Cerita kematian sudah menjadi perkahabaran normal pada hari ini. Tiap-tiap hari kita dikhabarkan dengan kematian khususnya melibatkan kes Covid-19. Tanpa sedar, sebenarnya mati semakin menghampir kita semua. Kematian boleh datang dalam husnul khatimah atau suu’ul khatimah. Namun, keadaan tersebut adalah pengetahuan Allah SWT sahaja dan kita sebagai manusia tidak boleh sewenang-wenangnya menilai kematian seseorang.
Salah satu tanda daripada tanda-tanda kiamat adalah kematian orang soleh sehingga orang baik di atas muka bumi semakin berkurang. Perkara ini sebaliknya menjadikan ramai orang jahat dan bersifat dengan perbuatan jahat sehingga sedikit bilangan manusia yang tidak melakukan kejahatan.
Maksud orang soleh dan baik ini merujuk kepada keperibadian serta ketaatan mereka kepada perintah Allah SWT, sesama manusia dan makhluk yang lain. Orang soleh akan disegani oleh ramai manusia sama ada ketika masih hidup ataupun apabila telah meninggal.
Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Tidak akan datang Hari Kiamat sehingga Allah mengambil orang-orang yang baik dan ahli agama di muka bumi, maka tidak ada yang tinggal padanya kecuali orang-orang yang hina dan buruk yang tidak mengetahui yang ma’aruf dan tidak mengingkari kemungkaran.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Hadis ini menjelaskan bahawa, Allah SWT mematikan orang-orang yang banyak melakukan kebaikan dan taat perintah agama sehingga yang ada di bumi nanti hanya mereka daripada golongan yang tolol, hina dan tidak memiliki kebaikan walaupun sedikit.
Perkara ini terjadi di saat agama Islam diangkat oleh Allah SWT dan pada saat ini manusia menjadikan pemimpin yang jahil sebagai panduan. Pemimpin yang jahil ini merujuk kepada penguasa yang berfatwa tanpa panduan ilmu dan kepakaran daripada orang alim.
Orang alim yang terdiri daripada cendikiawan merupakan pemimpin agama yang telah mencapai kedudukan yang tinggi disebabkan ijtihad, sabar dan sempurna keyakinan, sebagaimana firman Allah SWT: “Dan Kami jadikan daripada kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.” (Surah al-Sajdah ayat 24)
Kelebihan orang alim adalah memberi petunjuk keimanan kepada masyarakat supaya masyarakat menjadi celik dan cerdik daripada sebarang kejahilan. Ini kerana kejahilan akan membawa bala kepada mereka yang jahil tanpa pegangan agama yang kukuh. Keperluan mempelajari adab menuntut ilmu daripada orang alim akan memberi kesan daripada yang lain. Penuntut ilmu hendaklah berakhlak dengan akhlak yang mulia dan menghindarkan sifat mazmumah.
Kematian orang alim dianggap sebagai musibah yang besar kerana orang alim adalah pewaris nabi dan pelita bagi umat ini. Untuk melahirkan orang alim yang berwibawa dan mursyid ummah, memerlukan tempoh yang panjang dan tapisan yang tebal. Maka apabila orang alim meninggal dunia, sedikit demi sedikit lenyaplah orang soleh yang turut bergantung ilmu dengan orang alim.
Di akhir zaman ilmu berkaitan agama dan kefahaman Islam akan berkurangan dengan kematian orang alim, sebaliknya ilmu berkaitan teknologi dan perkembangan semasa semakin canggih dan begitu terkehadapan. Hal ini tidak pelik dengan banyak penemuan ciptaan terbaharu dan terkini.
Imam al-Syafie berkata: “Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan di akhirat, di samping ia menjadi amalan para nabi, rasul dan orang-orang soleh.”
Pujangga berkata: “Ilmu pengetahuan mempunyai dua keuntungan. Pertama, kita mengetahui masalah pokok dan kedua, kita mengetahui di mana kita dapat menemui maklumat berkaitan hal itu.”
Sulaiman Rahimahullah berkata maksudnya: “Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mana masih kekal generasi pertama sehingga yang kemudian dapat mempelajarinya. Jika binasa generasi yang pertama sebelum dipelajari oleh generasi seterusnya, maka binasalah manusia.”
Ketika ditanya kepada Sa’id Bin Jubair Rahimahullah: “Apakah alamat binasanya manusia? Jawabnya: “Apabila orang alim mereka meninggal dunia.”
Kematian orang alim adalah musibah besar kepada ummah. Manusia mampu menggantikan jawatan tetapi tidak mampu menggantikan ilmu, sikap dan nilai yang dimiliki oleh seseorang. Bacalah sejarah kita akan dapati orang alim yang berpengaruh begitu terkesan pada jiwa orang kampungnya atau negerinya sehingga tidak dapat dicari ganti selepas kematiannya.
Firman Allah SWT maksudnya: “Mengapa mereka yang kafir itu masih berdegil dan tidak mahu memerhatikan bahawa kekuasaan Kami sentiasa menakluk bumi (yang mereka diami) dengan menjadikan dia kurang sedikit demi sedikit daripada kebaikannya dan kemuliaannya?” (Surah al-Ra’d ayat 41)
Atha’ dan ramai orang alim menafsirkan bumi berkurang sedikit demi sedikit yang membawa maksud kematian orang alim dan hilangnya fuqaha’.
Firman Allah SWT maksudnya: “Demi bintang semasa ia menjunam.” (Surah al-Najm: 1)
Bintang yang dinyatakan dalam ayat di atas adalah merujuk kepada orang alim. Imam al-Nasafi berkata: “Allah bersumpah dengan orang alim apabila ia meninggal dunia.”
Kematian orang alim akan menyebabkan kedudukan manusia akan kembali kepada kegelapan. Kejahilan semakin meluas sehingga tiada lagi peringatan akan diberikan kecuali daripada mereka yang jahil, jahat dan bodoh.
Diriwayatkan daripada Amr bin Syu’aib, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Akan datang satu zaman manusia akan disaring sehingga tinggal hampasnya. Janji-janji dan amanat mereka bercampur baur dan mereka berpecah-belah seperti ini, lalu Baginda merenggangkan antara jari-jari Baginda.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Justeru, lenyapnya orang soleh ialah ketika telah banyak kemaksiatan dan amar makruf nahi mungkar ditinggalkan. Orang soleh sekiranya melihat kemungkaran berlaku dan tidak berusaha untuk mengubah dan membanterasnya sehingga banyaknya kerosakan berlaku, maka mereka juga turut akan ditimpa azab bersama mereka yang jahil.
Nabi SAW bersabda maksudnya: “Apakah kami akan binasa padahal di tengah-tengah kami masih ada orang soleh? Baginda menjawab: “Ya, apabila keburukan telah semakin banyak.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Justeru, selepas kematian orang alim, disusuli dengan lenyapnya orang soleh, maka kita semakin menghampiri saat kebinasaan. Oleh itu, selagi masa dan peluang ada, berusahalah untuk menjadi orang soleh dengan berdampingan dengan mereka yang alim selagi mereka masih ada. Ketahuilah, saat kematian tidak menunggu seseorang untuk berubah menjadi orang soleh.