
DI SEBALIK tuntutan membaca al-Quran termasuk sepanjang Ramadan ini, pernahkah kita merenung dan bermuhasabah berapa kalikah kita berjaya mengkhatamkannya?
Sempena Nuzul Quran pada malam ini dan dalam menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang kita digalakkan kekal di rumah, ada baiknya kita membaca kisah sahabat Nabi SAW, pengikut mereka dan ulama salafusoleh serta muktabar yang menjadikan al-Quran sebagai makanan rohani setiap hari.
Imam Nawawi dalam kitabnya, at-Tibyaan fi Adabi Hamalati al-Quran, menerangkan generasi terdahulu mengkhatamkan kitab suci itu, ada yang lapan kali sehari semalam hingga dua bulan sekali.
Khalifah Islam ketiga dan menantu Rasulullah SAW, Sayidina Uthman Affan RA terkenal sebagai qari yang mengkhatamkan al-Quran setiap hari.
Antara sahabat lain ialah Tamim ad-Dari RA, manakala dalam kalangan tabi’in pula ialah Said ibnu Jubair RA dan Mujahid RA.
Malah, imam mujtahid dalam mazhab kita, iaitu Imam Shafie RA juga tokoh yang sangat akrab dengan al-Quran hingga beliau mampu menghabiskannya dalam sehari.
Malah, Imam Shafie menyelesaikan bacaan al-Quran sebanyak 60 kali sepanjang Ramadan seperti yang dicatatkan Imam al-Zahabi dalam kitabnya, Siyar A’lam al-Nubala.
Dalam kitab kecil tetapi penting itu juga, Imam Nawawi turut berkongsi amalan seorang tabi’in, Mansur Zaadan yang terkenal sebagai ahli ibadat, berjaya mengkhatamkannya antara waktu Zuhur dengan Asar, sebelum berbuat demikian antara Maghrib dengan Isyak pada Ramadan.
Bagaimanapun, harus diingatkan tokoh besar ini ialah ahli ibadat dan soleh yang kehidupan mereka diberkati Allah SWT hingga kebaikannya melimpah-ruah. Adakalanya, kita tidak dapat mengukurnya dengan logik akal yang pendek.
Justeru, Imam Nawawi mengingatkan keupayaan seseorang individu mengkhatamkan al-Quran berbeza mengikut tahap keilmuan dan ketakwaan.
Sebagai orang awam, ada baiknya kita cuba mengkhatamkan al-Quran sepanjang Ramadan ini dan pada masa menjadikan bacaan kitab suci itu sebagai amalan harian yang berkekalan walaupun sedikit.
Secara umumnya, kita boleh menjadikan hadis yang diriwayatkan Abdullah ibnu Umar RA yang membawa perbualan beliau dengan Rasulullah SAW sebagai panduan.
Ibnu Umar berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, dalam tempoh berapa lama, saya boleh mengkhatamkan al-Quran?” Baginda menjawab: “Khatamkan sekali sebulan.” Aku berkata: “Saya masih mampu lebih daripada itu.”
Lalu soal jawab itu berlangsung hingga Rasulullah SAW mengurangkannya kepada 25 hari; 15 hari, 10 hari dan akhirnya lima hari. Apabila Ibnu Umar mengatakan masih mampu, Rasulullah SAW tidak memberikan keringanan lagi. (HR Baihaqi)

Adab membaca al-Quran:
• Bersiwak atau membersihkan mulut
• Memilih tempat bersih dan utama khususnya masjid
• Mengadap kiblat sekiranya membaca di luar solat
• Membaca taawuz (meminta perlindungan daripada syaitan) dan basmallah
• Khusyuk dan merenung makna ketika membaca
• Mengulang-ulang ayat supaya dapat direnung secara mendalam
• Menangis dengan menghadirkan perasaan sedih dalam hati terutama ayat peringatan, ancaman dan janji serta dosa yang dilakukan
• Tartil, iaitu membaca dengan jelas dan tidak terburu-buru
• Memohon rahmat atau meminta jauh daripada kejahatan dan seksaan ketika membaca ayat berkaitan
• Tidak ketawa, bising dan bercakap sesuatu yang sia-sia
• Membaca dengan salah satu daripada tujuh qiraat (cara bacaan yang disepakati)
• Membaca dengan mashaf lebih utama daripada membacanya berdasarkan hafazan
• Dianjurkan membaca secara berjemaah dan diharuskan secara bersilih ganti
• Menggunakan suara yang kuat
• Sunat mengindahkan suara atau melagukan bacaan al-Quran
