
Di mahkamah syariah ada 4 jenis tuntutan yang melibatkan nafkah difailkan iaitu (1) Nafkah isteri (2) Nafkah Iddah (3) Nafkah tertunggak (4) Nafkah anak.
Memandangkan nafkah tertanggung atas kaum lelaki, semua tuntutan nafkah di mahkamah syariah difailkan oleh kaum wanita samada isteri, bekas isteri dan ibu. Tiada tuntutan nafkah yang difailkan suami atau bapa. Berikut saya kongsikan beberapa langkah dan cara menuntut nafkah di mahkamah syariah.
PROSESNYA
1) Kenal pasti dulu nafkah apa yang puan bercadang hendak tuntut di mahkamah. Sebab kalau tidak tahu nafkah apa yang hendak di tuntut anda akan stuck semasa hendak mengisi borang mahkamah.
Anda kena tahu samada hendak tuntut nafkah anak, nafkah iddah atau tunggakan nafkah.
2) Jika anda telah pasti apa yang hendak dituntut, pegi ke mahkamah syariah berdekatan tempat anda bermastautin. Jika anda tinggal di Petaling jaya, pergilah ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling jaya. Begitulah bagi mahkamah di tempat lain.
3) Minta borang tuntutan nafkah di kaunter. Jika anda hendak tuntut nafkah anak, mintalah borang tuntutan nafkah anak, jika nak tuntut nafkah iddah mintalah borang nafkah iddah. Ianya mudah jika anda telah pasti apa tuntutan yang hendak dituntut.
4) Isi borang dalam 3 salinan (boleh juga isi satu kemudian buat copy lagi 2). Semua dokumen pun kena ada 3 copy. Dokumen asas yang kena bawa adalah ic, surat nikah @ surat cerai, surat beranak anak-anak (jika ada anak). Ingat bawa 3 copy setiap satu.
5) Anda isi sahaja tempat kosong dalam borang itu. Borang mahkamah mungkin nampak rumit bagi yang tidak biasa, tetapi ianya mudah difahami sebab dah disediakan ruang kosong untuk anda isi.
6) Sudah siap isi hantar sahaja semula di kaunter untuk difailkan. Bayar fees untuk pendaftaran sekitar RM40-RM50 kemudian dapatkan tarikh untuk hadir ke mahkamah (tidak lebih dari 21 hari dari tarikh difailkan).
KADAR DAN KIRAAN NAFKAH
Dalam pengalaman saya mengendalikan kes-kes di mahkamah syariah, bila membicarakan isu nafkah, kadar nafkahlah yang selalu menjadi persoalan orang awam. Berapa kadar nafkah yang hendak dipohon? Macamana nak kira? Berapa yang hendak dituntut?
Tuntutan nafkah tiada cara kiraan yang khusus dan juga tiada kadar yang khusus ditetapkan hokum syarak. Undang-undnag juga tidak menetapkan kadar tersebut.
Apa yang diperuntukkan hanyalah kewajipan memberi nafkah. Justeru itu, berkaitan dengan kadar ianya bergantung kepada keperluan dan kemampuan.
Justeru, artikel ini akan berkongsi sedikit info mengenai perkara tersebut berdasarkan sedikit ilmu yang saya ada. Ingin saya tekankan di sini bahawa setipa orang berbeza cara tuntutan dan kiraannya.
Ada orang awam atau Peguam Syarie yang meletakkan kiraannya sendiri berbeza dengan orang lain. Ini sesuatu yang biasa. Bak kata pepatah “lain padang lain belalang” lain orang lain caranya. Apa yang saya kongsikan hanya sebagai panduan sahaja.
Di bawah ini saya tunjukkan contoh kiraan yang anda boleh guna sebagai panduan.
(1)Makan minum
Kiraan untuk makan minum diambil secara harian sebab hari-hari kena makan. Anda boleh letak kiraanya begini:
Contoh RM 15 sehari (Pagi RM 5 + Tengahari RM 5 + Malam RM 5) x 30 hari = RM 450.00
(2)Pakaian
Untuk pakaian, syarak meletakkan nafkah dari segi pakaian adalah memadai dengan dua persalinan setahun. Jadi, anda boleh letakkan satu jumlah yang kecil untuk sebulan.
Contohnya RM20 sebulan. Jadi bila cukup 6 bulan ianya menjadi RM 120.00 jadi bolehlah anda membeli baju, seluar, kasut dan sebagainya.
