
Apakah khasiat ubi jaga? Artikel ini akan membincangkan khasiat ubi jaga, kandungan nutrisi dan kompaun sihat yang ada di dalamnya
Pengenalan
Smilax myosotiflora atau lebih dikenali dengan nama Ubi Jaga, merupakan sejenis herba dari keluarga Smilacaceae yang kini semakin dikenali dan telah ditanam secara komersial. Pada asalnya, Ubi Jaga ini hanyalah tumbuhan liar yang hidup didalam hutan belukar dan kurang mendapat perhatian orang ramai kecuali golongan yang berminat untuk menggunakannya bagi tujuan perubatan dan makanan kesihatan.
Namun demikian, sejak beberapa tahun ini, Ubi Jaga telah menjadi sumber pertanian di Malaysia, Thailand dan Indonesia. Kini, lebih 200 spesis tumbuhan asli Ubi Jaga telah ditemui di ketiga-tiga negara tersebut.
Ubi Jaga merupakan tumbuhan yang memanjat dimana batangnya halus dan kulitnya yang licin. Daun pokok Ubi Jaga yang nipis, pangkal daun yang melebar berukuran 10 hingga 15 cm panjang serta permukaan daun yang berwarna hijau dengan sedikit berkilat menjadikan tumbuhan ini mudah dikenali. Menariknya tentang pokok Ubi Jaga ini, ianya mengeluarkan bunga sebanyak satu hingga dua kuntum dan ianya keluar daripada celahan daun dengan panjang tangkainya sekitar 5cm panjang.
Selalunya, 20 kuntum bunga pokok Ubi Jaga ini akan menjadi satu jambak bunga yang berbentuk bebola yang selalunya berwarna putih atau hijau pucat. Tumbuhan ini turut menghasilkan buah yang berwarna hijau semasa muda dan bertukar menjadi merah pekat apabila masak. Oleh kerana Ubi Jaga telah mendapat perhatian orang ramai, artikel kali ini akan menceritakan tentang khasiat dan kandungan nutrisi ubi jaga.
Kandungan Berkhasiat dalam Ubi Jaga
Menurut kajian yang melibatkan ekstrak Ubi Jaga, tumbuhan herba ini mengandungi fitonutrien seperti stigmasterol, sitosterol, campesterol, saponin, alkaloid, flavonoid, tanin dan kumarin. Fitonutrien adalah sebatian semulajadi yang ditemui dalam makanan berasaskan tumbuhan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, produk gandum penuh dan kekacang.
Fitonutrien yang juga dikenali sebagai fitokimia menghasilkan kesan antioksidan dan anti keradangan. Antioksidan adalah bahan yang menghalang atau melambatkan kerosakan sel disebabkan oleh radikal bebas dan molekul yang tidak stabil, yang dihasilkan oleh badan sebagai tindak balas kepada persekitaran dan tekanan yang lain. Antioksidan membantu dalam meneutralkan radikal bebas dalam badan dan meningkatkan tahap kesihatan badan.
Selain itu, fitonutrien juga bertindak sebagai anti keradangan. Keradangan merupakan tindak balas badan dalam melawan jangkitan, toksin, kecederaan dan perkara yang berpotensi dalam membahayakan tubuh badan. Apabila sesuai merosakkan sel, badan akan merembeskan bahan kimia yang merangsang tindak balas daripada sistem imunisasi.
Tindak balas ini akan melepaskan antibodi dan protein serta meningkatkan saluran darah kepada kawasan yang tercedera. Namun demikian, keradangan yang kronik akan memberikan impak negatif kepada tisu dan organ. Sebagai contoh, boleh menyebabkan penyakit kanser, strok dan sakit jantung. Fitonutrien membantu mengurangkan keradangan dengan menghalang penghasilan prostaglandin, menghalang enzim dan meningkatkan penghasilan sitokin.
10 Khasiat Ubi Jaga Pada Kesihatan
1. Menjaga Kesihatan Mata
Seperti yang telah diketahui umum, vitamin A memainkan peranan penting dala menjaga kesihatan mata. Ubi Jaga mengandungi iaitu beta-karotin yang akan ditukarkan kepada vitamin A, sebatian antioksidan yang berperanan dalam kesihatan mata, pertumbuhan tulang dan kesihatan sistem imunisasi.
