
Tahukah anda apakah khasiat susu kambing kepada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan mengenai komponen-komponen penting di dalam susu kambing dan khasiatnya kepada kesihatan.
Pengenalan
Pada masa kini, pengambilan susu kambing telah menjadi popular dan seringkali dijadikan sumber protein dalam pemakanan seharian. Secara asasnya, susu kambing diperah daripada kambing betina setelah melahirkan. Ia mempunyai sedikit bau hamis dan rasa yang kurang enak berbanding susu lembu.
Namun begitu, seiring dengan peredaran zaman, susu kambing telah pun diproses dengan pelbagai cara bagi menghasilkan susu kambing yang kurang/tiada bau hamis dan mempunyai rasa yang lazat, bahkan juga mungkin mempunyai pelbagai perasa seperti coklat dan vanila.
Kandungan berkhasiat dalam susu kambing
1. Sumber protein
Antara kebaikan susu kambing adalah ia tinggi dengan protein. Berbanding dengan susu lembu, susu kambing mengandungi protein yang lebih tinggi. Protein susu yang terdapat di dalam susu kambing terdiri daripada casein dan whey protein.
Protein ini penting untuk kesihatan badan kerana ia boleh membantu dalam pembentukan otot, tulang dan tisu-tisu di dalam badan. Di samping itu, protein juga penting untuk fungsi-fungsi badan termasuklah untuk pembinaan hormon dan enzim di dalam badan.
2. Lemak
Susu kambing juga mengandungi komponen lemak yang terdiri daripada asid lemak rantaian pendek (SCFA) dan asid lemak rantaian sederhana (MCFA) seperti caproic, caprylic, capric dan lauric.
Komponen lemak rantaian pendek dan sederhana ini memainkan peranan yang penting bagi memudahkan pencernaan dan penyerapan lemak susu memandangkan enzim lipase akan lebih efektif sekiranya rantaian lemak tersebut pendek dan sederhana berbanding rantaian panjang.
Susu kambing juga mengandungi asid lemak penting (EFAs) dan asid linoleik konjugasi (CLAs) yang mempunyai manfaat kepada kesihatan seperti berfungsi sebagai antioksidan, antiradang, antihipertensif dan banyak lagi.
Ia juga mempunyai kandungan trigliserida rantaian sederhana (MCT) yang cepat diproses untuk menjadi tenaga sekaligus boleh menjadi sumber tenaga untuk melakukan aktiviti harian.
3. Karbohidrat
Susu kambing juga mengandungi komponen karbohidrat yang terdiri daripada laktosa, iaitu sejenis gula susu yang merupakan sumber karbohidrat utama di dalam susu. Kandungan laktosa di dalam susu kambing ini lebih rendah berbanding di dalam susu lembu.
Selain itu, susu kambing juga mengandungi pelbagai komponen seperti laktulosa, laktitol, asid laktobionik, galaktooligosakarida dan pelbagai oligosakarida. Komponen-komponen ini memainkan peranan sebagai prebiotik yang boleh menggalakkan pertumbuhan probiotik, iaitu bakteria baik yang memainkan peranan penting untuk kesihatan sistem pencernaan.
10 Khasiat susu kambing kepada kesihatan
Memandangkan susu kambing mempunyai beberapa komponen yang penting, ia sekaligus memberi khasiat dan manfaat kepada kesihatan. Berikut adalah beberapa khasiat susu kambing:
1. Menurunkan kolesterol
Antara kebaikan susu kambing adalah ia berpotensi untuk menurunkan paras kolesterol dalam darah bagi individu yang mempunyai masalah tinggi kolesterol.
Pelbagai kajian ke atas tikus telah menunjukkan bahawa susu kambing mempunyai kesan hypokolesterolemik yang boleh membantu menurunkan paras kolesterol dalam darah.
Hal ini kerana kandungan lemak dan protein casein yang terdapat di dalam susu kambing yang boleh menurunkan paras kolesterol dalam darah, meningkatkan HDL-kolesterol (kolesterol baik) dan meningkatkan penyingkiran kolesterol melalui najis.
2. Mencegah keradangan
Di samping itu, susu kambing juga mempunyai aktiviti antiradang seterusnya boleh membantu badan mencegah keradangan.
Kajian telah menunjukkan bahawa kandungan oligosakarida yang terdapat di dalam susu kambing boleh membantu mencegah keradangan pada usus yang boleh menyebabkan masalah seperti kehilangan berat badan akibat daripada kurang selera makan atau pun cirit birit.
Oleh itu, susu kambing boleh digunakan bagi merawat masalah radang usus (inflammatory bowel diseases).
3. Untuk menguatkan tulang
Selain itu, susu kambing juga bagus untuk menguatkan tulang. Hal ini kerana susu kambing tinggi dengan kalsium yang boleh membantu menguatkan tulang.
Susu kambing juga kaya dengan vitamin D yang boleh membantu meningkatkan penyerapan kalsium. Satu kajian ke atas tikus yang mempunyai masalah rheumatoid artritis juga telah mendapati bahawa protein yang terdapat di dalam susu kambing adalah komponen yang memberi kesan antiosteoporosis dalam masalah rheumatoid artritis.
