≡ Menu

Surah Luqman Wajar Dijadikan Pedoman Buat Ibu Dan Bapa. Al-Quran Dah Ajar!

ANAK-ANAK adalah kurniaan dan anugerah Allah SWT yang amat bermakna dalam sesebuah keluarga. Kelahirannya adalah suatu amanah yang akan dipertanggungjawabkan bagi semua yang bergelar ibu dan bapa. Justeru, dalam masyarakat bukan hanya wujud istilah anak derhaka yang tidak patuh dan taat kepada kedua-dua orang tuanya bahkan wujud juga situasi ibu bapa yang gagal melaksanakan tanggungjawab mendidik dan membesarkan anak-anak dengan sempurna menurut panduan syariat.

Daripada sudut pandangan Islam, anak-anak bukan sahaja anugerah dan amanah daripada Allah SWT kepada pasangan suami isteri, tetapi juga menjadi saham akhirat yang berterusan kepada ibu bapa sekiranya dididik dengan ajaran al-Quran dan Sunah. Sabda Nabi Muhammad SAW di dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya.” (Hadis riwayat Muslim)

Oleh kerana anak-anak adalah anugerah yang amat bernilai daripada Allah SWT, maka mereka perlu dibelai, disayangi dan dihargai dengan sebaik-baiknya. Ibu bapa yang sentiasa berusaha untuk mendidik anak-anak dengan sebaik-baiknya sehingga menjadi anak yang soleh, taat kepada perintah Allah SWT dan berbakti kepada ibu bapa dijanjikan jaminan rezeki daripada Allah SWT. Sebaliknya jika ibu bapa lalai dan alpa dalam mendidik anak-anak, ia boleh mendatangkan musibah kepada ibu bapa itu sendiri.

Di dalam hal ini, amat wajar untuk kita menghayati pesanan daripada Luqman al-Hakim kepada anaknya seperti yang dirakamkan Allah SWT di dalam al-Quran yang boleh dijadikan panduan bagi ibu bapa agar mendidik anak-anak dengan iman, ilmu dan akhlak.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah Luqman ayat 13 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.”

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Manakala dalam surah yang sama ayat 16-19 Allah berfirman yang bermaksud: ‘(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalas-Nya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuan-Nya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi. Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”

BACA:  Rakyat Malaysia Berpeluang Menyaksikan Fenomena Gerhana "Super Flower Blood Moon"

Asas tarbiyah dan pendidikan kepada anak-anak hakikatnya bermula daripada keluarga seperti dinyatakan oleh Abdullah Nasih ‘Ulwan bahawa ketauladanan adalah pendekatan yang berkesan dalam membentuk anak-anak secara moral, spiritual dan sosial yang bermula daripada ibu bapa dan keluarga dalam menghayati cara hidup Islam.

Justeru, bagi kedua-dua ibu bapa, peliharalah amanah Allah SWT ini dengan memberikan pendidikan dan perlindungan yang sempurna. Jangan pula diperlakukan kepada anak-anak dengan tindakan yang tidak baik walau apapun masalah dan ujian hidup yang melanda. Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah al-An’am ayat 151 yang bermaksud: “Katakanlah: ‘Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka dan janganlah kamu hampiri kejahatan- kejahatan (zina) – yang terang daripadanya dan yang tersembunyi dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.'”

Isu penderaan dan pengabaian anak-anak seringkali dilaporkan berlaku dalam masyarakat semenjak dahulu hingga kini. Dalam situasi hidup yang semakin mencabar terutama di dalam tempoh pandemik wabak Covid-19 yang melanda dunia semenjak setahun yang lalu, ia menuntut lebih banyak kesabaran ibu bapa dalam mendidik anak-anak terutama dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebahagian ibu bapa mengalami situasi kehilangan pekerjaan namun masih perlu berikhtiar membesarkan anak-anak. Anak-anak pula lebih banyak menghabiskan masa di rumah dan sebahagiannya terpaksa mengikuti sesi pembelajaran di rumah secara dalam talian. Ibu bapa juga sebahagiannya mempunyai lebih masa bersama anak-anak kerana bekerja dari rumah. Kesempatan masa bersama yang lebih kerap di antara ibu bapa dan anak-anak ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan namun jika gagal diurus dengan baik akan mengakibatkan tekanan dan keresahan melayan pelbagai karenah anak-anak. Keadaan tersebut boleh mendorong kepada pelbagai tindakan di luar kewarasan serta mengakibatkan kesan tidak baik kepada mental dan fizikal sama ada ibu bapa mahupun anak-anak.

BACA:  Jika Masih Single, Ini Tip Mudah Hadapi Ramadan

Allah SWT menjanjikan ganjaran bagi ibu bapa yang bersabar dalam mendidik anak-anak. Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Zumar ayat 10 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad, akan firman-Ku ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): “Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat) dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.”

Allah SWT juga memuji ibu bapa yang mendidik anak-anak sebagaimana Allah memuji Nabi Ismail kerana usaha baginda dalam mendidik anak menjadi anak yang soleh. Firman Allah SWT dalam surah Maryam ayat 55 yang bermaksud: “Dan adalah ia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat dan ia pula adalah seorang yang diredai di sisi Tuhannya.” Di dalam sebuah hadis dinyatakan bahawa ibu bapa yang mendidik dan membesarkan anak perempuan dengan sempurna, anak tersebut akan menjadi penghalang daripada diseksa api neraka. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa diuji dengan anak perempuan, lalu dia membesarkannya dengan baik (menjaga hak-haknya), maka anak-anak tersebut akan menjadi perisai buatnya daripada api neraka.” (Hadis riwayat Ahmad)

Ajaran Islam harus dijadikan panduan dalam mendidik anak-anak agar keluarga sentiasa terpelihara. Marilah kita berdoa seperti maksud ayat al-Quran surah al-Furqan ayat 74 yang bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu) bertakwa.”

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.