≡ Menu

Tanda Kekuasaan Allah Disebalik Penciptaan Manusia. Subhanallah!

Isu jantina menjadi perkara penting dalam ajaran Islam. Sebahagian taklifan atau kewajipan di dalam melaksanakan tuntutan agama tertakluk kepada status jantina lelaki dan wanita terutama dalam perkara fikah serta ibadah. Bahkan tamadun awal manusia bermula dengan kewujudan lelaki dan wanita.

Keharmonian hubungan di antara kedua-dua jantina menjadikan masyarakat berkembang luas. Dalam sebuah negara seperti Malaysia, dokumen pengenalan diri setiap warganegara juga dinyatakan dengan jelas status jantina sama ada lelaki atau wanita.

Uruf dan budaya masyarakat setempat amat menekankan kepentingan peranan dan tanggungjawab yang dilaksanakan oleh individu berasaskan jantina lelaki atau wanita bagi menjamin keseimbangan serta kesejahteraan dalam sebuah institusi keluarga dan masyarakat.

Antara tanda kebijaksanaan dan kekuasaan Allah SWT dalam penciptaan manusia adalah dengan menjadikan lelaki dan wanita agar kedua-duanya saling melengkapi antara satu sama lain bagi meneruskan kelangsungan generasi masyarakat. Perkara itu dijelaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya di dalam al-Quran, Surah an-Nisa’ ayat 1 yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan daripada kedua-duanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”

Allah SWT menciptakan lelaki dengan kelebihan dan keistimewaan tertentu bagi melaksanakan tanggungjawab fitrahnya iaitu sebagai pelindung kepada wanita serta menjadi pemimpin yang berwibawa. Perkara ini ditegaskan melalui firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud: “Lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap perempuan, oleh kerana Allah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan dan kerana lelaki membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka. Maka perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama dengan pemuliharaan Allah serta pertolongan-Nya.”

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Wanita pula disifatkan sebagai sebaik-baik perhiasan dunia yang melengkapkan peranan lelaki dengan syarat mentaati perintah Allah SWT. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr RA, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.” Riwayat Muslim

BACA:  Persiapkan Bekalan Untuk Akhirat Kelak. Banyakkan Amalan Bersedekah

Imam al-Qurthubi menjelaskan makna wanita solehah dalam hadis itu ialah wanita yang menggembirakan suami apabila dilihat, mentaatinya apabila disuruh dan memelihara kehormatan suami apabila ketiadaannya pada diri serta hartanya. Wanita juga dikurniakan keistimewaan dan kelebihan tertentu yang tidak diberikan kepada lelaki seperti keupayaannya untuk mengandung, menyusu dan melahirkan anak. Dalam Surah al-Ahqaf ayat 15, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menanggung susah payah dan melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.”

Kehamilan yang hanya dialami oleh wanita adalah satu daripada anugerah terbesar oleh Allah dalam kehidupan insan lebih-lebih lagi bagi sebuah keluarga.

Wanita memainkan peranan yang amat penting di dalam masyarakat terutama sebagai isteri dan ibu dalam sesebuah rumah tangga. Tanpa kehadiran isteri dan ibu, keluarga tidak dapat berfungsi dengan sempurna. Keberadaan wanita dengan penuh sifat kasih sayang mewujudkan perasaan tenteram dan menjadi pelengkap bagi kehidupan lelaki. Firman Allah di dalam al-Quran Surah ar-Rum ayat 21 yang bermaksud: “Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai lelaki), isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.”

Walaupun wanita kini juga mampu memberikan sumbangan dalam pelbagai bidang penting meliputi sosial, ekonomi dan politik ke arah usaha membangunkan sebuah negara, mereka tetap memerlukan lelaki untuk membimbing, melindungi dan saling melengkapi. Wanita dimuliakan martabatnya di dalam Islam dengan syarat sentiasa memelihara kehormatan dirinya selaras tuntutan syariat.

Tanggungjawab yang dilaksanakan dengan saksama oleh lelaki dan wanita di dalam masyarakat akan melahirkan kehidupan yang stabil dan harmoni. Sebaliknya ketidakseimbangan fungsi di antara kedua-duanya akan menyebabkan keretakan dan konflik di dalam sesebuah keluarga. Dalam ajaran Islam, hukum-hakam agama ditentukan bersandarkan status jantina meliputi aspek ibadah, syariah dan akhlak. Ketetapan yang dibuat berasaskan jantina ini bukanlah tindakan diskriminasi, tetapi lambang keadilan Allah SWT di dalam setiap ketentuan-Nya.

Di dalam konteks kehidupan bermasyarakat, negara kita memperuntukkan hak dan peluang yang saksama kepada lelaki dan wanita. Begitu juga ketetapan di dalam ajaran Islam yang memberikan peluang yang adil kepada lelaki dan wanita untuk meraih ganjaran pahala daripada Allah dalam beribadah sebagaimana firman-Nya di dalam Surah ali-Imran ayat 195 yang bermaksud “Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang yang beramal daripada kalangan kamu sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) daripada setengahnya yang lain.”

Hak asasi manusia dalam pandangan Islam tidaklah terbatas kepada jantina tertentu selagi selaras dengan ketetapan syariat dan undang-undang negara. Jika terdapat sebarang isu berbangkit berkaitan penentuan status jantina, perkara itu dapat dirujuk kepada beberapa ketetapan fatwa yang diputuskan misalnya isu kekeliruan jantina pada 2006, hukum menukar status jantina dalam MyKad pada 2005 dan pertukaran jantina daripada lelaki kepada perempuan pada 1982. Tidak perlu mencari ruang untuk menegakkan hujah yang tidak berasas dan bercanggah dengan panduan syariat. Perkara yang lebih utama adalah kita berusaha memperkasakan peranan lelaki dan wanita seperti yang digariskan oleh ajaran Islam bagi mengembalikan keseimbangan kehidupan serta menjamin kesejahteraan masyarakat dan kesinambungan ketamadunan manusia. Islam menetapkan bahawa lelaki hendaklah menjadi lelaki begitu juga perempuan hendaklah menjadi perempuan mengikut sunnatullah yang ditetapkan. Sesungguhnya pada setiap penciptaan Allah itu terkandung rahsia dan hikmah yang membawa rahmat kepada manusia serta seluruh alam.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.