, ayat 153: “Sesungguhnya ALLAH bersama orang-orang yang sabar.”
Begitulah sayangnya YANG MAHA KUASA sehinggakan orang yang sabar dijamin tidak akan rugi.
Apakah kemanisan-kemanisan lain jika seseorang menghiasi diri dengan sifat sabar?
Mengupas lanjut mengenai sifat mahmudah itu, memetik kata-kata Imam al-Ghazali yang menyebut bahawa manusia memiliki nafsu, akal dan hati.
tiga elemen itu sebenarnya tidak boleh dilihat dengan mata kasar, tetapi ia ada dalam diri kita. Hati itu ibarat raja di dalam diri, akal pula penasihat kepada hati (raja), manakala nafsu bersifat tidak baik yang akan mendorong kepada kejahatan.
“Nafsu itulah yang selalu menasihati raja (hati) supaya membuat kerja lain. Oleh sebab itu, dalam menangani nafsu iaitu musuh dalam diri, perlunya ada sifat sabar. Lawan sifat sabar adalah marah. Manusia susah untuk mengawal kemarahan. Sebab itu sifat sabar begitu penting,”

Sabar ada pelbagai jenis. Ia bukan sahaja sabar ketika menghadapi ujian, tetapi juga mengawal kemarahan dan berdepan dengan situasi yang boleh menyebabkan kita melampiaskan amarah.
Pendek kata, tambah beliau, sifat itu perlu ada pada setiap tempat. Ia termasuklah ketika kita menunaikan ibadah seperti solat.
“Apabila kita solat dengan sifat sabar, ibadah yang ditunaikan pun dalam keadaan tenang dan tidak kelam-kabut. Begitu juga sewaktu berdoa dan apabila berhadapan dengan (berita) kematian,”.
Dalam pada itu, kami ingin turut mengingatkan bahawa selain sifat mahmudah itu, sabar juga sebenarnya merupakan antara salah seorang nama anak iblis.
“Sabar anak iblis itu bukan seperti sifat sabar, tetapi dialah sebenarnya yang memainkan peranan untuk menjadikan anak cucu Nabi Adam AS supaya tidak bersabar. Sabar anak iblis itu musuh kita,”