Vitamin A turut membantu dalam menghalang bakteria dan virus daripada menjangkiti melalui permukaan mata, membran mukus dan kulit. Vitamin A membantu dalam merawat mata kering. Satu kajian menunjukkan bahawa ubat titik mata yang mengandungi vitamin A sangat efektif dalam merawat sindrom mata kering tanpa perlu penggunaan ubat titik mata yang khusus untuk merawat mata kering.
Selain itu, vitamin A mengurangkan risiko kehilangan daya penghilatan disebabkan oleh degenerasi makular.
2. Menurunkan Berat Badan
Ubi Jaga yang merupakan sumber tumbuhan herba membantu dalam menurunkan berat badan. Ini kerana Ubi Jaga mengandungi jumlah kalori yang rendah. 1g Ubi Jaga memberikan jumlah kalori sebanyak 0.86 kCal sahaja. Jika dibandingkan dengan jenis ubi yang lain seperti ubi kentang, ubi keledek dan sebagainya, kandungan kalori dalam Ubi Jaga adalah yang paling rendah. Jadi, tidak peliklah apabila Ubi Jaga menjadi pilihan golongan yang berdiet.
3. Meningkatkan Sistem Imunisasi
Selain daripada menjaga kesihatan mata, Ubi Jaga yang mengandungi vitamin C membantu dalam meningkatkan sistem imunisasi. Vitamin C adalah antioksidan yang berperanan sebagai pertahanan imunisasi dengan melawan radikal bebas dalam badan.
Vitamin C mengurangkan risiko seperti kanser, sakit jantung dan strok dengan melawan patogen dan melindungi daripada tekanan oksidatif daripada persekitaran. Vitamin C akan berkumpul pada sel darah putih, sel yang berperanan untuk melawan mikroorganisma. Vitamin C juga menggalakkan proses apoptosis iaitu membunuh sel yang berbahaya apabila jangkitan berlaku dalam badan ataupun membunuh sel kanser daripada membahagi.
4. Mengurangkan Paras Kolesterol
Antioksidan dalam Ubi Jaga membantu dalam menghalang molekul kolesterol dalam darah daripada bertukar menjadi bahan yang akan membentuk plak dalam didning ateri dan menghalang pengaliran darah. Selain itu, antioksidan membantu dalam mengurangkan paras kolesterol jahat (LDL-kolesterol) dalam badan.
Menurut kajian, terapi antiokisdan menunjukkan perubahan positif yang lebih ketara dalam kalangan pesakit yang tinggi kolesterol.
5. Mencegah Tekanan Darah Tinggi
Hipertensi atau tekanan darah tinggi adalah penyakit yang boleh membawa kepada komplikasi dan juga kematian jika tidak dirawat. Menurut Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi II, sebanyak 24% kematian di Malaysia disebabkan oleh tekanan darah tinggi.
Salah satu langkah untuk mengurangkan risiko tekanan darah tinggi dengan mengamalkan pemakanan yang rendah natrium dan tinggi kalium. Ini kerana natrium yang tinggi akan menyebabkan tekanan darah tinggi. Namun demikian, kalium bertindak bertentangan dengan natrium.
Kalium akan merembeskan natrium daripada badan melalui air kencing. Kalium turut membantu untuk mengurangkan tekanan pada dinding saluran darah yang membantu untuk menurunkan tekanan darah. Ubi Jaga adalah salah satu contoh makanan yang tinggi kalium dan rendah natrium yang baik dalam mencegah tekanan darah tinggi.

6. Menjaga Kesihatan Jantung
Pengambilan Ubi Jaga mebantu dalam meningkatkan kesihatan jantung. Ini kerana Ubi Jaga membantu dalam mengawal tekanan darah. Kajian menunjukkan Ubi Jaga mampu mengurangkan tekanan darah sistolik sebanyak 10 mata. Selain itu, Ubi Jaga yang tinggi dengan kalium akan mengurangkan paras kolesterol dalam badan.
Ubi Jaga membantu dalam mengurangkan paras kolesterol jahat (kolesterol-LDL). Ini akan mengurangkan risiko terjadinya sakit jantung. Seterusnya, kalium dalam Ubi Jaga membolehkan jantung untuk berdegup pada ritma yang sekata.
