≡ Menu

Taubat Nasuha. Apakah Tanda Tanda Taubat Diterima Allah SWT?

Soalan

Assalamualaikum. Adakah boleh dipastikan bahawa Allah SWT telah menerima taubat yang telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh? Dan apakah tanda-tanda Allah SWT menerima taubat seseorang? Mohon penjelasan.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Kami mulakan dengan perintah Allah SWT kepada kita supaya bertaubat:

وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnyadan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

Surah al-Nur (31)

Ibn Kathir berkata: Lakukanlah apa yang aku perintahkan kamu dengannya, dan semua sifat-sifat yang mulia dan akhlak yang terpuji. Pada saat yang sama, tinggalkanlah perangai ahli jahiliyyah dan sifat buruk mereka. Ini kerana kejayaan dan kemenangan yang sebenar dengan melaksanakan perintah Allah dan Rasul serta meninggalkan larangan-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/50)

Untuk menjawab persoalan di atas, kami kemukakan seperti berikut:

Pertama, adakah boleh dipastikan bahawa Allah SWT telah menerima taubat seseorang? Pendapat majoriti ulama’ menyebut bahawa orang yang benar-benar bertaubat dengan memenuhi segala rukun dan syarat taubat, maka dapat dipastikan penerimaan taubatnya di sisi Allah SWT. Hal ini sepertimana disebut oleh Ibn Rajab:

أَنَّ مَنْ تَابَ إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا، وَاجْتَمَعَتْ شُرُوطُ التَّوْبَةِ فِي حَقِّهِ، فَإِنَّهُ يُقْطَعُ بِقَبُولِ اللَّهِ تَوْبَتَهُ، كَمَا يُقْطَعُ بِقَبُولِ إِسْلَامِ الْكَافِرِ إِذَا أَسْلَمَ إِسْلَامًا صَحِيحًا، وَهَذَا قَوْلُ الْجُمْهُورِ، وَكَلَامُ ابْنِ عَبْدِ الْبَرِّ يَدُلُّ عَلَى أَنَّهُ إِجْمَاعٌ

Orang yang bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat nasuha, memenuhi semua syarat taubat bagi dirinya, maka boleh dipastikan Allah SWT menerima taubat dirinya. Ini sepertimana boleh dipastikan Islam orang kafir yang masuk Islam dengan benar. Inilah pendapat majoriti ulama’. Keterangan Ibn Abd al-Bar menunjukkan bahawa perkara tersebut telah menjadi kesepakatan ulama’. (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/418)

Antara dalil mereka ialah firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ

Maksudnya“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya).”

Surah al-Nisa’ (48)

BACA:  Hukum Mempromosikan Dan Menyertai Perniagaan Agama Lain. Baca Biar Faham.

Ibn Kathir berkata: Allah SWT memberitahu bahawa Dia tidak mengampuni perbuatan syirik dengan maksud Dia tidak mengampuni seseorang hamba yang menemui-Nya (mati) dalam keadaan musyrik. Sebaliknya Allah SWT mengampuni dosa yang selain itu bagi mereka yang dikehendaki-Nya daripada kalangan hamba-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/327)

Begitu juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا اعْتَرَفَ بِذَنْبِهِ ثُمَّ تَابَ تَابَ اللَّهُ عَلَيْهِ

Maksudnya“Sesungguhnya hamba, jika dia mengakui dosanya dan kemudian dia bertaubat, nescaya Allah SWT menerima taubatnya.”

Riwayat al-Bukhari (2661)

Mulla Ali al-Qari dalam Mirqat al-Mafatih (4/1616) menyebut: Iaitu seseorang yang menyedari keadaan dirinya yang berdosa, kemudian dia bertaubat dengan memenuhi segala rukun dan syarat-syaratnya seperti menyesal, meninggalkannya, berazam dan berusaha memperbaiki diri maka Allah SWT akan menerima taubatnya berdasarkan firman-Nya:

وَهُوَ الَّذِي يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ

MaksudnyaDan Dia lah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya (yang bertaubat).