4. Fungsi prebiotik
Prebiotik adalah bahan yang berperanan penting untuk meningkatkan jumlah probiotik atau bakteria baik di dalam usus sekaligus memberi pelbagai kebaikan kepada badan seperti membantu sistem penghadaman badan berfungsi dengan baik, meningkatkan sistem pertahanan badan dan juga membantu penyerapan mineral di dalam badan. Susu kambing adalah sumber prebiotik yang bagus kerana kandungan oligosakaridanya yang berperanan sebagai prebiotik.
Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa kandungan oligosakarida yang terdapat di dalam susu kambing adalah hampir sama dengan susu ibu, menunjukkan bahawa kandungan prebiotik yang terdapat di dalam susu kambing adalah setanding dengan kandungan prebiotik di dalam susu ibu.

5. Bagus untuk sistem penghadaman
Selain itu, susu kambing juga bagus untuk sistem penghadaman manusia. Hal ini kerana susu kambing mengandungi lemak dan protein susu yang kecil dan mudah dicerna sekaligus bagus untuk sistem penghadaman.
Kandungan prebiotik di dalam susu kambing juga memainkan peranan penting untuk kesihatan usus yang baik.
6. Meningkatkan sistem pertahanan badan
Selain itu, susu kambing juga boleh membantu untuk meningkatkan sistem pertahanan badan. Hal ini kerana susu kambing tinggi dengan kandungan selenium yang boleh meningkatkan sistem pertahanan badan sekaligus boleh mencegah penyakit.
Terdapat juga kajian yang mendapati bahawa susu kambing boleh mengaktifkan perembesan nitrik oksida daripada sel darah yang boleh memberi aktiviti antibakteria seterusnya boleh mencegah jangkitan.
7. Mencegah masalah anemia
Selain itu, susu kambing juga boleh membantu untuk mencegah masalah anemia. Hal ini kerana susu kambing boleh meningkatkan pengambilan atau penyerapan zat besi di dalam badan seterusnya mampu mencegah masalah anemia.
8. Kurang alahan atau alergi
Bagi individu yang mempunyai masalah alahan terhadap susu lembu, susu kambing boleh menjadi susu alternatif yang boleh menggantikan susu lembu.
Kebiasaannya, alahan susu lembu adalah disebabkan oleh kehadiran protein susu seperti protein αs1- casein yang yang bertindak balas dengan sistem imun yang menyebabkan tindakbalas alahan. Susu kambing adalah kurang alahan kerana ia kurang mengandungi protein tersebut berbanding dengan susu lembu yang mengandungi banyak kandungan protein αs1- casein.
Oleh itu,individu yang mempunyai alahan terhadap susu lembu boleh mengambil susu kambing bagi mendapatkan khasiat yang terdapat di dalam susu seperti kalsium tanpa mendapat gejala alahan.
9. Menyeimbangkan pH badan
Selain itu, susu kambing juga boleh membantu untuk menyeimbangkan pH badan kerana bersifat alkali dan berbeza dengan pH susu lembu yang bersifat asid.
pH susu kambing juga hampir kepada tahap susu ibu, menjadikan ia juga setanding dengan susu ibu. Susu kambing bersifat alkali kerana ia mengandungi asid amino L-glutamine yang boleh menyeimbangkan pH dalam badan.
10. Bagus untuk kesihatan anak
Akhir sekali, susu kambing juga bagus untuk diambil oleh ibu yang mengandung atau menyusukan anak. Dalam kajian yang dijalankan terhadap tikus telah mendapati bahawa pengambilan susu kambing semasa mengandung dan menyusu boleh meningkatkan mikrobiota di dalam usus anak sekaligus boleh melindungi mereka daripada masalah seperti asma dan ekzema, mengurangkan masalah anxiety dan bagus untuk tumbesaran anak.
Kesimpulan
Kesimpulannya, dapat dilihat bahawa susu kambing mempunyai pelbagai komponen yang boleh memberi khasiat kepada kesihatan. Oleh itu, adalah digalakkan untuk mengambil susu kambing dalam diet seharian bagi mendapatkan khasiatnya yang maksimum.
Namun begitu, susu kambing yang tidak diproses adalah tidak digalakkan kerana mungkin mengandungi atau tercemar dengan bakteria atau mikroorganisma yang boleh menyebabkan jangkitan terutamanya bagi golongan yang berisiko.
Oleh itu, pastikan anda tidak mengambil susu kambing mentah, segar atau yang tidak diproses dan mengambil susu kambing yang telah dipasteur atau disteril seperti ultra heat treatment (UHT). Bagi bayi pula, susu formula berasaskan susu kambing bersama nutrien tambahan, dan khas untuk bayi adalah digalakkan bagi memastikan bayi anda mendapat nutrien yang optimum untuk tumbesaran mereka.
Akhir sekali, diharapkan artikel ini boleh memberi manfaat kepada pembaca akan khasiat susu kambing.
