مَّـٰكِثِینَ فِیهِ أَبَدࣰا
“Mereka tinggal tetap dalam (balasan yang baik) itu selama-lamanya” [Surah al-Kahfi 3]
#Allah swt mengatakan bahawa orang yang beriman akan dikurniakan balasan syurga dan tinggal disana selama-lamanya.
#Ahli syurga bukannya tinggal sekejap-sekejap di dalam syurga itu. Mereka akan tinggal selama-lamanya di dalam syurga menikmati segala kemewahan yang tidak pernah terbayang dalam akal fikiran. Kenikmatan yang dikecapi ini hasil dari usaha baik yang mereka lakukan dan iman yang tidak bercampur dengan syirik kepada Allah swt.
جَنَّـٰتُ عَدۡنࣲ یَدۡخُلُونَهَا وَمَن صَلَحَ مِنۡ ءَابَاۤىِٕهِمۡ وَأَزۡوَ ٰجِهِمۡ وَذُرِّیَّـٰتِهِمۡۖ وَٱلۡمَلَـٰۤىِٕكَةُ یَدۡخُلُونَ عَلَیۡهِم مِّن كُلِّ بَابࣲ * سَلَـٰمٌ عَلَیۡكُم بِمَا صَبَرۡتُمۡۚ فَنِعۡمَ عُقۡبَى ٱلدَّارِ
“Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu. (Memberi hormat dengan berkata): “Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu” [Surah ar-Ra`d 23-24]
#Setiap hari ahli syurga dikurniakan nikmat-nikmat yang baru. Maka mereka sentiasa dalam keadaan menunggu-nunggu dan mengharap. Hal ini kerana manusia memang sukakan perkara-perkara yang baru.
#Penghuni syurga akan tertunggu-tunggu untuk melihat apakah yang mereka akan dapat. Allah akan sentiasa menambah nikmat dengan memberi benda-benda yang baru. Nikmat yang diberikan kepada ahli syurga tidak sentiasa sama, tapi sentiasa meningkat dari satu tahap ke satu tahap. Sampaikan ahli syurga tidak akan bosan sedikit pun dengan nikmat yang Allah kurniakan.
#Kerana itulah mereka akan sentiasa menunggu-nunggu dengan penuh harap. Kerana mereka tahu mesti ada nikmat yang lebih baik dari yang mereka dapat sebelum itu. Jadi, penghuni syurga tidak akan bosan sampai bila-bila. Mereka akan sentiasa gembira. Maknanya, bukan sahaja mereka akan tinggal selama-lamanya, tapi mereka akan dihiburkan dengan benda-benda yang baru. Tidakkah kita mahu nikmat ini? Maka kita perlu berusaha untuk menyempurnakan iman dan beramal dengan amal yang soleh.
وَبَشِّرِ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُمۡ جَنَّـٰتࣲ تَجۡرِی مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُۖ كُلَّمَا رُزِقُوا۟ مِنۡهَا مِن ثَمَرَةࣲ رِّزۡقࣰا قَالُوا۟ هَـٰذَا ٱلَّذِی رُزِقۡنَا مِن قَبۡلُۖ وَأُتُوا۟ بِهِۦ مُتَشَـٰبِهࣰاۖ وَلَهُمۡ فِیهَاۤ أَزۡوَ ٰجࣱ مُّطَهَّرَةࣱۖ وَهُمۡ فِیهَا خَـٰلِدُونَ
“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: “Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu”; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya” [Surah al-Baqarah 25]
Berimanlah dan taatilah segala perintah Allah swt dan jangan sesekali menderhakai Allah swt, nescaya di akhirat kelak akan dikurniakan syurga yang tertinggi, tinggal di situ selama-lamanya dan beroleh pelbagai nikmat yang diinginkan. Aamiiin