Surah al-Syura (25)

Al-Qurtubi berkata: Allah pasti mengampunkan sebarang bentuk dosa iaitu dari perlakuan syirik sebelum mereka Islam. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan dari kebaikan dan kejahatan. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 7/27)

Kedua, berkenaan tanda-tanda Allah SWT menerima taubat seseorang ialah antaranya apabila sikap dan akhlaknya berubah, jiwanya menjadi dekat dan kasih dengan masjid, akhlak dan bahasanya baik, dia merasa seronok untuk melakukan ibadat serta dia tetap berterusan memohon keampunan kepada Allah SWT. Maka itu adalah merupakan antara tanda Allah SWT menerima ibadatnya.

Abu al-Laith al-Samarqandi dalam kitabnya Tanbih al-Ghafilin menyatakan bahawa sebahagian hukama’ menyebut: Taubat seseorang dapat diketahui pada empat perkara:

  • Jika dia sudah dapat mengawal lidahnya daripada berkata dusta, ghibah dan kata-kata yang tidak penting baginya.
  • Jika sudah tidak ada rasa hasad, dengki, iri hati terhadap semua manusia.
  • Jika telah menjauhi rakan taulan yang jahat.
  • Sentiasa bersiap sedia menghadapi mati dan selalu beristighfar menyesali dosa-dosanya yang lalu serta bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah kepada Tuhannya. (Lihat Tanbih al-Ghafilin bi Ahadith Sayyid al-Anbiya’ wa al-Mursalin, hlm. 109)

Sebahagian ahli hikmah telah ditanya: “Adakah ada tanda bahawa taubat seseorang itu telah diterima?” Mereka menjawab: “Ya, empat tanda taubatnya diterima, iaitu:

  • Memutuskan hubungan dengan kawan-kawannya yang tidak baik dan bergaul dengan orang-orang yang soleh.
  • Menghentikan semua jenis maksiat dan rajin melakukan ibadat.
  • Hilang rasa bersenang-senangan dengan dunia daripada hatinya, dan selalu mengingati kesusahan hari akhirat.
  • Percaya dan yakin dengan jaminan Allah SWT dalam soal rezeki, lalu dia menyibukkan dirinya dengan melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT. (Lihat Tanbih al-Ghafilin110)
BACA:  Khasiat Kacang Panjang Yang Rugi Kalau Kita Tak Tahu. Rajin-Rajin Gunakan Dalam Masakan

Justeru, mereka menyebut apabila terdapat semua sifat tersebut, maka termasuklah dia dari kalangan mereka yang disebut oleh Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya“SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”

Surah al-Baqarah (222)

Atha’, Muqatil bin Sulaiman dan al-Kalbi mentafsirkan ayat ini bahawa Allah suka kepada mereka yang sentiasa bertaubat dari dosa dan suka mensucikan diri dengan air daripada sebarang hadas dan najis. (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 1/259)

Sebagai kesimpulan, bukanlah bermakna seseorang yang telah mempunyai tanda-tanda taubatnya diterima Allah itu supaya berhenti memohon taubat. Malah sejelas-jelas tanda seseorang itu insaf akan dirinya adalah dia sentiasa istiqamah dan berterusan dalam memohon taubat kepada Allah SWT sepanjang hayatnya sebagaimana yang digambarkan oleh Nabi SAW sendiri yang diriwayatkan beristighfar dalam sehari sebanyak 100 kali.

Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Baginda SAW dalam hadith yang diriwayatkan daripada al-Aghar al-Muzani:

إِنَّهُ لَيُغَانُ عَلَى قَلْبِى وَإِنِّى لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ فِى الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ

MaksudnyaSesungguhnya dilitupi pada hatiku (dengan kelalaian daripada berzikir) dan aku memohon ampun kepada Allah SWT, sehari seratus kali.

Riwayat Muslim (7033) dan Abu Daud (1517)

Imam Nawawi menyebut dengan menukilkan pendapat ahli bahasa: Perkataan ‘ليغان’ bermaksud apa-apa yang melitupi hati. Al-Qadhi ‘Iyadh pula berkata, dikatakan maksudnya ialah waktu-waktu lemah dan lalai daripada zikir yang sepatutnya berterusan. Apabila hal ini berlaku, dia mengira sebagai dosa, justeru dia beristighfar. Ada pendapat berkata, dikatakan kerana Rasulullah SAW amat prihatin dan runsing terhadap umatnya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 17/23)

Semoga kita termasuk dalam kalangan mereka yang sentiasa bertaubat dan diterima taubatnya di sisi Allah SWT. Amin. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya“Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.

Surah al-A’raf (23)

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.