Kesan pandemik yang melanda dunia ditambah dengan pelbagai masalah tekanan jiwa telah menyebabkan emosi sebahagian individu dalam masyarakat menjadi tidak terkawal. Akhirnya ia diluahkan dalam bentuk tindakan-tindakan yang memudaratkan sama ada terhadap dirinya sendiri atau yang lebih buruk terhadap orang lain. Pelbagai aksi hasil kemarahan melampau ditularkan untuk tatapan umum terutama melalui media sosial.
Sememangnya sifat marah merupakan penyebab rosaknya bangsa. Manifestasi kemarahan juga diluahkan secara berbeza dalam sejarah kemanusiaan. Sekiranya dahulu kemarahan diluahkan secara zahir dan dan berdepan. Kemarahan sebuah kabilah kepada kabilah yang lain dizahirkan dengan dengan konflik dan peperangan. Kemarahan seorang pahlawan terzahir dengan hunusan keris dan pedang di tangan sementara kemarahan seorang rakyat akan berakhir dengan amukan di jalan.
Kini, sifat marah lebih banyak terluah di alam maya. Peperangannya berupa kata-kata kecaman, tuduhan dan serangan siber sementara kematiannya adalah dalam bentuk kematian personaliti yang dibunuh watak dan peribadinya melalui fitnah dan tuduhan (character assasination). Pahlawannya hanya layak digelar pendekar kekunci (keyboard warrior) walaupun sering berselindung di sebalik topeng maya yang digunakan ketika menyerang musuh.
Namun kemarahan melalui ruang maya ini tetap parah akibatnya. Sebuah pemerintahan negara mampu jatuh dengan serangan bentuk ini. Ia juga mampu mengubah pandangan alam seseorang sehingga mampu bertukar menjadi ganas. Pembunuh rambang di masjid Christchurch satu ketika dahulu adalah hasil keganasan yang disemai melalui ruang maya.
Di sebalik semua akibat buruk yang berlaku dari sifat marah manusia, hakikatnya, sifat marah bukanlah semuanya memudaratkan. Ia merupakan kekuatan yang dijadikan Tuhan dalam diri manusia dengan peranan tertentu. Malah ada ketikanya manusia memang perlu menzahirkan sifat marah.
Contohnya apabila maruah diri seseorang dihina, agamanya dicela, kehormatan keluarganya dipermainkan, ia wajib menzahirkan sifat marahnya dan melakukan sesuatu yang wajar terhadap pihak-pihak tersebut. Dalam jihad mempertahankan agama, sifat marah penting untuk dijelmakan bagi membakar semangat dalam menghadapi musuh yang ditentang.
Justeru sifat marah bukan perlu dibuang akan tetapi perlu dikawal malah diletakkan ditempatnya yang betul dan dizahirkan pada masa dan tempatnya yang sesuai. Ini selari dengan sabdaan nabi “Tidaklah orang yang kuat itu yang hebat bergusti akan tetapi orang yang kuat itu ialah mereka yang mampu mengawal dirinya ketika marah” (dari Abu Hurairah riwayat Bukari dan Muslim)
Malah berdasarkan perbahasan ilmuwan Islam, sifat marah sekiranya diletakkan ditempatnya yang sebenar dan dizahirkan pada ketika dan saatnya yang betul akan menghasilkan sifat terpuji iaitu keberanian, yang merupakan salah satu dari induk-induk sifat keutamaan (cardinal virtues) dalam Islam. Keberanian merupakan sifat pertengahan antara dua sifat ekstrem yang tercela iaitu sifat buas dan sifat pengecut. Sifat buas akan timbul sekiranya kemarahan tidak dikawal sementara sifat pengecut timbul apabila kemarahan tidak langsung dizahirkan dalam diri seseorang.
Kegagalan untuk memahami aspek ini akan menyebabkan kadangkala berlaku kekeliruan mengenai sifat-sifat ini dalam kalangan masyarakat. Contohnya keganasan kadangkala dianggap sebagai salah satu cerminan keberanian sementara sifat pengecut dianggap sebagai salah satu bentuk kesabaran.
Contohnya, seorang pengganas yang meletupkan dirinya di tengah-tengah kumpulan orang ramai dan membunuh ramai orang-orang yang tidak berdosa kadangkala digelar sebagai ‘pembunuh berani mati’ sedangkan tindakan tersebut tidak termasuk dalam makna keberanian.
Begitu juga apabila seorang ayah yang takut menegur anak dan isterinya yang melakukan perkara keji tidak boleh dikatakan seorang yang penyabar kerana dia gagal untuk menzahirkan sifat kemarahan pada ketika ia diperlukan.
Ternyata, apa yang penting ialah sifat marah harus diseimbangkan dengan hikmah. Akal harus berperanan memandu dan mengawal sifat marah dan membuat keputusan yang tepat bila sifat marah perlu dizahirkan dan bila ia harus ditahan.
Dalam sejarah Islam, Saidina Umar al-Khattab merupakan contoh terbaik insan yang telah menunjukkan sifat keberanian yang sebenar. Sebelum memeluk Islam, Saidina Umar mungkin boleh dikategorikan sebagai buas kerana kecenderungannya untuk bertindak ganas termasuk cubaan untuk membunuh Nabi Muhammad SAW. Namun selepas mendapat hidayah Islam beliau merupakan tokoh yang mempunyai sifat keberanian sejati dengan menzahirkan sifat marah pada saat ia perlukan seperti di dalam jihad dan usaha mempertahankan agama Islam.
Ternyata untuk mencapai tahap sifat terpuji seperti keberanian bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Kata kunci bagi mencapai tahap nilai murni ini ialah keseimbangan. Secara lebih khusus, ia merujuk kepada keseimbangan fakulti kejiwaan yang ada pada manusia khususnya akal, sifat marah dan shahwat. Keseimbangan akan hanya berlaku sekiranya ketiga-tiga fakulti ini digunakan dengan adil dan betul sehingga menghasilkan sifat-sifat terpuji.
Imam Fakhr al-Din al-Razi, tokoh ilmuwan Islam abad ke 12, memberikan permisalan diri manusia seperti sebuah pemerintahan seorang Raja. Sifat marah yang dalam diri manusia diibaratkan seperti seorang Ketua Polis yang bertugas di bawah Raja tersebut. Di samping Ketua Polis, Raja juga mempunyai seorang penasihat (Akal) yang sering memberikan nasihat mengenai pentadbirannya. Maka, sekiranya Ketua Polis tersebut menjalankan tugasnya dengan baik, taat kepada Raja dan menuruti pandangan dari Penasihat serta tidak menyalahgunakan kuasanya, maka pentadbiran kerajaannya akan menjadi adil dan sejahtera. Sebaliknya sekiranya beliau melampaui batas kuasanya, ia akan hanya membawa pemerintahan tersebut ke ambang kehancuran.