(3)Tempat tinggal
Bagi kadar tempat tinggal, anda boleh mengambil kiraan mengikut kadar sewa atau kadar bayaran bulanan pinjaman. Contoh sewa RM 500. Jadi jumlah ini anda boleh letakkan sebagai kadar nafkah tempat tinggal.
Jika anda menuntut nafkah anak, hanya keperluan anak sahaja yang dituntut. Tidak boleh masukkan sekali kepeluan ibu. Sebagai contoh sebuah rumah didiami oleh ibu dan anak (2 orang).
Anda perlu asingkan nafkah tempat tinggal antara ibu dan anak. Jadi jika ibu menyewa sebuah rumah sewa berharga RM 400. Tuntutan nafkah anak hanya RM 200 kerana RM 400 dibahagi 2 = 200.
Jika tempat tinggal telah disediakan, jadi nafkah ini tidak perlu lagi dituntut.
(4) Yuran Sekolah
Bagi tuntutan nafkah anak, kos pendidikan anak-anak boleh dituntut. Justeru, yuran persekolahan boleh diletakkan dalam tuntutan nafkah anak-anak. Ini kebiasaannya bagi anak-anak yang bersekolah di sekolah berbayar.
(5) Wang saku
Wang saku dituntut untuk keperluan anak dan perbelanjaan mereka di sekolah. Cara kiraan yang boleh diambil adalah dengan mengambil kira berapa duit belanja yang diberikan kepaa anak setiap hari persekolahan.
Contohnya: RM 4 x 20 hari persekolahan = RM 80.00
Tuntutan nafkah tahunan.
Selain tuntutan secara bulanan, anda juga boleh menuntut keperluan tahunan terutamanya untuk anak-anak. Pembayaran untuk keperluan ini juga dibayar secara tahunan iaitu hanya setahun sekali.
Anda boleh menuntut nafkah secara tahunan bagi keperluan awal persekolahan dan juga perayaan.
(6)Perbelanjaan awal sekolah
Perbelanjaan ini untuk tuntutan dalam nafkah anak. Ianya meliputi keperluan untuk membeli buku-buku persekolahan, pakaian, kasut, dan juga pendaftaran yuran awal masuk persekolahan. Tidak dinafikan kos untuk awal persekolahan semakin tinggi.
Justeru anda boleh menuntut dari bapa untuk menanggung kos tersebut. Kadar untuk tuntutan ini boleh dianggarkan mengikut kos masuk sekolah untuk tahun-tahun sebelumnya.
Jika anda telah dibekalkan dengan senarai keperluaan anda untuk masuk sekolah, boleh gunakan jumlah yang dinyatakan dalam senarai tersebut sebagai tuntutan perbelanjaan awal persekolahan.

(7)Perayaan
Tuntutan kos untuk perayaan ini juga boleh dituntut untuk keperluan anak-anak. Kebiasaannya ianya hanya untuk perayaan Aidilfitri. Anda boleh memohon untuk kos pembelian baru raya.
Contohnya RM 200 untuk seorang anak.
Justeru, jika anda menuntut nafkah anak, anda boleh meletakkan kadar untuk makan minum, pakaian, tempat tinggal, wang saku, pendidikan, dan perayaan. Anda boleh jumlahkan dan letakkannya sebagai tuntutan nafkah.
Contohnya:
Makan minum RM 10x 30 =RM 300
Tempat tinggal =RM 200
Pakaian =RM 50
Wang saku RM 4x 20 =RM 80
————-
TOTAL RM 630.00
————–
Yang penting apa yang anda letakkan sebagai tuntutan di mahkamah ada asas kiraannya. Jika anda tuntut nafkah makan minum RM 300 sebulan, anda perlu jelaskan pada mahkamah macamaana anda kirakan RM 300 tersebut.
Jadi anda bolehlah rujuk panduan di atas supaya mudah untuk anda menjawab nanti.
Suka saya ingatkan bahawa kadar nafkah yang dituntut biarlah dalam kemampuan pembayarnya. Hakim yang mengendalikan kes juga bukan sahaja melihat berapa keperluan bekas isteri atau anak, tetapi juga melihat tahap kemampuan pembayarnya.
Oleh itu, pertimbangan perlu diberikan dalam menuntut nafkah. Ada ketikanya anda menuntut kadar yang tinggi tetapi mahkamah berikan hanya sedikit. Ini kerana mahkamah menilai juga tahap kemampuan pembayarnya.
Sumber:info syariah
