≡ Menu

Surah Ar-Rahman Mengajarkan Kita Agar Sentiasa Berada Dalam Kesyukuran. Subhanallah

Dalam Surah ar-Rahman, sebanyak 31 kali diulang ayat yang bermaksud ‘Maka yang mana satu di antara nikmat Tuhan kamu yang kamu hendak dustakan?’

Keseluruhan ayat di dalam Surah rr-Rahman sebanyak 78 ayat dan daripada jumlah itu, 31 ayat berulang kali membawa maksud nikmat Tuhan yang kita semua dustakan atau boleh kita katakan sebagai nikmat Tuhan yang kita sendiri lupakan.

Surah ini jika ditekuni, banyak memberi makna dan pengajaran kepada manusia. Apa kata kita berhenti seketika dalam perjalanan dunia ini dan melihat ke belakang apakah sudah lunas tanggungjawab kita sepanjang umur serta nafas ini diberikan.

Jika seseorang itu berusia 30 tahun pada hari ini adakah cukup masa dan tanggungjawabnya ditunai kepada Pencipta Yang Maha Kuasa atau sebenarnya kita masih terlalai dengan permainan dunia.

Ini peringatan kepada penulis dan pembaca tentang begitu besarnya nikmat yang Allah SWT kurniakan namun hanya sedikit syukur dan ketaatan yang kita zahirkan.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Hujung minggu lalu, ketika penulis dalam perjalanan ke pejabat, penulis melihat ada bapa menunggang motosikal roda tiga.

Di dalam pengangkut atau carrier berkenaan, si isteri duduk bersila di samping anak kecil sekitar umur tiga hingga lima tahun bertopi keledar.

Biarpun hujung minggu, keadaan trafik di ibu kota sangat memberi ujian kepada kesabaran dan penulis dapat melihat tiga beranak berkenaan ada kala ketawa dan si ibu mengusap-usap kepala anaknya.

Tampak mereka bahagia biarpun hanya menaiki motosikal roda tiga sedangkan kita, berkereta dengan bumbung dan pendingin hawa ditemani suara di corong radio, sesekali melihat telefon pintar disimpan di tepi.

Setiap kali semua nikmat itu diberi kepada kita, malah kita sering kali mengeluh kenapa itu dan kenapa ini, mengapa itu dan mengapa ini.

BACA:  Nauzubillah, Bala Yang Tidak Kita Sedari Membelenggu Diri Kita.

Tatkala itu, terngiang-ngiang di telinga penulis tentang potongan ayat daripada Surah ar-Rahman yang bermaksud: “Maka yang mana satu di antara nikmat Tuhan kamu yang kamu hendak dustakan?”

Begitulah sebahagian kita semua, tatkala mencurah-curah nikmat Allah SWT kepada kita, kealpaan itu tetap ada, usahkan menzahirkan ucapan syukur malah mengadu bermacam-macam tidak cukup sedangkan lebih ramai lagi insan hidup serba kekurangan.

Penulis ingin membawa sedikit potongan ceramah daripada yang dimuliakan, Al-Fadhil Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayob yang ketika itu memperihalkan tentang keadaan neraka.

Ustaz Wadi dalam ceramahnya itu menyatakan daripada sabda Nabi SAW, Allah SWT mengambil seorang yang dulunya dia hidup masyhur di atas dunia, penuh dengan kemewahan dan kekayaan, Allah SWT mencelupkan individu itu sesaat di dalam neraka.

“Apabila Allah bertanya kepada individu berkenaan, maka dia berkata, dia tidak pernah hidup selesa atau kaya di atas dunia akibat dicelup di dalam neraka walaupun sesaat lupa tentang segala nikmat yang pernah manusia itu kecapi di atas dunia dahulu,” katanya.

Azab yang terlalu dahsyat di neraka itu membuatkan manusia berkenaan lupa tentang segala nikmat yang dia kecapi di dunia.

Melanjutkan lagi ceramahnya, Ustaz Wadi berkata, Allah SWT mengambil seorang yang hidup penuh dengan sengsara di dunia, Allah SWT mencelupkan di dalam syurga selama sesaat dan apabila ditanya, manusia itu lupa tentang segala penderitaannya di dunia kerana terlalu bahagia melihat nikmat di dalam syurga.

Firman Allah SWT dalam Surah ar-Rahman bermaksud: “Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri daripada kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)! (Surah Ar-Rahman, ayat 33)

Dalam surah ini menceritakan tentang golongan yang rugi serta mendapat pembalasan daripada Allah SWT dan dimasukkan ke neraka atas kealpaan, kelalaian dan ketamakan.

Dalam surah sama, Allah SWT berfirman: “Kamu (wahai golongan yang kufur ingkar daripada kalangan jin dan manusia) akan ditimpakan dengan api yang menjulang-julang dan leburan tembaga cair (yang membakar); dengan yang demikian,
kamu tidak akan dapat mempertahankan diri (daripada azab seksa itu).” (Surah ar-Rahman, ayat 35)

Jelaslah, setiap apa kita kerjakan di dunia ini pasti mendapat pembalasan, tidak ada yang menyelamatkan selain daripada keredaan Allah SWT.

Harta, kekayaan, pangkat dan gelaran sekali pun tidak dapat membantu tatkala kita semua berdepan timbangan amal di mahsyar kelak, segala apa kita kerjakan akan dinilai biarkan sebesar zarah sekali pun.

Apakah kita bersedia menjadi penghuni neraka, nauzubillah, semoga kita dijauhkan daripada azab sengsara neraka.

Kedahsyatan seksaan neraka tidak tercapai oleh akal kita, jika kita tekuni kembali penerangan daripada Ustaz Wadi berkenaan maka dapat kita jelaskan segala kenikmatan serta kemasyhuran pernah kita kecapi akan dilupakan hanya dengan melihat kehidupan neraka walau sesaat.

Adakah kita mahu merugikan kehidupan kita yang pendek ini di dunia dengan perbuatan atau pekerjaan sia-sia sedangkan alam abadi iaitu akhirat menanti kita.

Kita semua hanya ada dua pilihan saja di alam akhirat iaitu berhijrah ke negara paling nikmat iaitu syurga atau pergi ke negara paling azab seksa iaitu neraka, semoga kita dijauhkan daripada azab sengsara neraka, insya-Allah.

Menginsafi perkara berkenaan, seharusnya pada setiap masa kita mensyukuri nikmat diberi tanpa berkeluh kesah, tanpa memikirkan perkara yang sifatnya hanya sementara.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.