≡ Menu

Tanggungjawab Memakmurkan Islam Dalam Diri, Bangsa Dan Negara

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamat orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Marilah kita mendengar peringatan daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala yang berfirman:

مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا ۚ بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (٥) [سورة الجمعة : ٥]

(Maksudnya): (Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telahpun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Ia adalah satu perbandingan yang buruk yang dinyatakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala terhadap bangsa Yahudi yang disebut al-maghdubi ‘alaihim (الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ – kumpulan yang dimurkai ke atas mereka). Diminta supaya kita mohon perlindungan daripaa Allah Subhanahu wa Ta’ala supaya tidak menjadi sepertinya. Kaum itu dilaknat oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala yang dikurniakan nikmat kemenangan secara mukjizat, di mana Allah Subhanahu wa Ta’ala menyelamatkan mereka daripada kezaliman Fir’aun yang ganas apabila Allah Subhanahu wa Ta’ala menenggelamkan bala tentera Fir’aun ke dalam laut dengan tongkat yang membelah laut. Melalui mukjizat Nabi Musa ‘alaihis salam, dijadikan lorong-lorong yang dilalui oleh mereka dengan selamat serta menenggelamkan Fir’aun dan membinasakan semua bala tenteranya. Ia adalah pertolongan yang luar biasa yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada bangsa Yahudi disaksikan oleh mereka yang berada di zaman Nabi Musa ‘alaihis salam memimpin mereka. Kisah ini dibaca oleh orang-orang Yahudi dalam kitab-kitab mereka.

Tetapi apabila Allah Subhanahu wa Ta’ala menyerahkan tanggungjawab kepada mereka untuk menunaikan amanah melaksanakan kitab Taurat yang diwahyukan kepada Nabi Musa ‘alaihis salam supaya diamalkan kitab itu, ditegakkan sebuah negara yang berdaulat, Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan mereka berjihad masuk ke Palestin dengan ujian perjuangan jihad menghadapi musuh kaum Jabbarin yang dianggap gagah perkasa di zaman itu. Tiba-tiba mereka menolak, seolah-olah mereka tidak yakin kepada pertolongan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Mereka menghina Nabi Musa ‘alaihis salam dengan berkata:

قَالُوا يَا مُوسَىٰ إِنَّا لَن نَّدْخُلَهَا أَبَدًا مَّا دَامُوا فِيهَا ۖ فَاذْهَبْ أَنتَ وَرَبُّكَ فَقَاتِلَا إِنَّا هَاهُنَا قَاعِدُونَ (٢٤) [سورة المائدة : ٢٤]

(Maksudnya): Mereka (menolak dengan) berkata: “Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu”.

Akibatnya Allah Subhanahu wa Ta’ala menyesatkan mereka di padang pasir selama 40 tahun. Nabi Musa dan Nabi Harun ‘alaihimas salam diwafatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam kesedihan tidak menyaksikan kemenangan, tetapi menyaksikan janji akhirat yang dinyatakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala, yang tinggal golongan yang tua dan lahir yang muda. Generasi yang muda ditarbiah oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala di padang pasir itu dengan keikhlasan menyambung perjuangan, dan Allah Subhanahu wa Ta’ala mengurniakan kemenangan dengan pertolongan yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan mereka yang ikhlas sahaja menyertai pasukan itu.

Walaupun kisah ini mengenai Bani Israil, para ulamak mengatakan:

الْعِبْرةُ بِعُمُومِ اللَّفْظِ لَا بِخُصُوصِ السَّبَبِ.

(Maksudnya): Pengajaran diambil daripada lafaz yang umum, bukan sebab yang khusus.

Cerita yang ada di dalam Al-Quran adalah iktibar dan pengajaran kepada umat Islam supaya umat Islam tidak mengambil contoh buruk yang ditunjukkan oleh kaum Bani Israil. Apabila orang Yahudi yang masuk Islam di zaman Nabi Muhammad Shallallahu ‘alahi wa sallam menjadi sahabat yang setia memhon izin untuk membaca kitab Taurat, kitab Allah yang wajib kita beriman kepadanya, Allah Subhanahu wa Ta’ala menegur mereka dengan menurunkan wahyu:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ (٢٠٨) [سورة البقرة : ٢٠٨]

(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh yang nyata bagimu.

Kitab Taurat telah dinasakhkan banyak hukum-hukumnya. Hanya sebahagian sahaja yang tidak dinasakhkan yang berkait akidah beriman kepada Allah dan beriman kepada Hari Akhirat serta perkara-perkara yang ghaib, termasuk hukum-hukum Qisas dan Hudud dikekalkan di dalam Al-Quranul Karim.

BACA:  Betul Ke Punca Ketumbit Ialah Mengintai? Baca Dahulu

Apabila Saiyidina ‘Umar bin Al-Khattab radiallahu ‘anhu tertarik dengan kisah-kisah Bani Israil yang masuk Islam, lalu beliau meminta izin Nabi Shallallahu ‘alahi wa sallam untuk mencatat kisah-kisah itu untuk menjadi bacaan orang Islam, tiba-tiba Nabi Shallallahu ‘alahi wa sallam menempelak:

أَمُتَهَوِّكُونَ فِيهَا يَا ابْنَ الْخَطَّابِ؟ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَقَدْ جِئْتُكُمْ بِهَا بَيْضَاءَ نَقِيَّةً، لاَ تَسْأَلُوهُمْ عَن شَيْءٍ فَيُخْبِرُوكُمْ بِحَقٍّ فَتُكَذِّبُوا بِهِ، أَوْ بِبَاطِلٍ فَتُصَدِّقُوا بِهِ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَوْ كَانَ مُوسَى كان حَيًّا اليَوم مَا وَسِعَهُ إلاَّ أَنْ يَتَّبِعَني.

(Maksudnya): Adakah kamu keliru pendirian (tentang agamamu), wahai Ibnu Al-Khattab? Demi jiwaku ditanganNya, aku telah membawa kepadamu dengan satu lembaran putih bersih (Islam dan rujukannya Al-Quran yang bersih daripada diubahsuai). Jangan kamu bertanya kepada mereka (ahli Kitab) sesuatu pun, nanti mereka memberitahu perkara yang benar, lalu kamu mendustakannya, atau mereka memberitahu perkara yang salah, lalu kamu mempercayainya. Demi jiwaku ditanganNya, seandainya Nabi Musa masih hidup, nescaya dia tidak mempunyai pilihan selain mengikutiku. [Hadits riwayat Ahmad]

Ini menunjukkan betapa wajibnya umat islam berpegang dengan Al-Quran yang menjadi petunjuk seluruh kehidupan mereka dan menolak segala petunjuk yang lain yang bercanggah dengannya.

Namun akhir-akhir ini kita melihat umat Islam telah ditinggalkan oleh kesan-kesan pengaruh penjajah dalam fikiran mereka. Mereka meninggalkan amalan-amalan Al-Quran. Al-Quran hanya menjadi kitab yang dibaca sahaja. Separuh hukum-hakamnya diamalkan dan banyak yang tidak diamalkan atau ditinggalkan. Mereka meninggalkan perjuangan untuk mengembalikan semula Al-Quran bagi didaulatkan setelah negara yang mendaulatkannya dihapuskan di zaman penjajahan.

Kita mempunyai satu tanggungjawab yang sangat besar untuk menegakkan semula Islam ini kerana perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ (٣٣) [سورة التوبة : ٣٣]

(Maksudnya): Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.