7. Membantu Sistem Pencernaan
Ubi Jaga merupakan sumber serat yang baik yang memberikan rasa kenyang yang lebih lama. Ubi Jaga akan menghalang daripada pengambilan makanan secara berlebihan dan secara tidak langsung, membantu dalam mengurangkan berat badan.
Serat dalam Ubi Jaga dipanggil sebagai kanji penahan dimana ianya memberikan khasiat sama seperti serat larut dan serat tidak larut. Kanji penahan bermaksud, serat ini menghasilkan gas yang lebih sedikit daripada serat yang lain. Ini akan mengelakkan daripada kembong perut.
Sama seperti serat larut, kanji penahan dalam Ubi Jaga bertindak sebagai prebiotik, makanan untuk bakteria baik dalam usus besar. Ubi Jaga juga menghalang dan merawat masalah sembelit dan sindrom iritasi usus, peranan yang dimainkan oleh serat tidak larut.
8. Meningkatkan Fungsi Otak
Kajian menunjukkan bahawa fungsi otak akan berkurangan dengan peningkatan usia. Penuaan akan memberi kesan kepada molekul, sel, vaskulatur, morfologi kasar dan kognisi. Peningkatan umur menyebabkan otak kita mengecut iaitu secara spesifiknya, pada bahagian korteks hadapan.
Ini menyebabkan tekanan darah meningkat, meningkatkan risiko stok dan pembentuk jirim putih. Pengambilan makanan yang tinggi dengan anthocyanin akan meingkatkan fungsi otak dengan merangsang kebolehan belajar, memori dan kemahiran motor.
Ubi Jaga mengandungi anthocyanin dan para pengkaji menyatakan bahawa pengambilan Ubi Jaga secara konsisten (dua hingga tiga kali seminggu) akan meningkatkan fungsi otak dan mengurangkan risiko penyakit dementia ataupun dipanggil sebagai nyanyuk.
9. Mencegah Penyakit Kanser
Berdasarkan kajian, antioksidan berpotensi dalam mencegah penyakit kanser. Radikal bebas yang tidak stabil akan menyebabkan kerosakan pada DNA sel dalam badan. Ini menyebabkan pembentukan kanser. Badan kita menghasilkan radikal bebas apabila kita bernafas atau melakukan aktiviti fizikal.
Badan kita akan terdedah kepada persekitaran yang bertoksik seperti asap rokok, pencemaran udara dan sinaran ultra unggu matahari. Radikal bebas akan bergerak bebas dalam badan dan menyebabkan keradangan yang kronik.
Antioksidan bertindak dengan mengenal pasti radikal bebas dan meneutralkan kesan yang berbahaya. Ini akan membantu mengekalkan kesihatan sel badan dan mengurangkan risiko terjadinya kanser. Antioksidan ini dapat diperoleh melalui pemakanan seperti Ubi Jaga.
10. Membantu Masalah Ketidaksuburan
Ubi Jaga juga berperanan dalam membantu para pesakit yang mengalami ketidaksuburan terutamanya dalam golongan lelaki. Ini kerana Ubi Jaga membantu dalam memanjangkan dan melebarkan zakar iaitu seperti dalam kajian, sebanyak 13 cm.
Ubi Jaga juga mengandungi bahan semulajadi yang meningkatkan pengaliran darah. Selain itu, Ubi Jaga mengandungi bahan metabolit yang penting untuk membersihkan saluran vein yang penuh dengan toksin. Ini akan membolehkan vein membekalkan darah kepada zakar dan membantu zakar untuk menghasilkan lebih banyak sperma yang berkualiti.
Kesimpulan
Sebagai penutup, Ubi Jaga merupakan tumbuhan herba dimana setiap komponen tumbuhan ini boleh dijadikan sebagai bahan dalam perubatan yang memberikan pelbagai khasiat kepada tubuh badan. Sebagai contoh, merawat penyakit mandul, meredakan demam, melegakan batuk, merawat penyakit kulit dan banyak lagi.
Akan tetapi, sebelum mengamalkan pengambilan Ubi Jaga dalam kehidupan seharian sebagai asbab untuk merawat dan menghalang penyakit, amat disarankan bagi para pembaca untuk merujuk doktor terlebih dahulu. Ini kerana walaupun Ubi Jaga memberikan kebaikan kepada tubuh badan, seandainya pengambilan itu melebihi dos yang dibenarkan, ianya mungkin akan menghasilkan kesan sampingan.
